Saturday, April 11, 2020

Tindakan hasut benci kerajaan oleh PKR mengecewakan

Tiada siapa boleh sangkal usaha kerajaan dalam bendung COVID-19
11/04/2020


BANGI, 17 Syaaban 1441H, Sabtu – Usaha pembangkang khususnya PKR menghasut rakyat supaya membenci kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika semua pihak bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID-19 sangat mengecewakan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin yang kesal dengan keadaan itu turut menyifatkan ia sebagai satu tindakan antiakal dan sewajarnya dibidas oleh rakyat.

“Saya percaya tiada siapa boleh sangkal kerajaan sedang buat yang terbaik bagi menangani virus COVID-19 ini.

“Dan kalau hendak dibandingkan dengan negara lain, nampak ada keberkesanan usaha Malaysia, malah mungkin lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

FMT semalam melaporkan, pihaknya kini boleh mendedahkan bahawa PKR dan anggota utama bekas gabungan pemerintah memulakan kempen untuk menafikan sokongan orang ramai terhadap kerajaan PN, walaupun pembentukannya mengundang kontroversi.

Sebahagian daripada kempen itu kata FMT, termasuklah menyeru pemimpin parti menghantar video pendek kritikan mereka terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terpaksa menguruskan krisis paling serius dalam sejarah moden beberapa hari selepas mengangkat sumpah jawatan.

“Satu mesej yang dilihat oleh FMT yang dihantar menerusi kumpulan WhatsApp, menggesa ahli parti itu terus membuat ulasan dengan tujuan menarik perhatian umum kepada kelemahan kerajaan mengendalikan pandemik COVID-19, yang memaksa kerajaan serata dunia mengumumkan pelan penyelamat bernilai berbilion dolar kerana memikirkan ekonomi global mungkin runtuh.

“…Ulas apa sahaja isu berkenaan kerajaan PN, terutama kelemahan dalam menangani COVID-19 dan tiada perancangan pemulihan ekonomi untuk rakyat selepas krisis COVID-19 berakhir serta apa sahaja isu-isu yang sesuai,” kata mesej itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-