Monday, March 1, 2021

MP PKR ditarik untuk lompat parti sebelum sidang Parlimen - Anwar

malaysiakini.com

Diterbitkan 1 Mar 2021, 12:24 pm
Dikemaskini 12:58 pm

Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa penyertaan terbaru ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) disebabkan ugutan atau tekanan.

Semalam, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengumumkan keluar PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas yang menyokong PN.

Memetik titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang Parlimen boleh bersidang ketika darurat, Anwar mendakwa PN kurang yakin dengan sokongannya untuk membuat sidang tersebut.

"Sekarang mereka hilang majoriti, maka bergelut untuk beli, upah dan ugut sedaya upaya mereka untuk mendapat dukungan sebelum boleh menimbang untuk mengadakan sidang," dakwa Anwar menerusi video di laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Berkenaan pihak yang lompat parti, Anwar mengimbas kembali kejadian sama selepas PRU 2008 dan menurunya, ahli Parlimen yang berbuat demikian pada masa itu telah "ditendang rakyat" pada PRU seterusnya.

"Ini kerana pertimbangan mereka, peribadi mereka.

"Tekanan terhadap mereka, apakah (dari segi) cukai, apakah (ditawarkan) projek, atau apa-apa tekanan lain sehingga mereka tidak ada pilihan. (Tetapi mereka kata) kononnya untuk bela nasib rakyat," katanya lagi.

Semalam, Sng dan Choong berkata mereka membuat keputusan menyokong PN demi kepentingan pengundi mereka.
Choong berkata dia memerlukan akses untuk berjumpa menteri dan ketua agensi kerajaan bagi menyelesaikan isu rakyat, manakala Sng berkata dia perlu memainkan peranan menyokong Muhyiddin dalam melakukan apa yang perlu untuk membantu rakyat pada masa sukar ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata pertimbangan utama mereka sepatutnya berkenaan keadilan (peruntukan) kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang.

"Itu patut tuntutan kita.

"Kalau benar kita cinta kepada rakyat dan mahu rakyat bangkit bersama, kita harus tuntut Parlimen mengadakan sidang dan kerajaan PN undur kerana mereka hilang majoriti," katanya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson turut mengulang gesaan agar sidang Parlimen diadakan bagi membahaskan isu semasa yang dihadapi negara, termasuk peningkatan pengangguran dan kemerosotan pelaburan asing.

Berasarkan takwim asal, Parlimen sepatutnya bersidang pada 8 Mac ini. Namun ia dibatalkan susulan proklamasi darurat.

Dengan sokongan Sng dan Choong, PN kini mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat dengan 111 ahli Parlimen.

Ia menggantikan dua ahli Parlimen Umno - Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) - yang menarik sokongan mereka sebelum ini.

Di pihak pembangkang, PH kini memiliki 89 ahli Parlimen. Baki ahli Parlimen pembangkang lain adalah daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Warisan, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko), bebas dan dua parti yang belum didaftarkan, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

1 comment:

  1. Inilah sebabnya rejim DIKTATOR muhyiddin/parti PENYAMAQ yg. BUKAN lagi parti Pribumi, BERSATU liberal NAZI - nak sgt. PARLIMEN diGANTUNG secara HARAM!! Supaya dpt. masa utk. terus BERKUASA mcm. SIAL; & terus MENGGADAI akan Hak/Identiti/Sejarah/Warisan ISLAM/UMATnya, terutamanya bangsa ORANG ASAL Islam/Melayu kita, dgn. memPERMAIN2kan ISLAM!

    Lihat di - https://www.penangkini.com/2021/02/parti-mana-yang-asyik-berpolitik-ketika.html

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-