Thursday, March 4, 2021

Bersatu sahkan terima surat Umno tidak mahu bersama dalam PRU 15

malaysiadateline.com
Oleh BORHAN AHMAD
March 4, 2021 9:17 am

Bersatu mengesahkan mereka menerima surat Umno yang memaklum parti itu tidak akan bersama Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan dengan itu, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ahli Majlis Tertinggi Bersatu akan bermesyuarat jam 4 petang ini bagi membincangkan perkara itu.


Kenyataan media Hamzah yang disiarkan menerusi Facebook beliau pagi ini.

“Pendirian tersebut akan dibincangkan juga dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional akan datang bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional yang lain iaitu Pas, Star, SAPP dan Gerakan,” kata Hamzah dalam satu kenyataan pagi ini.

Melalui kenyataan itu, Hamzah berkata, Biro Politik Bersatu petang semalam telah membincangkan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 19 Februari lalu di Janda Baik, Pahang.

“Dalam hal ini, Biro Politik mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi Umno seperti berikut:

i.Tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan

ii. Kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen,” kata Hamzah dalam kenyataan itu.

Sebelum ini tersebar berita Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat kepada Bersatu menyatakan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu tentang hubungan antara mereka.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula mendesak agar Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat tergempar bagi membuat keputusan agar kesemua ahli Parlimen mereka menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

Ia perlu dibuat sebelum Parlimen bersidang selepas Yang Dipertuan Agong menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa perintah darurat dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-