Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, April 7, 2020

PM bangga bekas pesakit Covid-19 tampil bantu pesakit lain


Ahli lembaga UDA Holdings Berhad, Rosli Dahlan yang dikenali sebagai pesakit 33 Covid-19 menyerahkan sumbangan sebanyak RM150,000 kepada kerajaan sebagai bantuan kepada keluarga mangsa wabak berkenaan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menerima replika cek bagi pihak kerajaan berkata, beliau berbangga kerana Rosli dapat membantu pesakit lain.

"Saya berasa bangga apabila bekas pesakit Covid-19 yang telah disahkan sembuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mengambil peranan membantu mangsa wabak tersebut.

"Beliau yang juga Pemegang Amanah Yayasan Nama telah menemui saya untuk menyampaikan sendiri sumbangan berjumlah RM150,000 daripada pihak yayasan.

"Jika seluruh dunia boleh bersatu melawan Covid-19, maka saya berharap rakyat Malaysia juga mampu melakukannya," katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Rosli, bersama-sama dengan Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Hisham Hamdan (Pesakit 26), adalah yang terawal dalam kelompok Covid-19 yang menjangkiti sekurang-kurangnya 114 orang.

Muhyiddin berkata UDA menjadi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) paling teruk menerima kesan apabila beberapa ahli pengurusan tertinggi mereka diuji positifCovid-19.

Syarikat itu juga telah menyumbang untuk menaik taraf beberapa wad kuarantin di beberapa buah hospital, bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes pada pertengahan April.

"Saya difahamkan, ada dalam kalangan bekas pesakit kakitangan UDA yang terlibat membantu projek vaksin serum darah. Sekiranya projek ini berjaya, mereka ini akan menjadi penyelamat," kata kata Muhyiddin.

Kerajaan melancarkan Tabung Covid-19 pada 11 Mac untuk mengutip sumbangan bagi mereka yang kehilangan pendapatan atau terjejas dari segi kewangan akibat jangkitan koronavirus berkenaan.

Pada 3 April, tabung berkenaan dilapor berjaya mengumpul dana sebanyak RM19.52 juta.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-