Thursday, March 18, 2021

PAS mengakui kecil hati digelar pelacur

perakinsights.com
March 18, 2021 6:55 pm


Pas mengakui berkecil hati digelar ‘pelacur politik’ oleh Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang itu jika dilayan boleh mencetuskan lebih banyak ketegangan.

Malah katanya, kenyataan itu mungkin satu bentuk provokasi supaya Pas melenting dan bertindak balas, sekali gus merobohkan hubungan baik dengan UMNO.

“Jadi baik kita duduk rileks, orang dalam rumah tangga bila isteri berleter suami diam. Kalau dua-dua berleter dia bertumbuk.

“Biar dululah, kenyataan itu mungkin keluar kerana dia (Tengku Razaleigh) dalam keadaan marah, macam dalam rumah tangga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Timbalan Menteri Besar merasmikan majlis pecah tanah Kompleks Pengilangan OTC I Medikel Pharma Holdings Berhad di Seksyen 44, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden I Medikel Pharma Holdings Berhad, Yusmat Mamat dan Pengarah Mara negeri, Abdul Wahab Yusoff.

Mengulas PKR bakal bekerjasama dengan UMNO, Mohd. Amar berkata, perkara itu setakat ini hanya khabar angin dan beliau berharap pemimpin UMNO matang serta bijaksana dalam membuat keputusan.

“Setakat yang saya tahu, majoriti pemimpin dan ahli UMN berasakan mereka perlu berada bersama Pas dan Bersatu.

“Jadi kita harap pendirian majoriti ini diambil kira sebelum UMNO membuat sebarang keputusan,” katanya.

Terdahulu Mohd Amar dalam ucapannya berkata, sejajar dengan situasi pandemik yang melanda dunia, kerajaan Kelantan mengalu-alukan kesudian pihak I Medikel Pharma Holdings Berhad membangunkan industri farmaseutikal di negeri ini.

“Dalam konteks ini, dengan terbinanya Kompleks Kilang I Medikel ini kerajaan berharap dapat membuka peluang pekerjaan yang lebih besar buat anak muda di negeri Kelantan khususnya nanti.

“Dengan peluang besar yang I Medikel sediakan ini, maka selepas ini diharapkan anak muda yang mencari rezeki di perantauan dapat pulang menabur budi di tanah kelahiran,” katanya. 

Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-