Thursday, February 11, 2021

Kes SRC: Pengurusan kes Najib ditetapkan Mei ini

MyMetro

GAMBAR fail, Najib. FOTO Bernama

BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengurusan kes bagi satu lagi dakwaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) ditetapkan pada 3 Mei ini di Mahkamah Tinggi, di sini.

Untuk kes ini, bekas Perdana Menteri itu menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC.

Peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan menerima sebahagian daripada dokumen berkaitan perbicaraan itu daripada pendakwaan.

"Setakat ini tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 5 hingga 8 Julai; 12 hingga 15 Julai dan 26 hingga 29 Julai dikekalkan," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes tersebut hari ini.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang mana beliau didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014, menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen namun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 susulan permohonan pihak pendakwaan.

Pada 28 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan menetapkan pendengaran selama 12 hari bagi kes itu bermula 5 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 10:53 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-