Monday, July 13, 2020

Azhar Azizan dilantik Speaker baru tanpa undian


Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun hari ini dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat baru menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof.

"Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berbahagia Datuk Azhar Azizan @ Harun dipilih menjadi Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih," kata Muhyiddin.

Sebelum usul supaya Azhar dipilih menjadi speaker yang baru, dibentangkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, pembangkang juga mahu menamakan speaker mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa pemberitahuan 14 hari diperlukan untuk pencalonan itu dan pembangkang tidak mencalonkan sesiapa dalam jangka masa tersebut.
Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) kemudian bangkit dan berkata kekosongan jawatan speaker hanya berlaku hari ini dan oleh itu tempoh 14 hari harus bermula dari hari ini.

Kerajaan Perikatan Nasional hari ini membentangkan usul supaya Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya. Usul itu kemudian diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 ahli parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Susulan kekocohan itu, timbalan speaker Rashid Hasnon memutuskan bahawa masa untuk mencalonkan calon baru telah berlalu.

Azhar kemudian mengangkat sumpah sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

Bagaimanapun majlis angkat sumpah itu bertukar kecoh apabila wakil rakyat pembangkang berterusan mempersoalkan pelantikan Azhar.
Di sebalik rayuan supaya, semua ahli parlimen agar bertenang, kekecohan dan jerit menjerit berterusan di antara kedua-dua belah pihak.

Khalid Abdul Samad (Amanah-Shah Alam) melabelkan Azhar sebagai "speaker pintu belakang".

Azhar tanpa mengendahkannya terus memulakan ucapannya, dengan mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas pelantikannya itu.

Namun, pembangkang terus menuntut "Undi! Undi! Undi!"

Beliau berkata, isu pelantikannya sudah selesai berdasarkan Peraturan 46, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Perkara itu sudah selesai dan saya sudah mengangkat sumpah. Yang Berhormat Ipoh Barat (M Kulasegaran) merujuk kepada peraturan dan saya juga merujuk kepada peraturan," katanya.

Ini selepas Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) membangkitkan peraturan mesyuarat berhubung pelantikan speaker Dewan Rakyat.

Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) kemudian bangkit dan mengganggu ucapan sulung speaker itu.

“Sila keluar,” katanya.

Khalid kemudiannya dibawa keluar dan Azhar meneruskan ucapannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-