Saturday, December 5, 2020

Bersatu Tidak Sertai Kerajaan Negeri Perak Jika Libatkan DAP, PKR

BERITA
By MT Webmaster
On Dec 5, 2020

(Utusan) – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menyertai pembentukan baharu kerajaan negeri Perak jika ia melibatkan gabungan Pakatan Harapan (PH) seperti DAP dan PKR.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata kegagalan Ahmad Faizal Azumu mendapatkan majoriti dalam usul undi percaya sebagai Menteri Besar Perak menunjukkan UMNO seolah-olah bekerjasama dengan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Sebab itu, beliau menganggap keengganan Pas untuk menyertai pembentukan kerajaan negeri baharu bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan.

“Saya rasa ia reaksi normal dan biasa, bukan sahaja Pas tetapi juga Bersatu saya difahamkan tidak mahu sertai kerajaan jika ada keterlibatan DAP dan PKR.

“Tidak mengapa, setiap parti memberi reaksi awal, perkara ini berlaku semalam, selepas ini pemimpin-pemimpin parti duduk bersama dan kawal keadaan ini. Ini bukan masalah nasional tetapi lebih kepada keadaan di Perak khususnya terkait batang tubuh bekas Menteri Besar Perak,” katanya ketika menghadiri Program MyFood@Wilayah di sini, hari ini.

Pada masa sama, Annuar mengakui UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membincangkan soal untuk menyingkirkan Faizal dari jawatan Menteri Besar Perak.

“Apa yang berlaku adalah bersifat tempatan di Perak, saya sendiri tidak mengetahui kerana perkara ini tidak dibincangkan secara formal sama ada dalam Biro Politik, BN pusat mahupun Majlis Tertinggi, perkara ini banyak diputuskan oleh wakil rakyat atau ADUN Perak.

“Pun begitu apabila ini terjadi kita sedang buat konsultasi, hari ini presiden UMNO pun turun ke Perak untuk berjumpa badan perhubungan UMNO Negeri Perak untuk mendapatkan status terkini, cuma kita berharap ia dapat ditangani dengan baik supaya tidak menimbulkan ketidakstabilan, perpecahan dan dapat diuruskan secara keluarga kerajaan PN, dalam semangat PN,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar menyifatkan kenyataan Nazri Aziz berhubung cadangannya supaya UMNO membentuk kerajaan negeri bersama PKR dan Amanah adalah sekadar pandangan peribadi.

“Dalam UMNO, ramai pemimpin tapi bila kenyataan datang dari individu, media kena layan dia sebagai pendapat individu, kalau semua orang cakap dan semua dianggap pendapat parti dia akan menimbulkan kekeliruan.

“Kalau si polan cakap dari segi peribadi, harus hormatinya sebagai pandangan peribadi, tapi kalau berdasarkan keputusan parti, ada orang diberikan autoriti untuk menyampaikan keputusan parti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-