Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, March 9, 2021

Lebih ramai pemimpin Umno akan ‘bersuara’ susulan kritikan Musa, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Adam Abu Bakar
-March 9, 2021 7:45 AM

Penentu nasib Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno adalah ahli dan perwakilan parti, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Penganalisis menjangkakan lebih ramai pemimpin Umno di peringkat negeri dan bahagian akan bersuara mendesak presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, untuk berundur.

Ini dimangkin oleh kritikan bekas timbalan presiden Umno Musa Hitam sebelum ini terhadap pemimpin parti yang berdepan pendakwaan di mahkamah.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Musa terhadap Umno, yang menurutnya dibuat selepas bangkit daripada lena, sebelum memberi teguran keras terhadap kepemimpinan Umno, memandangkan Musa sendiri masih mempunyai pengaruh kuat.

“Saya jangkakan akan ada banyak pihak dalam Umno sendiri yang selepas ini akan lebih berani bersuara. Ia juga disebabkan liputan kes mahkamah Zahid, yang secara tidak langsung dilihat memberi imej negatif buat Umno,” kata beliau kepada FMT.

Terdahulu, Musa berkata, dalam usaha menyelamatkan Umno, langkah pertama yang perlu parti itu ambil adalah mengambil sikap berprinsip dan meminta pemimpin yang menghadapi tuduhan jenayah untuk berundur sehingga mereka terbukti tidak bersalah. Ini supaya Umno dapat “dihormati” dan memperoleh kepercayaan pengundi, tambah beliau.

Selain Zahid, antara pemimpin Umno lain yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah ialah setiausaha agung parti, Ahmad Maslan, dan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru Shahril Samad, manakala bekas presiden Najib Razak telah didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, selain berdepan tuduhan lain berkaitan 1MDB.

Kamarul berkata, cengkaman Zahid terhadap rakan sekutu dari MCA dan MIC juga semakin longgar, yang dapat dilihat melalui pertikaian mereka terhadap keputusan Zahid merayu Yang di-Pertuan Agong menitahkan Parlimen bersidang dengan kadar segera.

Bahkan, Kamarul juga percaya, tidak mustahil sekiranya ada usul-usul tergempar yang dibawa pemimpin Umno di peringkat negeri atau bahagian ke perhimpunan agung parti, menggesa Zahid melepaskan jawatannya sebagai presiden.

“Cuma, masalahnya, Zahid sebagai presiden, mempunyai kuasa menolak atau menerima usul,” kata beliau.

Zahid kini berdepan 47 pertuduhan di mahkamah termasuk pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, yang ditubuhnya sendiri.

Tambah Kamarul, “perang dingin” yang berlaku dalam kalangan pemimpin Umno juga dilihat sukar untuk diredakan, bahkan yakin pertembungan itu akan berpanjangan sehinggalah perhimpunan agung parti akhir bulan ini.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Azizuddin Mohd Sani yang juga daripada UUM berkata, percakaran dalaman antara pemimpin adalah perkara biasa dalam setiap parti politik, namun apa yang berbeza adalah bagaimana ia diterjemahkan ke peringkat akar umbi.

“Zahid belum lagi sampai ke tahap yang menentukan bahawa beliau bersalah. Ketika ini, beliau masih lagi presiden yang sah dan dipilih oleh perwakilan parti.

“Selagi tidak ada keputusan mengatakan beliau bersalah, serta masih ada yang menyokongnya, saya rasa beliau akan kekal (sebagai presiden). Penentu nasibnya adalah ahli dan perwakilan parti,” kata Azizuddin.

Beliau juga bersetuju dengan Kamarul bahawa akan terdapat segelintir ahli Umno, termasuk pemimpin di peringkat bahagian, yang akan menggesa Zahid meletakkan jawatan. Namun, kata beliau, ia akan kekal menjadi “suara kecil” kecuali desakan berkenaan disokong 191 bahagian Umno di seluruh negara.

“Kalau ada satu sahaja bahagian (yang mendesak), maka tidak jalanlah desakan. Perlukan suara yang kuat untuk tukar presiden parti,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-