Sunday, February 28, 2021

Buku 30 dalil serang Zahid: Kerja orang Umno atau pihak luar?

malaysiakini.com

Diterbitkan 28 Feb 2021, 9:56 am
Dikemaskini 9:59 am

ULASAN | Buku "30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan" dilaporkan telah disebarkan untuk menyerang Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Janda Baik, Pahang pada minggu lalu.

Dalam mesyuarat itu, Zahid dilaporkan membuat keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu selepas tamat penguatkuasaan darurat. Kemnya mendakwa majoriti anggota MT Umno menyokong keputusan itu, manakala kumpulan lain mendakwa sebaliknya.

Penyebaran buku berkenaan selain dikatakan berkait dengan isu kerjasama dengan Bersatu, ia juga dikatakan turut membabitkan isu jawatan timbalan perdana menteri yang menjadi talian hayat bagi menyelamatkan hubungan Umno dengan Bersatu.

Pastinya, serangan terhadap presiden Umno mempunyai hubungan kait dengan pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini. Sudah pasti ada kumpulan-kumpulan tertentu cuba untuk menyingkirkannya.

Kedudukan Zahid kini berdepan serangan demi serangan, apatah lagi dengan keadaannya yang berdepan banyak pertuduhan di mahkamah dan keengganannya meneruskan kerjasama dengan Bersatu serta menolak tawaran jawatan timbalan perdana menteri kepada Umno.

Menurut sumber yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno kepada Malaysiakini, "kluster menteri" banyak menyerang presiden parti termasuk dalam mesyuarat MT.

"Mereka menyerang presiden kerana ada dalam kalangan mereka menyimpan cita-cita untuk menduduki jawatan timbalan perdana menteri.

"Namun, kluster menteri ini terdiam apabila presiden menegaskan yang Umno tidak pernah menerima sebarang tawaran bagi jawatan berkenaan. Akhirnya semua terdiam," katanya.

Tetapi siapakah yang sebenarnya menyerang Zahid? Pastinya ini persoalan pertama yang bermain di fikiran ramai pemerhati politik tanah air.

Jika kita meneliti mereka yang dikaitkan dengan jawatan timbalan perdana menteri, timbul nama Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan Bendahari BN, Hishammuddin Hussein.
Tetapi adakah itu sudah cukup untuk mengaitkan buku tersebut dengan mereka?

Dari segi hirarki, sama ada dalam parti dan juga pentadbiran, nama Ismail Sabri layak untuk dikaitkan dengan jawatan timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun sehingga kini dia dilihat tidak begitu kisah dengan spekulasi yang dikaitkan dengan jawatan itu. Ismail dilihat melaksanakan tugasnya selaku Menteri Kanan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Dia juga dilihat tiada sebarang masalah dengan presiden Umno bahkan seorang yang setia dan bersama parti mengharungi saat sukar selepas BN tewas dalam PRU14.

Ismail Sabri juga tidak pernah melompat parti, apatah lagi bekerjasama dengan pihak lawan ketika Umno dalam keadaan lemah.

Adakah serangan yang dihalakan kepada presiden Umno itu datang dari kem Hishammuddin? Bagi pemerhati politik, boleh jadi ya dan mungkin juga tidak.

Boleh jadi ya, kerana ini peluang terbaik untuk Hishammuddin kembali memegang jawatan. Ketika era pentadbiran Najib Razak, Hishammuddin sememangnya diberi portfolio penting dalam kabinet.

Boleh jadi juga tidak, kerana Hhishammuddin memiliki hubungan baik dengan Ahmad Zahid. Namun, tidak perlu dinyatakan yang dalam politik apa saja boleh berlaku.
Untuk rekod, Hishammuddin pernah didakwa sebagai orang tengah yang mengatur sokongan wakil rakyat Umno kepada Bersatu.

Ada juga cakap-cakap yang mendakwa dialah yang "memegang" wakil rakyat Umno untuk terus menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berkuasa.

Bekas Naib Presiden Umno itu juga diketahui umum antara pemimpin Umno yang mempunyai hubungan istimewa dengan Mohamed Azmin Ali.

Hishammuddin juga dikatakan menjadi orang tengah yang mengatur pertemuan wakil rakyat Umno dengan Azmin satu ketika dulu ketika pentadbiran PH.

Bagaimanapun dia menafikan bertindak sebagai perancang.

Apa pun masih tiada bukti kukuh untuk mengaitkan buku berkenaan dengan kumpulan Hishammuddin, melainkan setakat ini hanyalah bersifat spekulasi semata-mata.

Selain itu umum juga mengetahui hubungan yang keruh antara Ahmad Zahid bekas setiausaha agung BN Annuar Musa.

Dikatakan agak mustahil untuk Annuar bertindak sebagai dalang buku 30 dalil ini, walaupun dia berselisih faham dengan presiden Umno.

Ini kerana Annuar tidak memiliki pengaruh dan akar umbi yang kuat dalam parti. Oleh itu mengapa dia perlu menghabiskan sejumlah besar wang untuk menerbitkan buku berkenaan?

Selain itu ada satu lagi persoalan - sama ada serangan terhadap Zahid dicetuskan pihak dalam Umno atau dirancang pihak luar yang ingin menguasai parti itu.

HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-