Showing posts with label PRK DUN Slim. Show all posts
Showing posts with label PRK DUN Slim. Show all posts

Saturday, August 29, 2020

BN dahului PRK Slim lebih 8,000 undi

freemalaysiatoday
Faiz Zainudin
-August 29, 2020 7:23 PM
Mohd Zaidi Aziz memperoleh 9,980 undi setakat ini.

SLIM RIVER: Keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz mendahului Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim dengan majoriti selesa.

Berdasarkan pengiraan 45 daripada 56 saluran peti undi setakat ini, Zaidi memperoleh 9,980 undi, manakala 2 calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mendapat 1,622 undi dan Santhara Sekaran Subramaniam meraih 219 undi.

Ini menunjukkan BN mendahului dengan majoriti 8,358 undi.

Semua 12 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menjadi Adun Slim sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Pada PRU14, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim ialah PRK ke-2 yang diadakan dalam normal baru susulan penularan Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.

Pengundi Slim pilih wakil rakyat baru hari ini

Faiz Zainudin
-August 29, 2020 8:11 AM
PRK DUN Slim ialah pilihan raya kedua berlangsung dalam suasana kebiasaan baru susulan wabak Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lepas.

SLIM: Selepas 14 hari berkempen, maka hari ini seramai 23,094 pengundi di Slim akan membuat pilihan siapakah yang bakal mewakili suara mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

Tiga calon yang bertanding adalah daripada Barisan Nasional (BN), iaitu ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang menggunakan simbol pokok mewakili kem bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang turut disokong Pakatan Harapan (PH) dan seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, bekas guru, yang menggunakan simbol buku.

Calon BN turut didukung rakan gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk PPBM.

Kesemua 12 pusat mengundi dengan 54 saluran mula dibuka jam 8 pagi ini dan dijangka tutup jam 5.30 petang.

Seramai 689 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik untuk mengendalikan PRK tersebut.

Sementara itu proses pengundian awal bagi PRK itu berlansung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dekat Slim River pada 25 Ogos lalu, membabitkan 267 pengundi daripada 23,094 orang yang layak mengundi melibatkan anggota polis dan pasangan mereka.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim, di sini.

Sebelum ini SPR telah menghantar kad pengundi kepada 23,094 pengundi DUN Slim sejak 10 Ogos.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, inisiatif itu adalah usaha untuk menggalak dan memudahkan pengundi keluar mengundi.

Beliau berkata, pada PRK Slim kali ini, SPR meletakkan maklumat “Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan” pada kad pengundi.

SPR menjangkakan 70% pengundi akan keluar mengundi, manakala keputusan PRK itu dijangka diumumkan sebelum jam 10.00 malam ini.

Kempen PRK Slim kali ini menguna pakai peraturan yang ketat susulan penularan wabak Covid-19.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga ketua Umno Tanjung Malim, pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menang kerusi tersebut pada pilihan raya umum ke-14 selepas menewaskan calon PPBM Mohd Amran Ibrahim dan PAS, Zulfadli Zainal, dengan majoriti 2,183 undi.

PRK DUN Slim ialah pilihan raya kedua berlangsung dalam suasana kebiasaan baru susulan wabak Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lepas.

Saturday, August 1, 2020

Pemuda PKR akur PH tak tanding PRK Slim

Faiz Zainudin
-August 1, 2020 2:20 PM

Pemuda PKR menggesa pihak berkuasa berkaitan memperkenalkan SOP lebih ketat pada PRK Slim bagi membendung penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Pemuda PKR akur dengan keputusan Pakatan Harapan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Slim akhir bulan ini.

Setiausaha sayap itu, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, keselamatan rakyat perlu diutamakan kerana penularan Covid-19 belum reda dan aktiviti membabitkan orang ramai perlu dielakkan untuk meminimumkan risikonya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa terbabit memperkenalkan SOP lebih ketat.

“Pastikan SOP terbaik semasa proses pengundian dijalankan,” katanya kepada FMT.

Semalam, PH mengumumkan ia bersetuju memberi ruang kepada kumpulan bekas pemimpin PPBM yang diketuai Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada PRK Slim pada 29 Ogos ini.

Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Presiden gabungan berkenaan.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 15 Ogos bagi penamaan calon, 25 Ogos untuk pengundian awal dan 29 Ogos sebagai tarikh mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Khusairi yang mewakili BN mempertahankan kerusi Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Friday, July 31, 2020

PH beri laluan kepada kem Dr. M bertanding di PRK Slim

 
Saifuddin Nasution Ismail

Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada kumpulan Bersatu yang memihak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan datang.

Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH

“PH bersetuju tidak bertanding. Akan memberi ruang kepada Bersatu Tun bertanding,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

PH juga memberikan kebebasan sepenuhnya kepada kumpulan tersebut untuk memilih calon yang akan bertanding dalam PRK Slim itu nanti.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya dari BN, Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Dun Slim diadakan pada 29 Ogos, hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

-SM

Sunday, July 26, 2020

PKR tak jadi letak calon di DUN Slim

SAIFULLAH AHMAD
26 Julai 2020
MA Tinagaran

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk MA Tinagaran berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira perkembangan semasa negara yang sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) dan beberapa situasi yang membebankan rakyat.

Beliau berkata, pengumuman awal untuk bertanding pada PRK itu sebelum ini lebih bersifat untuk mempertahankan mandat rakyat dan kawasan itu.

"Selepas beberapa perbincangan yang dibuat, kita fikir adalah tidak wajar sama sekali untuk kita membebankan rakyat bagi melalui proses pemilihan ataupun pilihan raya memandangkan rakyat kini menderita dengan Covid-19, masalah ekonomi, kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

"Jadi ini bukan masa yang sesuai untuk berpolitik sebaliknya masa paling sesuai untuk menunjukkan kematangan politik kita dengan meletakkan keutamaan rakyat terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tinagaran berkata, keputusan itu juga sudah dimaklumkan dengan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan (PH) Perak di dalam mesyuarat yang berlangsung kelmarin di Ipoh.

Katanya, PH Perak bagaimanapun masih belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenai perkara tersebut.

Jelas beliau, dengan keputusan itu, tiada kemungkinan berlaku pertembungan antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Blackout yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kalau ada pertembungan Barisan Nasional (BN) dengan Bersatu Blackout lebih kepada mempertahankan kerusi yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

"Itu keputusan PKR setakat ini, tetapi situasi agak dinamik. Kita akan lihat keutamaan kepada kebajikan rakyat kerana tidak mahu menyusahkan mereka," katanya.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebelum ini antara pemimpin terawal menyatakan kesediaan bahawa PKR akan bertanding di kerusi DUN Slim pada PRK yang akan berlangsung pada Ogos nanti.

Bagaimanapun, bekas pemimpin Bersatu yang menyokong Dr Mahathir menyatakan pihaknya akan bertanding pada PRK DUN Slim.

Namun PH kemudiannya mengumumkan akan mengadakan perbincangan dengan kumpulan Dr Mahathir berhubung calon yang akan bertanding pada PRK itu bagi berdepan gabungan PN.

Saturday, July 25, 2020

Calon PRK DUN Slim: PH masih berbincang dengan Tun Mahathir

Bernama
Anwar menyatakan bahawa rundingan masih berjalan.
 - Gambar fail

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) menafikan telah menyerahkan kepada kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu masih dibincangkan oleh PH dan bekas perdana menteri berkenaan, serta keputusan dijangka diumum Selasa ini.
"Adalah agak mengelirukan untuk mengatakan kita (PH) telah menyerahkan kepada mereka (kumpulan Dr Mahathir untuk bertanding). Tidak ... rundingan masih berjalan.

"Semasa PRK Chini (di Pahang), kami bimbang tentang COVID-19 dan skop kempen yang agak terhad, sebab itu kami putuskan untuk tidak bertanding, namun kami telah kaji semula keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program temu duga jawatan kosong Hospital USCI di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai PH memberi laluan kepada pasukan Tun Mahathir bertanding di kerusi DUN berkenaan.

Semalam, media melaporkan bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Marzuki Yahya sebagai berkata kumpulan yang menyokong Tun Dr Mahathir akan meletakkan calon pada PRK itu selepas wakil Majlis Presiden PH menyatakan mereka tidak akan bertanding.

"Saya tidak tahu tentang mesyuarat berkenaan, tapi kami ada hantar wakil untuk berbincang dengan pasukan Tun Mahathir," kata Anwar.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Jumaat lepas menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14.

-- BERNAMA

PKR, PH masih berteka-teki



PAKATAN Harapan (PH) dilihat masih ‘mengetuk jari’ sama ada akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim ataupun tidak.

Ini kerana terdapat maklumat bercanggah antara kepimpinan PH diperingkat pusat dan PKR Perak.

Tambahan pula, PH sebelum ini melalui ahli Majlis Presidennya, Senator Datuk Marzuki Yahya memaklumkan gabungan itu tidak akan bertanding.

Sebaliknya kata beliau, ‘Bersatu Blackout’ dikatakan akan meletakkan calon di PRK Dewan Undangan Negeri itu dengan tiket bebas.

Katanya lagi, wakil bebas itu akan menggunakan logo baharu ataupun yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara tersebut juga disahkan Ketua Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dihubungi Malaysiakini.

Tetapi, PKR Perak pula menyatakan sebaliknya apabila, Pengerusinya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada 16 Julai lalu memberitahu partinya akan meletakkan calon dalam PRK berkenaan.

Menurut Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad pula, pihaknya mengenal pasti calon namun belum memuktamadkannya.

“PKR Perak bermesyuarat malam tadi untuk memuktamadkan beberapa isu sebelum laporannya dihantar kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan selanjutnya.

“Kajian lapangan yang dilakukan oleh jawatankuasa teknikal sejak Selasa lalu dibincang dalam mesyuarat itu,” katanya.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Chan Li Kang pula memaklumkan PH akan membuat kenyataan rasmi berhubung PRK Slim pada Isnin hadapan.

Terdahulu penyandang, Allahyarham Datuk Muhd. Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai di Hospital Bentong akibat serangan jantung.

Beliau meninggal dunia pada pukul 4.15 petang selepas tiba-tiba pengsan sekitar pukul 2.30 petang ketika bermain golf di Genting Highlands, Pahang.

DUN N.58 Slim adalah kawasan di bawah Parlimen Tanjung Malim yang merupakan kubu kuat UMNO.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) kawasan tersebut dimenangi beliau atas tiket UMNO dalam Barisan Nasional.
Beliau memenangi kerusi tersebut dengan majoriti, 3,526, 3,853 dan 2,183 dengan jumlah undian sebanyak 8,233 pada PRU-12, 11,152 (PRU-13) dan 8,327 (PRU-14).

Allahyarham Muhd. Khusairi sebelum ini berjaya mengekalkan kemenangan dalam PRU-12 dan PRU-13 dengan mengalahkan calon daripada Pas.

Pada PRU-14 pula, beliau berjaya menewaskan calon Pas dan PKR walaupun jumlah majoriti menurun berbanding PRU-13.

Susulan kekosongan kerusi DUN Slim, SPR mengumumkan tarikh bagi PRK kawasan itu adalah pada 29 Ogos.

Timbalan Pengerusinya, Dr. Azmi Sharom berkata, penamaan calon pula akan berlangsung pada 15 Ogos dan tarikh mengundi awal pula pada 28 Ogos.

Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 55 saluran akan dibuka pada hari pengundian melibatkan seramai 689 petugas.

SPR turut memaklumkan seramai 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK Slim akan datang.

PRK Slim merupakan pilihan raya kedua diadakan selepas DUN Chini ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Koronavirus (Covid-19) dan pengundi dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu, Barisan Nasional mencatatkan kemenangan berbanding PH (lima) dalam enam PRK iaitu Parlimen Cameron Highlands, Kimanis dan Tanjung Piai, DUN Semenyih, Rantau dan Chini. 

SM

Friday, July 24, 2020

PRK Slim: PN Perak Pastikan Tiada Pertembungan


IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak akan memastikan tiada isu pertindihan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Ogos akan datang.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata calon tunggal akan dipilih dan kesemua komponen parti dalam PN bersedia memberi sokongan kepada calon tersebut.

“Komponen parti PN bersatu hati untuk pastikan tiada pertembungan antara kami berlaku dalam PRK tersebut.

“Kita akan pilih seorang calon dan semua ketiga-tiga komponen parti akan memberi sokongan penuh kepada calon tersebut,” katanya yang juga Menteri Besar Perak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Komitmen Pelaburan Negeri anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Semalam Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun dilaporkan berkata partinya telah mengenal pasti sembilan nama yang akan dibincangkan bagi meletakkan sebagai calon PRK Slim.

Kekosongan Kerusi DUN Slim diumumkan selepas kematian wakil rakyatnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang.

Khusairi memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon BERSATU dan PAS dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Bersatu 'Blackout' akan tanding dalam PRK Slim


B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 5:01 pm

Kumpulan daripada kem Dr Mahathir Mohamad berkata akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim.

Senator Marzuki Yahya berkata kem mereka akan meletakkan calon menentang Perikatan Nasional (PN).

Katanya, seorang ahli Majlis Presiden PH memberitahu beliau bahawa gabungan pembangkang itu tidak akan bertanding di PRK Slim nanti.

"Kami Bersatu 'Blackout' akan bertanding di PRK Slim.

"Ini kerana seorang ahli Majlis Presiden PH mesej saya berkata bahawa PH tidak akan bertanding. Mereka tarik diri," katanya kepada Malaysiakini.

[Berita penuh menyusul]

Thursday, July 23, 2020

PRK Slim: Undi 29 Ogos, penamaan calon 15 Ogos


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N58 Slim, Perak diadakan pada 29 Ogos.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut mengumumkan hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

"Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula daripada hari perisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam 28 Ogos," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas mengenai urusan PRK itu, di Putrajaya hari ini.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Friday, July 17, 2020

Siapa calon PN akan dibincang bersama rakan komponen, kata PPBM Perak

FMT Reporters
-July 17, 2020 12:17 PM

Ahmad Faizal Azumu.

PETALING JAYA: Isu siapa calon mewakili Perikatan Nasional pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim akan dibincangkan secara bersama antara komponen gabungan berkenaan, kata Pengerusi PPBM Perak Ahmad Faizal Azumu.

“Apabila kita sudah buat keputusan, semua rakan komponen parti perlu untuk menyokong sesiapa sahaja yang dipilih,” katanya kepada pemberita di Taman Tambun, Ipoh hari ini.

Sebelum ini, PKR Perak mengumumkan ia mahu mencalonkan anak tempatan untuk PRK itu.

Bekas penyandangnya, Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai selepas pengsan ketika bermain golf.

Beliau yang menyandang kerusi itu selama 4 penggal sejak 2004 ialah ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua Umno Tanjung Malim.

Beliau mempertahankan kerusi DUN Slim pada pilihan raya umum ke-14 lalu dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PKR, Mohd Amran Ibrahim yang mendapat 6,144 undi dan calon PAS, Zulfadli Zainal yang meraih 4,103 undi.

Thursday, July 16, 2020

PKR Perak akan calon anak tempatan di PRK Slim untuk pertahan legasi Khusairi

FMT Reporters
-July 16, 2020 12:03 AM

Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Bentong, selepas pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort kira-kira 2.30 petang tadi.
(Gambar Fail)

PETALING JAYA: PKR Perak akan mempertahankan legasi Adun Slim, Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia petang tadi dengan mencalonkan anak tempatan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut mengucapkan takziah kepada keluarga Khusairi.

“Kita akan meneruskan usaha membela nasib rakyat sebagai pembangkang ketika waktu yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

“Ketika negara kita mengalami krisis Covid-19 dan rakyat sedang menghadapi kemelut ekonomi, gerakan reformasi akan diteruskan demi suara PKR.”

Khusairi, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4.15 petang di Hospital Bentong, Pahang selepas pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort kira-kira 2.30 petang tadi.

Adun Slim selama 4 penggal sejak 2004 itu ialah ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua Umno Bahagian Tanjung Malim.

Beliau mempertahankan kerusi DUN Slim pada pilihan raya umum ke-14 lalu dengan majoriti 2,183 undi, selepas menewaskan calon PKR, Mohd Amran Ibrahim yang mendapat 6,144 undi dan calon PAS, Zulfadli Zainal yang meraih 4,103 undi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-