Friday, July 31, 2020

UMNO patut belajar dari sejarah, jangan menang sorak kampung tergadai

Siti Hafidah

Senario terkini tonjol sisi buruk pemimpin mereka penting diri, kroni


BANGI, 10 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Keputusan UMNO menarik diri dari Perikatan Nasional (PN) sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta jelas menunjukkan sifat pragmatis dan opportunis parti itu.

Pemerhati politik, Ir Lukman Al Hakim mendakwa, tindakan itu jelas selama ini kepimpinan tertinggi UMNO mengharapkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan campur tangan dalam sistem kehakiman negara dan menyelamatkan bekas presiden mereka.

“Apabila harapan berkecai, mereka mula mengeluarkan senjata rahsia berbentuk ugutan tidak langsung kepada Perdana Menteri. Walaupun masih menyokong kepimpinan Muhyiddin namun pendirian terkini UMNO jelas membayangkan bahawa mereka tidak begitu gembira dengan senario politik sedia ada.

“Masakan tidak, walaupun BERSATU memiliki jumlah Ahli Parlimen yang jauh lebih sedikit, namun jawatan menteri dan timbalan menteri yang dibolot lebih tinggi dari Ahli Parlimen UMNO. Begitu juga dengan posisi menteri besar contohnya di Perak,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Selain itu dakwanya, beberapa pimpinan tertinggi UMNO yang masih dibayangi kes rasuah dan sedang dibicarakan seperti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menambahkan lagi keperluan untuk mereka mendesak campur tangan politik dalam sistem kehakiman

“Jika tidak, lebih ramai pimpinan UMNO yang bakal meringkuk dalam penjara dan lebih banyak pekung yang bakal terdedah.

“Persoalannya, mana perginya perjuangan UMNO yang kononnya mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam sebagai identiti asas negara? Kenapa senario terkini hanya menonjolkan sisi buruk pimpinan mereka yang berjuang untuk kepentingan diri, kroni dan pemimpin korup yang diagung-agungkan?

“Bukankah lebih baik UMNO belajar dari kesilapan serta kesombongan mereka yang lalu yang menjadi punca kejatuhan BN pada 2018? Apa salahnya jika UMNO menguatkan PN sebagai platform persepakatan pimpinan Melayu Islam demi kepentingan rakyat majoriti Malaysia?,” soalnya.

Beliau menegaskan, sekiranya UMNO benar-benar ikhlas berjuang untuk agama dan bangsa, mereka akan tetap bekerjasama dengan parti lain yang mempunyai misi yang sama menentang parti rasis dan cauvinis, tonggak perosak Perlembagaan dan keharmonian integrasi kaum di Malaysia.

“UMNO perlu belajar dari sejarah. Jangan menang sorak kampung tergadai!,” tegasnya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS dan parti dalam komponen BN.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan PN walaupun tidak menyertai gabungan itu secara rasmi.

Difahamkan keputusan itu dibuat dua hari selepas Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-