Showing posts with label Muafakat Nasional (MN). Show all posts
Showing posts with label Muafakat Nasional (MN). Show all posts

Wednesday, September 25, 2024

Zahid yang ‘bunuh’ Muafakat Nasional, bukan PAS

harakahdaily.net
September 25, 2024
Annuar Musa dalam ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, Kluang Johor. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)

KLUANG: “Bukan PAS tetapi sebaliknya Presiden Umno, Dato’ Seri Zahid Hamidi yang sebenarnya membunuh Muafakat Nasional (MN) yang sebelum itu berjaya menyatukan orang Melayu dari kedua-dua parti itu.”

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau yang ketika itu adalah Setiausaha Agung Umno menjadi saksi terhadap apa yang sebenarnya berlaku pada masa itu.

Menurut beliau, pada ketika itu MN sudah menjadi kuat setelah memenangi beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum itu telah menghantar surat rasmi mengajak parti Peribumi Bersatu (Bersatu) untuk menyertai MN.

“Bersatu bersetuju masuk Muafakat Nasional pada 15 Ogos 2020, Bersatu secara rasmi buat keputusan masuk mengganggotai Muafakat Nasional. Dah cantik.

“Tiba-tiba Zahid Hamidi pecahkan Muafakat Nasional, lepas tu dia fitnahkan PAS.

“Dia kata Muafakat Nasional mati kerana PAS yang rosakkan Muafakat Nasional. Bohong!” katanya.

Menurut Annuar, beliau menjadi saksi bahawa Bersatu telah membalas surat rasmi menyatakan persetujuan untuk menyertai MN.

“Saya menjadi saksi. Setelah Bersatu setuju perkuatkan Muafakat Nasional, jawab secara bersurat. Zahid Hamidi yang mengarahkan saya supaya tidak meneruskan Muafakat Nasional.

“Yang bunuh Muafakat Nasional adalah Zahid Hamidi!” tegasnya.

Tambahnya, beliau tidak pernah bergaduh secara peribadi dengan Presiden Umno itu, namun prinsipnya tidak goyang.

“Meninggalkan Bersatu, meninggalkan PAS, pergi kepada DAP adalah kedurjanaan politik bagi saya dan saya kena ‘call a spade a spade’.

“Suka tak suka soal lain. Dan sekarang apa yang saya harap tidak berlaku kepada Umno sudah berlaku,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan, akibat daripada sikapnya yang mempertahankan penyatuan parti Umno, PAS dan Bersatu dalam MN itulah beliau diketepikan sebagai calon Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tak apa tolak saya tak jadi calon di Ketereh.

“Waktu tsunami besar (PRU14), saya masih jadi calon, saya masih menang hampir 5,000 undi. Buang saya, letak calon baru, saya sokong. Tetapi calon baharu itu kalah (undi majoriti) 23,000.

“Tak pernah di Ketereh yang saya bangunkan daripada kawasan tak kuat Umno menjadi kawasan kuat Umno, waktu merudum PRU14, kawan-kawan seluruh negara banyak kalah, saya masih boleh bertahan di Ketereh dengan majoriti hampir 4,000 undi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Riduan Mohamad Nor; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Dato’ Azman Nasrudin; Pengerusi Proklamasi Melayu Negeri Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid; dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Sungai Petani, Azhar Zakaria.

Dalam pada itu Annuar menyatakan bahawa beliau tidak mahu melihat Umno dirosakkan akibat terpaksa mengikut sesetengah pemimpin yang hanya mempunyai kepentingan peribadi dan mereka merosakkan parti dan orang Melayu.

Sewajarnya, ujar beliau, dalam situasi genting seperti ini Umno, PAS dan Bersatu menggabungkan saki baki kekuatan yang mereka ada untuk memperkuatkan orang Melayu.

“Jadi, sekarang apabila kerajaan yang dibina ini yang DAP berada di dalamnya, DAP bijak dalam berpolitik.

“Dia gunakan Umno untuk menyerang sesama Melayu Islam.

“Hari ini kita dengar orang Umno yang balun ulama.

“Sedangkan orang Umno yang balun ulama tu baca Al-Fatihah pun rasa belum betul lagi. Entah baca qunut betul ke tidak pun tak tahu.

“Tetapi ada hati nak menghina alim ulama. Yang jelas jauh lebih baik dari orang yang menghina,” katanya.

Dalam PRK Mahkota ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, Coach Haizan.

Tarikh 28 September ini ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula berlangsung semalam melibatkan tiga pusat mengundi. 

Wednesday, September 18, 2024

‘Umno tak terdesak dan tak bernafsu pun untuk bersama PAS lagi’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 18, 2024 12:54 PM
Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata pengalaman parti itu bersama PAS dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini adalah cukup pahit.

Dalam satu hantaran di Facebook, katanya, Umno telah belajar dari kesilapan lalu dan tidak akan terjerumus ke lubang sama bagi kali kedua.

“Umno tak terdesak dan tak bernafsu pun untuk bersama PAS lagi.

“Kalau PAS rasa dia dah hebat sangat dengan Perikatan Nasional (PN) macam sebelum ini, teruskanlah. Umno pun ada haluan sendiri. Tak payah la nak ungkit-ungkit lagi soal MN, tak ada sesiapa pun nak ulang kesilapan yang sama.

“Umno tak sama macam PAS yang gila talak dan suka poligami. Sebab itu sekarang ini orang PAS nak cari orang bukan Islam pula nak kahwin sebab nak dapat undi,” katanya.
Nur Jazlan merujuk kepada perbahasan Pemuda PAS, pada 12 September lalu, apabila seorang perwakilan menimbulkan cadangan taktik berkahwin dengan bukan Melayu. Katanya, ini boleh memenangi parti itu dengan mendapat satu undi tetapi berpuluh, malah ratusan undi.

Nur Jazlan berkata, Abdul Hadi sebenarnya cuba “kelentong” berhubung siapa yang meninggalkan MN.

“Dulu bukan main rapat dengan Umno sampai bersumpah setia dan menangis-nangis nak bersama-sama dalam MN.

“Tapi bila dah tak kena dengan selera tekak PAS, terus ditinggalkan macam tu saja. Tak ingat ke siapa sebenarnya yang tinggalkan siapa dulu?” katanya.
Abdul Hadi pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-70, di Kerdau, Temerloh, Sabtu lalu, mendakwa parti itu tetap meneruskan usaha untuk menarik sokongan pemimpin Umno dalam usaha menghidupkan MN..

Bagaimanapun jelasnya ia melibatkan sebahagian pemimpin sebaliknya bukan pasukan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Nur Jazlan mencabar PAS supaya mendedahkan pemimpin partinya yang bukan daripada kumpulan atau penyokong Ahmad Zahid yang terlibat dalam perbincangan penyatuan orang Melayu-Islam dan bumiputera seperti yang didakwa itu.

“Hadi cuba kelentong siapa Ini? Kalau betul ada perbincangan tu, saya cabar Hadi dedahkan namakan pemimpin Umno yang kononnya berbincang dengan PAS.

“Takkan nak cakap ‘ada’ tapi tak berani nama. Takkan Pak Lebai nak menipu kot,” sindirnya.
Nur Jazlan berkata, presiden PAS itu cuba menunjukkan bahawa parti itu kononnya 'terpaksa' meninggalkan MN sebab Umno dipimpin oleh Ahmad Zahid yang terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah.

Macam la rakyat tak tahu permainan sebenar dan loyar buruk PAS selama ni.

“Pengalaman bersama PAS dalam MN dah cukup-cukup pahit. Umno pun dah belajar dari kesilapan lalu. Dah jatuh dalam lubang yang sama sekali, takkan nak jatuh kali kedua pula?” katanya.
Selain pimpinan-pimpinan Melayu Bumiputera, Abdul Hadi juga dipetik sebagai berkata, PAS juga ingin menarik pemimpin bukan Islam yang tidak ekstrem.

“PAS ini macam lintah ketika musim banjir di Pantai Timur. Selalu laparkan darah. Bila dah tak boleh nak kikis duit dari Bersatu, PAS mula cari balik Umno yang sekarang ini ada dalam kerajaan Perpaduan dengan harapan dapat menempel di kulit Umno dan hisap darah lagi,” katanya lagi.

Saturday, September 14, 2024

Bincang penyatuan Melayu, Islam dan Bumiputera dengan UMNO tak babitkan Zahid - Hadi Awang

bharian.com.my
Oleh Fahmy A Rosli 
fahmy.azril@bh.com.my
September 14, 2024 
Tan Sri Abdul Hadi Awang. - NSTP/ MUHAMMAD DELIMA ATAN

TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan usaha untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan orang Melayu, Islam dan Bumiputera, dilakukan tanpa penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-70 hari ini, beliau berkata perbincangan dibuat tanpa kehadiran Ahmad Zahid sewaktu Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sedang bercuti.

"Yang asal kita bincang ialah penyatuan orang Melayu, Islam dan Bumiputera melibatkan pemimpin UMNO. Tidak (ada Ahmad) Zahid Hamidi. Ia berlangsung semasa (Ahmad) Zahid Hamidi (sedang) bercuti. (Jadi) dia tak terlibat.

"Dan kita bersetuju untuk mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Islam dan Bumiputera untuk ambil alih kerajaan bersama dengan BERSATU (ketika itu).

"Kita berjaya ambil alih kerajaan dalam beberapa tempoh (sebelum ini). Tetapi oleh kerana (Kerajaan Persekutuan pada ketika itu) tidak teguh, tak kuat kedudukannya. Tapi ada kejayaan, ada kesannya.

"Kesannya ialah beberapa dalam kalangan pimpinan UMNO bersama kita. Hanya segelintir saja bersama dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya sambil menambah hari ini sambutan kelima penubuhan MN.

Ditanya adakah PAS masih terbuka untuk menerima kerjasama dengan UMNO, Abdul Hadi mengakui "ya".

Dalam masa sama, beliau berkata PAS juga bersedia bahkan membuka pintu untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka yang bukan Islam, namun menggariskan syarat bahawa golongan itu mestilah tidak ekstrem.

"Tarik pimpinan Melayu, Bumiputera termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

"Selagi PH berpegang kepada prinsip dan dasarnya yang pragmatik, yang tidak konsisten di mana komponen bukan parti yang ada dasar yang teruk.

"Ada (parti) yang ada dasar bercanggah dengan perjuangan kita. Contohnya DAP (dasarnya) yang sekular, Malaysian Malaysia. Bererti di (peringkat) antarabangsa pun dia (dasar DAP) ikut (seperti) Singapura, ikut Amerika Syarikat," katanya.

PAS takkan sertai PH ‘dalam apa jua bentuk’, tegas Hadi

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
14 Sep 2024, 12:00 PM

Presiden PAS itu berkata, partinya tetap teguh mempertahankan PN.
Presiden PAS Hadi Awang berkata, partinya memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem.

TEMERLOH: PAS tidak berhasrat menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam ‘apa-apa jua bentuk, tegas Hadi Awang.

Dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-70, presiden PAS itu berkata, partinya tetap teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

PAS tetap berdiri teguh mempertahankan PN dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar, katanya tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai MN yang dimaksudkannya.

(PAS) tidak sesekali berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa-apa jua bentuk.

PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan PKR, parti tonggak PH, dan DAP atas tiket Pakatan Rakyat, namun gabungan itu terbubar pada 2015 selepas DAP dan PAS tidak lagi sehaluan.

Selepas kalah pada PRU 2018, PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional pada akhir 2019 namun kerjasama atas platform penyatuan ummah itu juga gagal apabila PAS menyertai Bersatu membentuk PN pada 2020, selepas lima bulan di Putrajaya.

Sementara itu, Hadi dalam ucapannya hari ini berkata, PAS memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, dalam kalangan mereka yang menerima Islam sebagai penyelesaian dan menerima tokoh Islam sebagai pemimpin.

“PAS akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus, tetapi kelengkengnya berkait.

Ini bagi menjamin ‘keindukan’ Islam dan Melayu kekal terpelihara di tanah air tercinta ini, katanya.

Muktamar Tahunan PAS ke-70 berlangsung di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh, bermula Rabu, dengan acara kemuncak pada hari ini dan esok.

Monday, July 22, 2024

PAS dakwa ada bincang kerjasama dengan pemimpin utama Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 22, 2024
PAS mendedahkan beberapa siri pertemuan bersama pemimpin utama Umno untuk membincangkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal namun tidak mendedahkan pemimpin Umno tersebut, lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, pemimpin utama Umno tersebut meluahkan 'rasa serba salah' bekerjasama dengan Kerajaan perpaduan yang didakwa merugikan Umno.

“Ia perbincangan itu ada dan ia bukan satu gerakan, tetapi lebih kepada harapan. Ia membabitkan pemimpin utama. Dan dalam pertemuan itu, mereka mengharapkan agar kerjasama bersama dengan PAS dapat bersatu kembali, cuma mereka tidak berani ingin melawan apa yang diputuskan Presiden Umno.

“Malah, mereka juga berharap Presiden Umno berubah sikap kerana perubahan, visi misi yang cuba dibawa oleh Presiden Umno itu tidak sampai ke peringkat bawah, ini luahan mereka termasuk kepada saya sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, tiada jaminan parti itu akan bekerjasama mana-mana gabungan politik bagi berdepan PRU16.
Ini kerana tegasnya, Umno hanya terikat dengan perjanjian untuk menguruskan negara bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang mantap selepas PRU15.

Malah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Jalaluddin Alias turut mengakui kerjasama antara BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan hari ini baik di peringkat Persekutuan tetapi keadaan itu berbeza di peringkat negeri.

Kata Ahmad Fadhli lagi, daripada luahan tersebut, beliau yakin ramai pemimpin Umno mulai sedar akan kerjasama yang dibina bersama dengan PH tidak diterima orang Melayu, akhirnya parti itu dikhuatiri tewas dalam PRU-16 nanti.

“Sebab itu saya tidak kata mereka menyesal dengan kerjasama yang dibina bersama PH, tetapi lebih kepada serba salah. Rasa serba salah itu sebab Umno akan terpahat dalam sejarah sebagai orang yang mendukung PH untuk berada di puncak kuasa yang ada pada hari ini.

“Dalam keadaan ini, saya melihat UMNO sudah mula sedar apabila Timbalan Presidennya sendiri kata tiada jaminan Umno mahu kerjasama dengan siapa. Namun seperti saya katakan tadi, akhirnya yang tentukan kata putus adalah Presiden Umno,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata, PAS tiada masalah dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, malah sedia menghulurkan tangan jika beliau ingin bekerjasama dengan parti Islam tersebut.

“ Kita bukan tidak suka orangnya, tetapi kita tidak suka sikapnya, itu sahaja. Kalau hari ini beliau (Ahmad Zahid) kata ingin bekerjasama dengan Pas, kalau sebut pukul 12..pukul 10 lagi kita sudah buka pintu. Kita bincang dan perkukuhkan kembali,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Umno dan PAS membentuk kerjasama menerusi Muafakat Nasional pada 14 September 2019 ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang.

Bagaimanapun Muafakat Nasional tidak bertahan lama apabila Bersatu berpihak kepada Muafakat Nasional selepas keluar daripada gabungan PH pada 2020 dan membentuk kerajaan.

Pada 13 Oktober 2022, PAS menyatakan pendirian kekal bersama PN dalam menghadapi PRU15 selepas Ahmad Zahid memberi kata dua kepada parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Friday, July 19, 2024

Kerjasama Umno-PAS mesti dalam kerangka kerajaan perpaduan, kata Khairuddin

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
19 Jul 2024

Bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali berkata PAS juga perlu mewujudkan suasana yang kondusif dengan Umno.
Umno dan PAS sebelum ini pernah bekerjasama di bawah Muafakat Nasional selepas PRU14.

PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin PAS berkata kerjasama antara parti itu dengan Umno hendaklah termasuk dalam kerangka kerajaan perpaduan hari ini.

Bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS Khairuddin Aman Razali berkata PAS juga perlu mewujudkan suasana yang kondusif dengan Umno sebelum kembali menjalinkan kerjasama sepertimana pembentukan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Khairuddin Aman Razali.
Katanya, Umno ketika ini mengambil sikap berhati-hati dengan PAS kerana tidak mahu pengalaman pahit seperti mana yang berlaku pada PRU15 lalu berulang lagi.

“Keputusan semasa Umno seperti yang ditegaskan oleh Presiden Zahid Hamidi dan didukung oleh MKT adalah pendirian berhati-hati.

Ini susulan pengalaman pahit rundingan rasmi lapan mata antara presiden dan timbalan presiden Umno dan PAS sebulan sebelum PRU15 yang tidak dihormati, katanya kepada FMT.

Khairuddin yang merupakan timbalan pengerusi Majlis Ulama Umno berkata sebelum rundingan baharu kerjasama dilakukan, PAS perlu bersedia mewujudkan suasana kondusif dengan memperkasakan hubungan bersama Umno terlebih dahulu yang pernah dibuat sebelum PRU14.

“Hubungan dua parti (PAS-Umno) ini juga hendaklah termasuk dalam kerangka kerajaan perpaduan hari ini.

Kerjasama politik antara Umno dan PAS hendaklah menurut strategi dan situasi semasa yang menguntungkan Islam dan negara serta meraikan kepentingan semua pihak dari kedua parti, katanya.

Khairuddin semasa memegang jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama PAS antara tokoh yang kuat mahu kerjasama PAS-Umno diteruskan, sebelum beliau dipecat daripada jawatankuasa itu dan akhirnya bertindak keluar parti.

Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berkata parti itu perlu memutuskan segera sama ada untuk bersama Pakatan Harapan (PH) atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu Islam menerusi MN.

Isham berkata objektif utama sebelum PRU16 adalah untuk mengembalikan MN supaya parti Melayu Islam iaitu PAS, Bersatu, dan Umno bergabung untuk mencapai kemenangan.

Zahid bagaimanapun ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar pada 8 Julai lalu memaklumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden.

Monday, March 18, 2024

Umno pertahan kepentingan individu bukan survival Melayu

harakahdaily.com
March 18, 2024
KOTA BHARU: Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar meletak punca Muafakat Nasional (MN) gagal dipertahan terhadap pihak lain kerana sejarah mencatat Presiden Umno itu sendiri menjadi faktor.

Kronologi kegagalan MN sudah banyak didedahkan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa, dan ia tidak dapat dinafikan lagi.

Pemerhati politik dari sebuah universiti awam tempatan Dr Zulkeflee Yaacob berkata, Ahmad Zahid tidak boleh meletak kegagalan MN kerana pihak lain.

Katanya, apa yang didakwa Presiden Umno kegagalan MN berpunca daripada PAS suatu tuduhan separuh masak.

“Lagipun Umno yang diterajui pemimpin sekarang tiada lagi jiwa Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang sering mengepalai isu dan survival bangsa suatu ketika dahulu.

“Umno wajar berasa kehilangan tampuk di atas kealpaan agenda Melayu Islam sejak merdeka malah agak serius pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya di sini.

Pada Sabtu lepas, ketika menghadiri Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, Tanah Merah, Zahid dilapor menolak cadangan untuk menghidupkan semula MN.

Menurutnya juga Umno tidak pernah meruntuhkan MN dan penyatuan ummah, sebaliknya PAS yang berbuat demikian.

Sebelum ini Annuar mendakwa kepimpinan Umno memecahkan-belahkan kerjasama PAS dengan Umno yang dibina menerusi MN semata-mata mahu membuat jajaran politik yang baharu.

Dr Zulkeflee yang juga Penasihat Majlis Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan berkata, Umno sekarang seumpama ayam sayur yang hanya mempertahan berkepentingan individu berbanding survival umat Melayu Islam.

Kata beliau pemimpin Umno banyak membisu terhadap plot bersiri penghinaan terhadap Islam dan orang Melayu yang diatur pihak tertentu. 

– HARAKAHDAILY 18/3/2024

Wednesday, March 13, 2024

'Penyatuan ummah perlu libatkan parti Melayu-Islam termasuk Amanah'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 13, 2024 6:03 PM
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan sikap terbukanya dan tidak menolak sekiranya berlaku penyatuan antara parti-parti berteraskan Melayu-Islam di masa depan termasuk dengan parti serpihan PAS iaitu Amanah.

"Pada saya kita perlu menjadi sangat dinamik dalam berpolitik dalam negara ini.

"Tidak ada dalam politik ini bermusuh selama-lamanya, atau tidak ada (jadi) rakan selama-lamanya," katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Dalam podcast itu menteri besar Terengganu antara lain ditanya pandangannya sama ada permusuhan PAS dan Amanah itu boleh dijernihkan pada masa depan.

Amanah ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin kanan PAS yang ditolak beramai-ramai dalam pemilihan parti pada 2015. Ia diterajui oleh Mohamad Sabu yang juga bekas timbalan presiden PAS.

Ummah itu siapa?

Sementara itu, Ahmad turut ditanya mengenai punca kegagalan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno dan kerjasama antara parti-parti politik Melayu-Islam termasuk dengan Amanah.

"Kita bercakap tentang penyatuan ummah, ummah itu siapa? Bukan Umno saja, Bersatu pun. Kita faham Umno (ketika itu) ada sentimen yang lain terhadap Bersatu. .

"Saya ingat lagi pada waktu itu rakan-rakan dalam Umno pun tanya kalau Amanah bersama kita, saya kata boleh, pemimpin (PAS) lain pun kata OK kalau mereka meninggalkan DAP kita boleh terima," jelasnya.

Ahmad Samsuri berkata, apa yang penting (dalam politik) adalah membuat keputusan berdasarkan apa yang betul sebaliknya bukan berdasarkan sentimen.

"Pada saya apa yang betul adalah sepatutnya termasuklah Amanah, Umno, parti berasaskan orang Islam-Melayu ini supaya dapat bersama.

"Memang kita tak dapat nafikan maksud bersama itu berbagai-bagai, maksud bersama tidak semestinya bergabung dalam satu parti. Tidak semestinya begitu, yang pentingnya ialah kita bekerjasama. Itu objektif yang tertinggi," jelasnya.

Isu MN dibangkitkan semula selepas Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menyatakan ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan partinya dengan Umno bagi menghidupkan MN.

Kenyataan Hashim bagaimanapun dibidas Presiden Umno Zahid Hamidi dengan berkata, PAS tidak ikhlas menawarkan kerjasama menghidupkan semula MN.

Monday, February 26, 2024

PAS: Ikhlaskah Zahid bila berunding dalam gelap dengan Anwar dulu?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2024
Selepas dilabel tidak ikhlas untuk berbaik-baik semula dengan menghidupkan Muafakat Nasional (MN), PAS hari ini membangkitkan isu sama - keikhlasan - di pihak Umno.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyenaraikan beberapa isu yang mengaitkan pemimpin tertinggi Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dengan isu keikhlasan.

Kata Ahmad Fadhli keikhlasan Ahmad Zahid boleh dipersoalkan apabila presiden Umno itu didakwa mengadakan rundingan sulit dengan Anwar Ibrahim ketika pemimpin PH itu masih menjadi ketua pembangkang.

"Jika ingin bercakap soal keikhlasan, ikhlaskah presiden Umno apabila pada saat Umno sedang berada di dalam kerajaan PN pun sudah ada rundingan secara gelap dengan Anwar sebagai ketua pembangkang pada masa itu untuk menobatkannya menjadi perdana menteri?

"Ramai yang masih ingat helaian kertas A4 yang tidak sempat bertandatangan mengandungi perakuan ini yang tidak pernah dinafikan oleh presiden Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gambar fail
Semalam Ahmad Zahid dilaporkan berkata, cadangan PAS untuk menghidupkan semula MN - yang ditubuhkan ketika kedua-dua parti menjadi pembangkang pada 2019 - sebagai tidak ikhlas.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, Umno menganggap PAS tidak ikhlas dalam hubungan tersebut kerana meninggalkan MN untuk bersama Bersatu.

"Mereka menikam kami dari belakang, mereka lakukan kerenah melebihi daripada apa yang kita setujukan.

“Saya tidak rasa mereka ikhlas dalam buat tawaran itu,” katanya.

Bukan tawaran baru

Untuk rekod Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin tertinggi PAS, Hashim Jasin, yang menegaskan parti itu masih membuka pintu kerjasama dengan parti Melayu Islam.

Kata mursyidul am PAS itu, dia yakin kerjasama antara parti itu dan Umno masih boleh dihidupkan kembali melalui MN.

Ahmad Fadhli berkata keikhlasan presiden Umno itu juga boleh dipersoalkan apabila dia berdegar-degar berjanji tidak akan menyokong Anwar dan DAP semasa dalam perhimpunan agung parti berkenaan.

Namun, katanya, Ahmad Zahid memungkiri janji tersebut selepas PRU ke-15 dan mendakwa Umno mempunyai "pilihan lain" yang boleh diambil.

Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas juga menegaskan kenyataan Hashim itu bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya hasrat PAS yang tidak pernah padam untuk menyatukan ummah.

"Sama ada ia (penyatuan itu) di bawah nama MN atau apa jua nama merupakan perkara yang kedua," katanya lagi.

Pada masa sama secara sinis Ahmad Fadhli berkata, pada hakikatnya ketika ini BN dan PH saling memerlukan antara satu sama lain.

"Tanpa BN, PH tidak boleh menjadi kerajaan; dan tanpa PH, presiden Umno akan merasakan dirinya tidak selamat," katanya.

Sunday, February 25, 2024

‘Tawaran’ PAS hidup semula MN tak ikhlas, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou 
25 Feb 2024, 7:05pm

Presiden Umno mengingatkan bahawa PAS yang keluar dan ‘menikam belakang’.
Zahid Hamidi berkata PAS ‘menikam kami dari belakang’ ketika ditanya mengenai tawaran menghidupkan semula Muafakat Nasional.

CYBERJAYA: Zahid Hamidi percaya tawaran kerjasama daripada PAS bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) tidak ikhlas.

Presiden Umno itu mengingatkan bahawa PAS yang “keluar” daripada kerjasama itu.

“Yang keluar MN itu bukan Umno. Mereka yang keluar… mereka yang menikam kami dari belakang.

“Mereka yang membuat kerenah melebihi apa yang kami setujukan. Saya tak fikir mereka ikhlas dalam membuat tawaran itu,” katanya kepada pemberita, selepas majlis perasmian program Penggerakan Wanita Risda (Pewaris).

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, pada 16 Feb lalu berkata beliau “yakin” ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan PAS dengan Umno bagi menghidupkan MN, yang digagaskan ketika keduanya dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan.

Beliau juga berkata PAS tidak akan menutup ruang kerjasama dengan Umno untuk menghidupkan semula MN biarpun pemimpin Umno Puad Zarkashi menegaskan partinya sudah “tutup buku”.

Sebelum ini, PAS dan Umno saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka hampir lima tahun lalu.

Hubungan dua parti itu tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional pada 2020 yang diterajui Bersatu, sekali gus mahu parti serpihan Umno itu turut menyertai MN.

Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana menganggap Bersatu pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

Tuesday, August 29, 2023

PAS terbuka hidupkan kembali MN, pemimpin UMNO kata jangan buang masa

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
 - Ogos 29, 2023
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR: PAS masih terbuka untuk meneruskan agenda penyatuan ummah bersama UMNO, yang kini memilih membentuk kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu masih mengambil sikap sedemikian memandangkan ummah khususnya orang Melayu masih memerlukan penyatuan.

"Gagasan penyatuan ummah MN (Muafakat Nasional) masih terbuka dan PAS bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) yakin ummah ini perlukan penyatuan dan muafakat," kata Tuan Ibrahim.

"Kita penuh yakin dalaman UMNO yang masih sayangkan gagasan ini dan demikian juga dalam PN," katanya dilaporkan FMT.

Reaksi Tuan Ibrahim itu hadir sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menyatakan keperluan supaya semangat MN dihidupkan kembali khususnya membabitkan dua parti itu.

MN secara dasarnya mula terkubur selepas UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan bertanding solo dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, seterusnya membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH.

Mengikut sejarahnya, MN secara rasmi dibentuk pada 14 September 2019, menerusi pemeteraian satu piagam ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, semangat yang dibawa dalam MN ini boleh dihidupkan kembali jika kedua-dua pihak boleh mengenepikan agenda peribadi, sebaliknya memfokuskan kepada penyatuan ummah.

"Kita mesti buang yang keruh, yang punya agenda peribadi sehingga mengetepikan agenda ini dan sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas ditentang sebelum ini," katanya.

Sementara itu, seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pula berkata, UMNO tidak seharusnya membuang masa dengan perkara yang sudah berlalu dan gagal, sebaliknya fokus untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Tidak perlu buang masa dengan perkara yang sudah dibuat tetapi gagal, lebih baik UMNO fokus Kerajaan Perpaduan. Sepatutnya PAS terlebih dahulu fokus memperkuatkan MN, tetapi tidak sampai setahun jagung PAS main dua lawang, …kerjasama dengan BERSATU yang memang mahu membunuh UMNO.

"Selagi PAS dengan sikap lamanya, konsep penyatuan ummah sukar dicapai melalui pendekatan parti politik. Mesti ada tikam belakang," katanya.

Saturday, August 5, 2023

Janji reformasi, yang dapat kleptokrasi dan kakistokrasi

suaramerdeka-com.my
05/08/2023

TAN SRI ANNUAR MUSA berkata, rakyat kini sudah dapat menilai bahawa janji-janji reformasi yang dijaja selama ini telah gagal.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu, apa yang dapat ialah kerajaan yang dianggotai pemimpin yang kleptokrasi dan kakistokrasi.

Kata beliau, pemimpin kleptokrasi ialah mereka yang gemar mengaut laba dan mencuri kekayaan negara dibawa masuk ke dalam kerajaan.

Lebih malang lagi, ujar beliau, situasi berkenaan telah menjadikan kerajaan yang ada terperangkap dalam situasi kakistokrasi iaitu yang tidak boleh diharap serta tidak mampu mentadbir negara.

Annuar mendakwa gejala tuntutan dana politik mula dirungut oleh para kontraktor.

“Ketua bahagian UMNO diberi taklimat kononnya memperoleh peruntukan RM2 juta untuk projek kecil dan diagihkan dalam kalangan penyokong,” katanya dalam hantaran ke media sosial.

Annuar berkata, sentimen Melayu kini diperlekeh kerana dikatakan melanggar peraturan 3R iaitu larangan menggunakan isu berkaitan Raja, Agama dan Kaum.

Monday, May 1, 2023

Annuar Musa dijangka sertai PAS

hmetro.com.my
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP

Kota Bharu: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dijangka menyertai PAS dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu antara 20 bekas pemimpin Umno yang menyatakan hasrat menyertai Perikatan Nasional (PN).

"Annuar ada maklumkan untuk sertai PAS baru-baru ini. Memang PN menerima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO untuk sertai.

"Kita akan menyusul dengan perbincangan lanjut. Kesemua mereka itu dalam proses untuk selaraskan kemasukan.

"Mereka boleh menyertai mana-mana parti dalam PN sama ada PAS atau Bersatu, atau mereka boleh terus menjadi ahli bersekutu PN. Kita tiada halangan untuk pertimbang kemasukan mereka memandangkan tawaran dibuat kepada semua bekas pemimpin UMNO termasuk Khairy Jamaluddin," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada bekas pemimpin Umno yang bakal menyertai PN itu akan diberikan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Takuyuddin berkata, perkara itu bergantung kepada keadaan.

"Proses pertama adalah kemasukan mereka dalam PN dan sama ada mereka akan diberi kerusi adalah proses kedua.

"Bagaimanapun saya pasti akan ada dalam kalangan mereka yang akan diberikan kerusi untuk PRN nanti," katanya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan Khairy ada memberi maklum balas kepada tawaran yang dibuat PN.

"Beliau memaklumkan akan bersama dengan kita namun tidak dinyatakan secara spesifik. Beliau memaklumkan tidak akan bersama dengan Umno dan PH.

"Justeru, kita jangka beliau akan bersama dengan kita," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar menafikan sudah bersara daripada arena politik tanah air sebaliknya menegaskan akan lebih aktif selepas ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Umno bagaimanapun berahsia mengenai parti mana yang akan disertainya, namun akan memilih parti yang 'berhaluan baik'.

Disiarkan pada: Mei 1, 2023 @ 1:09pm

Thursday, March 16, 2023

‘Dulu MN patah sebelah, sekarang patah satu lagi’

ismaweb.net
Siti Fatimah

UMNO ambil sikap husnuzon dengan Muafakat Nasional

KUALA NERUS, 23 Syaaban 1444H, Khamis – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan terus mengambil sikap ‘husnuzon‘ (bersangka baik) terhadap Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, pihaknya perlu sentiasa bersangka baik kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik, namun pada masa ini pihaknya hanya mahu memfokuskan kepada usaha mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Dalam pakatan besar ini, terdapat 20 parti politik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak… Yang penting kukuhkan ini dahulu.

“Soal MN bergantung kepada siapa yang akan memimpin parti, yang ambil jalan untuk ‘mufarakah‘ (keluar), tapi mungkin jika ada pertukaran pemimpin, hala tuju akan berubah,” katanya selepas Sesi Pengenalan Calon Pemilihan UMNO Peringkat Negeri Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini MN yang dibentuk pada 2019 melibatkan kerjasama atara UMNO dan PAS.

Ditanya adakah MN telah berkubur, beliau berkata: “Ia masih di air tapi sama ada masih timbul atau tenggelam bergantung kepada kekuatan kakinya yang telah patah. Dulu patah sebelah, sekarang patah satu lagi,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, pada masa ini pihaknya akan terus mengambil pendekatan berfikiran secara progresif demi kepentingan ummah.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Friday, December 16, 2022

NGO Muafakat Nasional mampu ubah imej PN, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
'Ainin Wan Salleh
-December 16, 2022 9:15 AM
Annuar Musa mengumumkan barisan pemimpin Muafakat Nasional semalam.

PETALING JAYA: Pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa mungkin memainkan peranan penting dalam mengubah imej konservatif Perikatan Nasional (PN) kepada sederhana, menurut seorang penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM), berkata MN akhirnya akan menjadi mesra PN kerana NGO itu diketuai oleh orang-orang seperti Annuar dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar, yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Bersatu.

“Ia berkemungkinan akan membantu mengubah imej PN daripada yang bergantung kepada retorik perkauman dan agama, kepada yang lebih sederhana tetapi masih dominan Melayu, bersesuaian dengan ciri-ciri Bersatu,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau menganggap MN lebih kepada gerakan sosial yang dibentuk untuk mengukuhkan sokongan kepada PN dalam jangka panjang.

Semalam, Annuar mendedahkan barisan pemimpin MN. Mereka terdiri daripada bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, pemimpin Bersatu Redzuan Yusof, Zuhdi Marsuki (PAS), Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) serta selebriti seperti penyanyi Jamal Abdillah dan pelakon Eizlan Yusoff.

Terdapat tiga pemimpin bukan Melayu dalam NGO itu ialah Chua Hock Kuan, Subash Chandrabose dan bekas Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar.

Awang Azman berkata, penglibatan orang bukan Melayu dalam NGO itu akan menunjukkan PN mampu memperjuangkan suara masyarakat etnik lain.

Beliau juga berkata, MN berkemungkinan akan menjejaskan kedudukan Umno jika parti berasaskan Melayu itu tidak mengemukakan naratif balas untuk menunjukkan bahawa ia adalah sederhana dan progresif. Ia memerlukan bantuan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan ini.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata masih terlalu awal untuk mengukur sama ada MN akan berkesan untuk menjatuhkan Umno atau menguntungkan PN.

Katanya kepada FMT, beliau tidak meragui jika NGO itu bermotifkan politik.

“Saya rasa ini modus operandi biasa,” katanya. “Pertama, wujudkan NGO dan selepas mendapat tarikan dari segi keahlian, mohon untuk menjadi parti politik atau menyertai parti lain.”

Beliau berkata bahawa Parti Bangsa Malaysia (PBM) mempunyai permulaan yang sama.

Beliau berkata, penubuhan MN juga boleh menjadi strategi Annuar untuk meraih sokongan ribuan ahli supaya beliau mempunyai pengaruh untuk menyertai PN.

Pada Isnin, Annuar, bekas Ahli Parlimen Ketereh, mendakwa NGO itu menerima lebih 10,000 permohonan dalam talian beberapa jam selepas ia dibuka untuk pendaftaran.

Ketika dihubungi, Khairuddin menegaskan bahawa MN adalah kumpulan non-partisan yang tidak mempunyai kecenderungan politik.

“Ya, ia terdiri daripada pelbagai jenis personaliti, termasuk ahli parti politik, tetapi kita semua bersatu dengan matlamat bersama untuk menyatukan orang Melayu dan, pada masa yang sama, menegakkan hak orang bukan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Saturday, October 8, 2022

UMNO atau BERSATU, mana yang jadi pilihan PAS diketahui hari ini

bharian.com.my
Oleh Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my
 - Oktober 8, 2022 
KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat PAS hari ini menjadi tumpuan, apabila kepemimpinan parti itu mengadakan mesyuarat membincangkan hala tujunya, berhubung kata dua diberikan UMNO dalam membina semula kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Selepas bekerjasama menerusi MN, langkah PAS menjadi komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bersama BERSATU serta GERAKAN tidak disenangi UMNO, mendorong kepemimpinan parti itu memberi kata dua kepada PAS untuk memilih di antara UMNO dan BERSATU.

Sebelum ini, kepemimpinan PAS menegaskan mereka mahu berusaha membawa UMNO dan BERSATU untuk bersama dalam mendepani PRU-15 demi memastikan tiada pertembungan di antara parti-parti itu dalam berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15.

Setakat jam 10 pagi ini, beberapa pemimpin utama PAS sudah tiba untuk menghadiri mesyuarat itu, termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, belum kelihatan tiba walaupun beliau juga dijangka menghadiri pertemuan itu.

Sebelum ini, PAS menyatakan akan memutuskan rakan ta'awun (kerjasama) parti itu bagi menghadapi PRU-15 dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat, hari ini.

Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad, dilaporkan berkata mesyuarat hari ini akan memutuskan, sama ada PAS memilih Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) sebagai rakan kerjasama dalam PRU15.

Tindakan itu dibuat selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberikan kata dua buat PAS untuk menyatakan pendirian dalam masa terdekat sama ada ingin menjalinkan kerjasama dengan BN atau tidak.

Ahmad Zahid berkata, syarat utama bagi PAS jika ingin menjalinkan kerjasama dengan BN ialah perlu memutuskan hubungan dengan PN dan BERSATU.

Dua hari lalu, Hadi memberi gambaran parti itu akan terus mengusahakan kerjasama antara parti Melayu utama termasuk UMNO dan BERSATU.

Hadi dilaporkan berkata PAS pada masa sama akan tetap berpegang dengan pendekatan pertengahan atau konsep wasatiyyah bagi mempertahankan PN.

Monday, October 3, 2022

Usaha pulih MN perlu kembali kepada semangat asal piagam - Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 3, 2022 10:01 AM
Sebarang usaha untuk memulihkan Muafakat Nasional (MN) mestilah berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal yang telah dimeterai, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Umno tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kepada kestabilan politik tanah air.

"Sebab itulah sejak dari awal Umno sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan.

"Namun, Umno tidak sesekali dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan BN sebagai musuh utama mereka.

"Justeru, sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Malaysiakini memetik sumber melaporkan pertemuan di antara Abdul Hadi dengan Ahmad Zahid menjadi tempat pemimpin Umno terbabit menyatakan perasaan Umno terhadap PAS.

Sumber dalaman Umno menjelaskan pertemuan antara kedua-dua presiden parti itu berlangsung di sebuah restoran di Bangi, Selangor.

Menurut sumber antara isu yang dibangkitkan Ahmad Zahid ialah tegurannya terhadap sikap PAS 'bermain dua kolam' dalam langkah politik mereka.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengesahkan pertemuan pada 17 Sept lalu berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat muhibah dan persaudaraan sesama Islam.

"Banyak perkara diperbincangkan termasuklah mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama satu ketika," katanya.

‘Kenyataan Zahid bawa sinar baru’

Dalam perkmebangan berkaitan, bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa menyambut baik kenyataan Ahmad Zahid yang disifatkannya membawa sinar dan harapan baru yang perlu disambut Umno dan PAS.

"Roh dan semangat nota persefahaman dan Piagam MN perlu disemarakkan semula, di saat perhitungan besar PRU15 kini benar- benar hampir tiba.

"Umno dan PAS adalah dua parti teras dan tunjang yang membina negara bangsa. Cita-cita perjuangan kedua dua parti lahir dari 'rahim dan kandungan' politik yang sama.

“Permuafakatan antara keduanya mampu memperkasa perjuangan dan menyelamatkan watan dan ummah,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Annuar berkata, negara perlu dipulihkan berikutan ekonomi dunia dan geo politik serantau yang semakin kompleks.

Justeru katanya, negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, politik yang stabil, serta saf kepimpinan yang cukup pengalaman dan kebolehan.

"Kita bakal berdepan cabaran global yang amat besar mulai 2023," katanya.

Saturday, September 24, 2022

Muhyiddin akan minta Hadi jelaskan khabar angin 'hidupkan semula' MN

malaysiakini.com
Raveena Nagotra
Diterbitkan: Sep 24, 2022 5:58 PM
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin akan mendapatkan penjelasan daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang minggu depan, berhubung khabar angin mengenai usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Ini susulan laporan Utusan Malaysia semalam, mengenai pertemuan Hadi dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya telah membaca kenyataan itu, dan saya juga berminat untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Saya ingin mendapatkan penjelasan apabila saya bertemu Hadi pada Isnin atau Selasa ini, saya akan tetapkan tarikhnya," katanya kepada pemberita di luar majlis sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata dia berminat untuk mengetahui sama ada perbincangan sedemikian berlaku, keputusannya dan sama ada Umno bersetuju dengan pengaturan sedemikian.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kedudukan PN juga perlu diambil kira.

Utusan Malaysia melaporkan dakwaan pertemuan antara Hadi dan Zahid berlaku Selasa lalu, dan perbincangan mengenai kemungkinan menghidupkan semula MN akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 30 Sept.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin dipetik dalam laporan itu berkata terdapat kemungkinan besar untuk menghidupkan semula MN, sambil menambah bahawa mesyuarat susulan akan diadakan antara PAS dan Umno sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Bagaimanapun, ini bercanggah dengan pendirian Muhyiddin hari ini bahawa semua parti gabungan dalam PN telah bersetuju bahawa musuh utamanya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ialah BN.

Awal minggu ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata bahawa musuh politik "sebenar" parti itu ialah Pakatan Harapan (PH).

Takiyuddin berkata, PAS percaya gabungan yang menghimpunkan ummah adalah formula paling berkesan untuk memupuk perpaduan nasional.

Awal bulan ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula dipetik sebagai berkata parti mereka telah memutuskan untuk menghadapi pilihan raya akan datang sebagai sebahagian daripada gabungan PN.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PAS, termasuk presidennya, berulang kali mendakwa mereka masih berbincang dengan Umno, yang mengetuai gabungan BN.

Pemimpin Umno telah berulang kali menafikan dakwaan Hadi.

Awal tahun ini, Umno Selangor telah mencetuskan idea untuk bekerjasama dengan PAS negeri tetapi ia gagal menjadi kenyataan.

Pemimpin Umno telah menetapkan syarat bahawa sebarang kerjasama dengan PAS mestilah didahului dengan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

PAS dan Umno dahulunya membentuk ta'awun siyasi (kerjasama politik) atau disebut juga tahaluf siyasi (perjanjian politik) melalui MN.

Bagaimanapun, kerjasama ini runtuh selepas PAS menyertai PN - sebuah gabungan yang diketuai oleh Bersatu, pesaing Umno dan rakan parti pemerintah

Putus dengan Bersatu, PAS boleh tawan Selangor bersama Umno, kata Jamal

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-September 24, 2022 4:15 PM
Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Jamal Yunos, pada sidang media di Sekinchan, Sungai Besar hari ini.

SUNGAI BESAR: PAS berpeluang cerah menang sekurang-kurangnya tiga kerusi Parlimen di Selangor, selain menawan negeri itu bersama Umno dengan syarat parti itu memutuskan kerjasama dengan Bersatu, kata Jamal Yunos.

Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata PAS akan mendapat untung lebih jika bergerak seiring dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN), berbanding dengan Bersatu, yang hanya menggunakan jentera PAS untuk mendapat tempat.

“Jika bergabung dengan Umno sudah pasti PAS akan dapat lebih banyak tempat sama ada Parlimen atau DUN dalam Selangor dan saya yakin MN yang akan dibentuk untuk hadapi PRU akan datang walaupun bertanding atas logo masing-masing dengan adanya persefahaman tersebut, MN akan memerintah negeri Selangor antara PAS dan BN.

“… dan saya yakin PAS (sebelum ini) tiada satu kerusi pun menang di Parlimen, sekurang-kurangnya tiga Parlimen untuk PAS di Selangor (pada PRU15),” katanya selepas hadir pelancaran kempen kutipan sumbangan Tabung Solidariti Bela Jamal.

Beliau ditanya mengenai masa depan MN di Selangor dan keyakinan gabungan itu menjatuhkan kerajaan PKR selepas tiga penggal menjadi pembangkang.

Semalam, Ketua Umno Selangor Noh Omar dilaporkan berkata parti itu sentiasa bersedia menerima kerjasama dengan PAS menerusi MN sekiranya mendapat restu pucuk pimpinan parti itu.

Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar berkata sudah ada bibit kepincangan dalam Perikatan Nasional (PN) baik di peringkat pusat dan Selangor berdasarkan beberapa perkembangan terkini termasuk penegasan PAS bahawa BN bukan musuhnya.

Jelasnya, kenyataan setiausaha agung PAS itu disifatkan sebagai teguran tajam kepada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan mungkin isyarat parti itu enggan lagi bersama Bersatu.

“Saya juga dimaklumkan telah berlaku kepincangan antara kerusi-kerusi di dalam PN di mana berlaku ketidakpuasan hati di antara pemimpin PAS di Selangor terutama di peringkat bahagian.

“Negeri lain saya tidak pasti tetapi Selangor, PAS mungkin menjurus kepada langkah kedua, ketiga dan seterusnya meninggalkan Bersatu,” katanya.Pengerusi Gabungan Solidariti Anak Selangor (GSAS) Faizal Zakaria memasukkan sumbangan ke dalam Tabung Solidariti Bela Jamal yang dilancarkan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Solidariti Anak Selangor (GSAS) Faizal Zakaria, berkata tabung itu bukan hanya untuk membantu Jamal berdepan beberapa kes saman termasuk dari Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) tetapi turut disalurkan ke badan kebajikan lain.

“Ia juga akan diaudit,” katanya yang menjelaskan jumlah kutipan terkumpul pada hari ini berjumlah RM200,000.

UMNO Selangor sedia bekerjasama dengan PAS

TUN CARLOS

  SEPTEMBER 23, 2022

TANJONG KARANG - UMNO Selangor sentiasa mempunyai hubungan baik dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) dan bersedia bekerjasama sekiranya mendapat restu daripada pucuk pimpinan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, parti itu tidak mempunyai sebarang permasalahan dengan Pas dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Kerjasama UMNO dengan pemimpin Pas seperti di Tanjong Karang masih kukuh dengan saling membantu antara satu sama lain.

"Soal sama ada wujud MN atau hanya bergerak solo di Selangor terletak pada keputusan kepimpinan UMNO," katanya dalam sidang akhbar selepas program tinjauan mesra (walkabout) di Kampung Sawah Sempadan di sini, pada Jumaat.

Ditanya mengenai ura-ura pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, Noh berkata, beliau tidak mengetahui kebenaran berita itu.

"Namun, jika benar ura-ura gabungan itu akan dihidupkan semula, saya mengharapkan hasil yang positif," kata beliau.

Tambah Noh, bagaimanapun beliau berpegang kepada prinsip akur dengan segala keputusan pimpinan tertinggi UMNO.

"Sebagai orang parti, kita hanya menunggu arahan daripada pucuk pimpinan mengenai kerjasama MN itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-