Saturday, December 26, 2020

Jangan lupa PH pernah menang kerana gandingan Anwar dan Tun

malaysiadateline.com
Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
December 26, 2020


Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengingatkan bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu bukanlah kerana mereka mempunyai manifesto menarik atau kebosanan rakyat dengan kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya beliau menegaskan, kemenangan PH adalah kerana gandingan hebat dua tokoh negara antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerana itu katanya, semua pihak perlu mencari satu titik persamaan seperti pilihanraya lalu untuk kembali melakar strategi bagi menjayakan impian gabungan itu untuk mengambil alih semula Putarajaya.
Perwakilan sedang khusyuk mendengar Pidato Presiden

“Benar, kemenangan kita dalam PRU ke-14 dimungkinkan kerana gandingan dua tokoh lagenda dan negarawan Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim. Menurutnya, ini yang perlu diakui.

“Namun faktor penentu dalam menjayakan cita-cita kita untuk menumbangkan kerajaan Kleptokrat Najib-BN ialah penampilan satu ‘Grand Coalition’ yang padu atau satu ‘Koalisi Raksasa’, yang menggembleng seluruh tenaga pembangkang bersama rangkaian NGO.

“Kita wajar mencari sentuhan ajaib seperti PRU lalu untuk kembali melakar strategi bagi menjayakan impian untuk memenangi kembali Putarajaya dalam PRU ke-15 akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen AMANAH Nasional hari ini.

Pada masa sama Ahli Parlimen Kota Raja itu mengakui, bukan mudah buat kepimpinan pusat untuk mengemudi ‘kapal dalam lautan yang sentiasa bergelora’

Namun katanya, hasil berkat doa dan usaha gigih yang berterusan, AMANAH bersama dengan rakan-rakan Pakatan Harapan Plus berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan dalam Pilihanraya lalu.

Bahkan katanya, tidak keterlaluan untuk parti semuda itu membuat perbandingan pencapaiannya, berbanding parti-parti lebih besar yang mempunyai tokoh-tokoh tersohor.

“Memenangi 11 kerusi Parlimen dan mempunyai 33 anggota Ahli Dewan Undangan (ADUN) di beberapa negeri bukanlah satu pencapaian yang kecil.

“Parti yang bertekad berdiri di atas pegangan Islam yang Rahmah dan Inklusif serta menolak fahaman ekstremisme agama ini, semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-