Friday, September 25, 2020

Mahdzir nafi Umno berpecah selepas Zahid tidak hadir ceramah perdana GRS

Mohamad Fadli
freemalaysiatoday.com
-September 25, 2020 8:13 AM
Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid ditemui pemberita pada ceramah GRS di Kampung Sendil, Putatan, malam tadi.

KOTA KINABALU: Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid menafikan wujudnya perpecahan dalam parti itu selepas presidennya Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir dalam ceramah perdana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Umno masih kuat dan semua ahli Parlimen parti itu bersatu hati.

“Tidak. Kita satu. Kita ada 39 orang ahli Parlimen. Kita sangat baik dan utuh.

“Anda dapat lihat Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan (Keselamatan) buat pengumuman dari Sandakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada ceramah GRS di Kampung Sendil, Putatan, malam tadi.

Dalam ceramah perdana itu, Zahid yang juga pengerusi BN tidak hadir walaupun difahamkan beliau berada di Kota Kinabalu.

Selain Zahid, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin juga tidak kelihatan.

Dalam ceramah itu, BN diwakili oleh Mahdzir dan Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hazmah Zainuddin; Pengerusi PN Sabah Hajiji Noor; Presiden Star Jeffrey Kitingan, Setiausaha Agung PBS Jahid Janim dan Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup.

Semalam merupakan hari kempen terakhir sebelum hari mengundi pilihan raya negeri (PRN) Sabah Sabtu.

Sementara itu, Wee enggan mengulas ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Zahid pada majlis itu.

Terdahulu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Zahid dilaporkan berkata semalam bahawa partinya tidak dapat menghalang ahli Parlimen yang mahu menyokong Anwar.

Pengumuman Anwar itu, bagaimanapun, ditolak oleh pemimpin parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin, termasuk BN, PAS, PPBM, GPS, Star dan PBS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-