Monday, October 19, 2020

Mesyuarat MN bincang penyertaan Bersatu malam ini dibatalkan

M Fakhrull Halim
malaysiakini.com
Dikemaskini Hari ini 11:10 pm

Mesyuarat yang sepatutnya dijadual malam ini bagi membincangkan penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN), dibatalkan.

Menurut setiausaha agung bersama sekretariat MN, Annuar Musa, ia dibatalkan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Tiada (mesyuarat). Ada yang hadir tapi dibatalkan atas nasihat MKN," kata Annuar kepada media.

Ini selepas sumber mengesahkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan esok di Pahang juga dibatalkan, atas alasan Lembah Klang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pagi tadi, Annuar berkata soal penyertaan Bersatu ke dalam MN sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

Penyertaan Bersatu ke dalam MN menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi apabila ura-ura kini bertiup kencang bahawa bakal berlakunya perubahan pada landskap politik tanah air.

Ini terutamanya, apabila Umno mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).

Soal penarikan Umno daripada PN itu pula sepatutnya dibincangkan oleh mesyuarat MT Umno di Pahang esok, tetapi turut dibatalkan.

PN merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan bersama-sama Umno-BN, PAS dan dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Manakala MN pula merupakan gagasan kerjasama antara PAS dan Umno.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-