Wednesday, November 11, 2020

'Kerajaan PN ditunjangi Melayu-Bumiputera milik semua'

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@bh.com.my
 - November 11, 2020 @ 11:18pm

Ketua ARMADA BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah milik semua walaupun bertunjangkan parti politik Melayu dan Bumiputera.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kerajaan hari ini berbeza berbanding ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Teras kekuatan kerajaan PN memang berasaskan demografi politik Melayu kerana keanggotaan UMNO, PAS dan BERSATU memperkukuhkan agenda Melayu Islam dalam kerajaan hari ini.

"Bagaimanapun kerajaan ini adalah milik semua kerana agenda memberi keadilan kepada ekonomi, sosial dan pelbagai lagi adalah untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan keturunan.

"Majoriti rakyat Malaysia selesa dengan kerajaan PN berbanding di era PH dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi wawancara bertajuk 'Kerajaan Melayu-Islam Muafakat dan Harapan' yang dikendalikan Sayed Munawar sebagai moderator dan disiarkan secara langsung menerusi media sosial.

Wawancara itu turut disertai Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan; Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Shazni Munir dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi.

Mengulas mengenai politik Melayu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, naratif politik Melayu sudah berada di persimpangan dan akhirnya diuji pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

"Mitos bahawasanya hanya ada satu parti Melayu boleh menyelamatkan orang Melayu sudah berakhir. Orang Melayu kini sudah biasa dengan pelbagai parti Melayu.

"Kita ada UMNO, BERSATU, PAS, AMANAH. Ini adalah satu norma baharu kerana pilihan itu semakin banyak," katanya.

Sementara itu, Shazni berkata, beliau skeptikal jika kerajaan hari ini kononnya adalah kerajaan Melayu Islam.

"Soal meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai contoh yang ditentang oleh UMNO dan PAS ketika menjadi pembangkang dahulu. Sekarang saya lihat individu yang ingin meratifikasinya berada dalam kerajaan.

"Isu kematian anggota bomba, arwah Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai satu lagi contoh. Di manakah pengakhirannya? Inilah yang diperjuangkan oleh pembangkang ketika itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-