Tuesday, October 13, 2020

Berhenti buang masa rakyat, Fadillah beritahu Anwar

Goh Pei Pei
freemalaysiatoday.com
-October 13, 2020 8:47 PM
Pemimpin GPS Fadillah Yusof berkata dakwaan Anwar Ibrahim boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi.

KUCHING: Menteri Kanan (Infrastruktur) Fadillah Yusof mahu Presiden PKR Anwar Ibrahim berhenti “membuang masa rakyat”, susulan ketua pembangkang itu menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Bercakap kepada FMT, Fadillah, pemimpin Gabungan Parti Sawarak (GPS) paling kanan di Putrajaya berkata, negara sepatutnya fokus kepada usaha membendung penularan Covid-19 dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Pengumumannya hanya membuang masa. Ini bukan masa untuk menjejaskan kestabilan negara dan (melemahkan) keyakinan pelabur kerana ia memberi kesan kepada negara dan rakyat,” katanya.

Fadillah berkata, semua pihak harus mencari jalan untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan ekonomi.

Beliau mengulas dakwaan Anwar hari ini, yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan menelaah dokumen dipersembahkannya untuk menyokong dakwaan itu.

Anwar turut mendakwa, Agong akan memanggil setiap ketua parti untuk mendapatkan pengesahan mengenai sokongan terhadapnya.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini berkata Anwar tidak mempersembahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Agong.

Fadillah yang juga ketua whip GPS di Parlimen berkata, beliau tidak mengetahui mana-mana pemimpin parti itu dipanggil.

“Setakat ini, saya masih belum menerima sebarang notis daripada Istana Negara,” katanya.

Beliau berkata, GPS akan terus menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-