Friday, April 10, 2020

Puncak jangkitan Covid-19 mungkin sudah berlalu, kata Noor Hisham

Nur Hasliza Mohd Salleh
-April 10, 2020 8:18 PM
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata pihaknya menjangkakan Malaysia sudah melepasi tempoh kemuncak kes jangkitan Covid-19 minggu lalu walaupun beberapa pihak meramalkan ia akan berlaku pada pertengahan bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya melihat trend kes yang positif semakin berkurang.

Jelasnya, perkembangan itu adalah petanda yang baik untuk negara.

Noor Hisham berkata, sebelum ni, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan JP Morgan menjangkakan negara akan mengalami peningkatan mendadak dengan 6,900 kes positif pada 14 April.

Bagaimanapun, kata Noor Hisham angka itu hanya andaian.

Menurutnya, KKM menjalankan analisis terhadap data terkini jangkitan Covid-19 secara dekat berdasarkan realiti dengan mengambil kira fakta dan data sedia ada.

“Trend kita agak stabil. Tiada lonjakan eksponen (exponential surge), ini adalah tanda yang baik untuk kita,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau menambah KKM berjaya menurunkan kadar R-Naught (kadar jangkitan daripada seorang pesakit kepada individu lain) daripada kadar 3.55 kepada 1.00.

Jelasnya, perkembangan itu bermakna individu yang positif Covid-19 berupaya menjangkitkan 3.55 orang lain. Namun, KKM berjaya mengurangkan daripada 1 kes positif kepada 1 jangkitan sahaja.

“Sekarang (kadar) 1, kita mengharapkan kadar 0.9 pada 14 April ini,” katanya.

Oleh, katanya, pakar kesihatan menasihatkan supaya proses inkubasi awam dijalankan selama 6 minggu.

Noor Hisham juga berkata pasukan perubatan dari China dijangka tiba dalam masa 2 minggu lagi untuk bertukar pengalaman mengendalikan pandemik Covid-19.

Beliau berkata banyak perkara yang boleh dipelajari oleh kedua-dua negara, sambil menambah Malaysia sedang mencari peluang kerjasama dengan China untuk menjalankan kajian terhadap virus itu.

“Jika kita boleh mengasingkan virus dan melakukan urutan keseluruhan genomik, maka kita sebenarnya boleh mengenal pasti virus itu kerana ini adalah virus baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-