Monday, October 26, 2020

Bubar parlimen - Ada bincang tapi tiada keputusan, kata Najib

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 5:42 pm

Mesyuarat ahli parlimen BN yang berlangsung hampir tiga jam bermula jam 1 petang tidak membuat sebarang keputusan tentang sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu membubarkan Dewan Rakyat supaya pilihan raya umum boleh diadakan.

Sebaliknya, kata bekas pengerusi BN, Najib Razak, mesyuarat itu mendengar pelbagai pandangan daripada mereka yang hadir.

“Tak ada keputusan, macam-macam pandangan tapi pandangan ini tak boleh ambil kira , yang penting sekali keputusan.

“Kita cuma mendapatkan pandangan-pandangan dari wakil rakyat BN tentang pendirian kita dan halatuju yang patut dijadikan ketetapan parti.

“Keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi (Umno) malam nanti, ini kita sekadar buat percambahan fikiran dgengan pandangan (di) kalangan ahli parlimen,” katanya selepas menghadiri mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur.
Menurut Najib yang juga adalah bekas perdana menteri dan presiden Umno, sebagai ahli parti, mereka tertakluk kepada keputusan parti.

“Kita pegang pada prinsip macam mana pun Umno tak boleh berpecah, Umno mesti bertindak sebagai satu blok.

“Ini satu pandangan yang boleh dikatakan didokong oleh semua pihak,” katanya.

Mesyuarat hari ini diadakan susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam, yang menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.

Ia bagi membolehkan ahli parlimen BN untuk menyatakan pandangan masing-masing mengenai kemelut politik tanah air.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin, mengesahkan bahawa cadangan supaya menarik balik sokongan kepada Muhyiddin turut dibincangkan.

“Pandangan tarik sokongan daripada Muhyiddin ini ada juga pandangan tersebut, macam-macam... tapi majoriti no (tiada kerjasama dengan ) Anwar dan DAP.

“Dalam keadaan ini kita tengah bincang, ada juga pandangan supaya kita dapat bincang semula dengan Muhyiddin, contoh sekarang, antara menteri-menteri kanan dan menteri penting dipegang oleh Bersatu, Umno hanya menumpang,” katanya.

Zahidi bagaimanapun berkata mesyuarat tidak membincangkan isu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Kita sekarang bincang apa terbaik untuk rakyat, sebab itu saya kata rakyat jangan salahkan ahli politik, sebab wujud situasi ini (adalah kerana) undi rakyat dulu kena tipu...,” katanya.
B Nantha Kumar

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-