Saturday, June 6, 2020

Selepas keluar PKR, ahli Parlimen Lubok Antu jumpa Muhyiddin

Faiz Zainudin
-June 6, 2020 1:19 PM
Jugah Muyang (2 dari kanan) menemui Muhyiddin Yassin di Seri Perdana pagi tadi dengan ditemani Azmin Ali (kiri) serta Ali Biju (kanan).

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang yang meninggalkan PKR semalam, menemui Muhyiddin Yassin hari ini untuk menyuarakan sokongan kepada perdana menteri.

Sumber berkata, bekas naib presiden PKR itu menyerahkan surat aku janji menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan kepimpinan Muhyiddin.

Katanya, Jugah akan kekal sebagai wakil rakyat bebas buat masa ini.

Selain Jugah, turut hadir dalam pertemuan di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana pagi tadi ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali serta Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju.

Semalam, Jugah dilaporkan berkata, beliau meninggalkan PKR kerana kesal dengan masalah dalaman Pakatan Harapan dan kejatuhan kerajaan PH akibat peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Beliau berikrar menyokong penuh kerajaan PN pimpinan Muhyiddin dan kerajaan Sarawak pimpinan GPS yang diketuai Abang Johari Openg.

Katanya, dengan keputusan menyokong kerajaan PN itu, beliau berharap kawasan luar bandar yang diwakilinya diberi perhatian dan sokongan oleh kerajaan untuk pembangunan.

Buat masa ini, PKR hanya mempunyai 2 ahli Parlimen di Sarawak, iaitu Ketua PKR Sarawak, Larry Sng dan Ahli Parlimen Miri, Michael Teo.

Peletakan jawatan Jugah menyusul hampir seminggu selepas bekas ketua PKR Sarawak, Baru Bian menyertai parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-