Saturday, February 27, 2021

Semua permintaan saya ditolak, Lembaga Disiplin Umno bimbang apa? soal Tun Faisal

FMT Reporters
-February 27, 2021

Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beliau tidak faham akan kebimbangan lembaga disiplin parti itu selepas menolak permohonannya baru-baru ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan kebimbangan lembaga disiplin parti itu yang menolak tiga permintaannya sebelum beliau dihadapkan ke tribunal Umno pada 1 Mac ini.

Faisal yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, penolakan itu merupakan “missed opportunity” untuk menunjukkan lembaga disiplin parti itu telus, benar-benar terbuka dan mahu mencari kebenaran.

“Tiga permintaan ini saya buat selepas sekretariat Lembaga Disiplin menghubungi saya dan memaklumkan mereka mahu memberi seluas-luas ruang kepada saya untuk membela diri.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi kebimbangan dan ketakutan kepada pihak Lembaga Disiplin Umno apabila tidak menunaikan permintaan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 19 Feb lalu, media melaporkan Faisal menerima surat tunjuk sebab dan bakal dihadapkan ke tribunal Lembaga Disiplin Umno yang dijadualkan pada 25 Februari lalu.

Antara kandungan surat itu, beliau diminta memberi penjelasan mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya berikutan tindakannya mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.

Susulan itu, Faisal berkata, beliau berharap lembaga itu menunaikan tiga permintaannya sebelum dihadapkan ke tribunal pada 1 Mac ini.

Permintaan itu, antara lain meminta nama anggota tribunal termasuk pengerusi dan anggota yang bakal mengadili kes beliau, didedahkan.

Beliau turut meminta nama pengadu atau nama Umno Bahagian yang membuat aduan terhadap beliau didedahkan serta butiran aduan asal dan peraturan-peratuan yang didakwa telah dilanggar beliau.

Selain itu, beliau meminta Lembaga Disiplin Umno membenarkannya membawa dua pengamal undang-undang untuk hadir bersama sebagai pemerhati dan pihak yang boleh menasihati pada hari berkenaan.

Faisal berkata, sebagai langkah persiapan beliau sudah berbincang dengan beberapa pengamal undang-undang dan pemimpin veteran parti.

Dalam pada itu, Faisal berkata, jika ketiga-tiga permintaan tersebut dipenuhi sudah tentu tanggapan terhadap lembaga disiplin parti itu akan menjadi lebih positif.

“Tidakkah Lembaga Disiplin Umno dan parti itu sendiri akan dilihat amat komited untuk berlaku adil dan bersikap telus?

“Apapun saya telah membuat permohonan sekali lagi kepada Zulhasnan Rafique.

“Semoga Zulhasnan boleh mempertimbangkan semula permintaan saya agar ahli dan rakyat berasa yakin dengan ketelusan dan keadilan Lembaga Disiplin,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-