Wednesday, December 9, 2020

Krisis Perak selesai, tunggu pemimpin parti bersuara, kata Hishammuddin

Faye Kwan
-December 9, 2020 12:09 AM
Hishammuddin Hussein berkata, kemelut politik di Perak tidak dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada malam Selasa. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bendahari Agung Barisan Nasional, Hishammuddin Hussein mendakwa krisis menteri besar Perak sudah berakhir.

Katanya, perkembangan terkini di Perak “tidak dibincangkan secara terperinci hari ini (Selasa)”.

“Isu Perak berjalan mengikut landasannya…soal itu anda kena tunggu dan lihat apa yang diputuskan kepimpinan setiap parti terlibat,” katanya kepada wartawan di luar Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.

Mengenai pendirian BN berhubung PAS, Hishammuddin berkata: “Anda perlu tanya presiden kami (Ahmad Zahid Hamidi).”

Beliau berkata, mesyuarat malam tadi seperti biasa, dengan tajuk perbincangan berkaitan hala tuju setiap parti komponen dan persediaan untuk pilihan raya umum ke-15.

Presiden MIC, S Vigneswaran memberi reaksi sama dengan berkata, ia hanya perjumpaan bulanan biasa.

“Kami bercakap mengenai situasi semasa, bukan (mengenai) Perak. Cuma mesyuarat biasa,” katanya ringkas.

Antara mereka yang dilihat menghadiri mesyuarat itu ialah Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Zahid, Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa dan Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon.

Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional dijadual mengadakan mesyuarat pada Rabu, menurut tweet Annuar Pada Isnin.

“Berunding itu lebih baik. Majlis Presiden juga patut bertemu.

“Selesaikan dengan cara baik sebagai rakan seperjuangan. Teguh kita menang bersama…Insya Allah,” tulisnya di Twitter Isnin lalu.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini pada Selasa dilaporkan berkata, Sultan Nazrin Shah belum diyakinkan mana-mana parti politik mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baru.

Ia susulan peletakan jawatan Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak selepas tewas dalam usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri Jumaat lalu, apabila beliau hanya mendapat sokongan 10 ADUN berbanding 48 undi tidak menyokongnya dan satu berkecuali.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-