Monday, April 20, 2020

Selain himpunan tabligh, PH lulus fiesta belon udara panas, kata Najib

FMT Reporters
-April 19, 2020 9:01 PM

Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya dilancarkan oleh menteri Wilayah Persekutuan ketika itu Khalid Samad pada 23 Februari. Acara itu yang dijadualkan pada Mac, kemudiannya ditangguhkan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak terus membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan berkata, gabungan itu tidak berhasrat untuk menghentikan mana-mana acara awam lain sama seperti himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.

Sebagai contoh, beliau merujuk keputusan PH untuk meneruskan Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya, yang diumumkan oleh (bekas) menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pada 23 Februari, dan dijadualkan diadakan pada 19-22 Mac.

“PH perlu bertanggungjawab untuk kluster Covid-19 terbesar negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini, merujuk kepada jangkitan wabak itu yang berpunca daripada peserta himpunan jemaah tabligh yang membabitkan 1,950 individu.

Najib berkata demikian berikutan tuduh-menuduh antara Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dengan bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad dan bekas timbalannya Dr Lee Boon Chye berhubung pihak yang bertanggungjawab membenarkan himpunan itu diadakan.

Terdahulu Adham berkata, Dzulkefly gagal menghentikan himpunan itu, tetapi ahli Parlimen Kuala Selangor itu membalas dengan berkata, tanggungjawab itu terletak pada menteri dalam negeri ketika itu, iaitu Muhyiddin Yassin, yang kini merupakan perdana menteri.

Sementara itu, Lee terdahulu hari ini dilaporkan berkata, virus itu tersebar daripada perwakilan dari negara yang terjejas yang datang ke Malaysia untuk menyertai himpunan berkenaan..

“Kita (KKM) tidak tahu adanya peserta dari luar negara yang menyertai himpunan itu. Jika tidak, kita pasti menghalangnya,” kata Lee.

Bagaimanapun Najib berkata, Khalid melancarkan acara belon udara panas itu seminggu sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Fiesta itu dijangka menarik lebih 200,000 hadirin sebelum ia ditangguhkan pada 6 Mac.

“Adakah fiesta antarabangsa juga akan halang warga asing? Nampaknya memang benar kata Khalid, kerajaan PH dahulu memang tak ada isu untuk luluskan acara tabligh dengan 16,500 peserta ini,” kata Najib merujuk kepada kenyataan Khalid di Twitter mempertahankan Dzulkefly.

Khalid berkata, “tidak ada isu” himpunan itu diluluskan pada 12 Februari kerana “gelombang pertama (Covid-19) terkawal.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-