Saturday, August 29, 2020

Pengundi Slim pilih wakil rakyat baru hari ini

Faiz Zainudin
-August 29, 2020 8:11 AM
PRK DUN Slim ialah pilihan raya kedua berlangsung dalam suasana kebiasaan baru susulan wabak Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lepas.

SLIM: Selepas 14 hari berkempen, maka hari ini seramai 23,094 pengundi di Slim akan membuat pilihan siapakah yang bakal mewakili suara mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

Tiga calon yang bertanding adalah daripada Barisan Nasional (BN), iaitu ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang menggunakan simbol pokok mewakili kem bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang turut disokong Pakatan Harapan (PH) dan seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, bekas guru, yang menggunakan simbol buku.

Calon BN turut didukung rakan gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk PPBM.

Kesemua 12 pusat mengundi dengan 54 saluran mula dibuka jam 8 pagi ini dan dijangka tutup jam 5.30 petang.

Seramai 689 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik untuk mengendalikan PRK tersebut.

Sementara itu proses pengundian awal bagi PRK itu berlansung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dekat Slim River pada 25 Ogos lalu, membabitkan 267 pengundi daripada 23,094 orang yang layak mengundi melibatkan anggota polis dan pasangan mereka.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim, di sini.

Sebelum ini SPR telah menghantar kad pengundi kepada 23,094 pengundi DUN Slim sejak 10 Ogos.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, inisiatif itu adalah usaha untuk menggalak dan memudahkan pengundi keluar mengundi.

Beliau berkata, pada PRK Slim kali ini, SPR meletakkan maklumat “Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan” pada kad pengundi.

SPR menjangkakan 70% pengundi akan keluar mengundi, manakala keputusan PRK itu dijangka diumumkan sebelum jam 10.00 malam ini.

Kempen PRK Slim kali ini menguna pakai peraturan yang ketat susulan penularan wabak Covid-19.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga ketua Umno Tanjung Malim, pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menang kerusi tersebut pada pilihan raya umum ke-14 selepas menewaskan calon PPBM Mohd Amran Ibrahim dan PAS, Zulfadli Zainal, dengan majoriti 2,183 undi.

PRK DUN Slim ialah pilihan raya kedua berlangsung dalam suasana kebiasaan baru susulan wabak Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lepas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-