Saturday, December 5, 2020

Peja minta Bersatu usah balas dendam

Ng Xiang Yi
malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 7:33 pm

Dalam politik, kata Ahmad Faizal Azumu, tidak elok untuk seseorang membalas dendam dan sebarang kemelut boleh diselesaikan dengan baik.

Menjawab soalan wartawan pada sidang media di Ipoh hari ini, Adun Chenderiang yang diketepikan daripada jawatan menteri besar Perak melalui undian dalam DUN semalam berkata membalas dendam itu adalah reaksi yang tidak diingini pihaknya.

"Jangan balas dendam... dalam politik kita jangan berdendam-dendam.

"Tentu ada perkara yang boleh kita selesaikan, ini reaksi yang tidak kita ingini selepas berlaku keadaan di sidang DUN Perak," katanya.

Semalam Ahmad Faizal tersingkir daripada jawatan menteri besar Perak selepas gagak mendapat sokongan majoriti daripada kalangan Adun negeri itu.

Usul undi percaya yang dibawa Umno - yang juga rakan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) di Perak - hanya disokong 10 Adun manakala 48 yang lain menolak. Seorang Adun pula berkecuali atau memberikan undi rosak.

Ekoran perkembangan itu bekas menteri besar Johor Osman Sapian memberi bayangan apa yang terjadi di Perak mungkin boleh juga berlaku di DUN Johor.

Kata Osman yang juga Adun Bersatu Kempas, Johor barangkali boleh membalas dendam terhadap menteri besar negeri itu, Hasni Mohammad yang mewakili Umno.

Mengakui terkejut Osman berkata dia tidak menyangka Ahmad Faizal digulingkan kerana Umno dan Bersatu menjadi anggota gabungan yang sama yang membentuk kerajaan persekutuan dan negeri sejak lapan bulan.

Untuk rekod Bersatu juga kehilangan kerusi menteri besar di Johor selepas parti itu berpaling tadah dengan meninggalkan Pakatan Harapan.

Dua menteri besar sebelum Hasni - Osman dan Dr Sahruddin dari Bersatu - juga tidak diberikan sebarang jawatan exco dalam kerajaan negeri sekarang.

Untuk rekod Ahmad Faizal - yang juga dikenali ramai dengan panggilan mesra Peja - merupakan timbalan presiden Bersatu.

Di DUN Johor gabungan Bersatu, PAS dan Umno/BN membolehkan mereka menguasai 29 daripada 56 kerusi dengan 12 daripadanya terdiri daripada Adun Bersatu.

Pakatan Harapan (PH) pula menguasai 27 kerusi.

Kata Ahmad Faizal selepas dia disingkirkan oleh parti rakan di Perak wujud pula reaksi di negeri lain.

"Saya mohon, menasihatkan agar semua perjalanan pentadbiran kerajaan negeri-negeri lain dapat berjalan dgn baik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-