suaramerdeka.com
Home/PolitikTINDAKAN tiga ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Datuk Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat) meninggalkan parti itu kerana kecewa dengan terhadap kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Dalam satu kenyataan secara bersama, 10 orang bekas ahli Parlimen PKR termasuk Datuk Seri Azmin Ali mendakwa kepimpinan Anwar membawa amalan politik yang menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran.
Menurut mereka tindakan ahli Parlimen keluar PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas untuk menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan langkah berani dan senada dengan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang berfungsi sepenuhnya dan stabil .
“Kami sebulat suara mengalu-alukan anjakan politik yang dinamik dilakukan oleh YB Larry Sng (Julau), YB Steven Choong (Tebrau) dan YB Dato’ Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat).
“Ini merupakan perkembangan progresif yang terbit dari keyakinan mereka terhadap pengendalian Kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemi COVID-19 dan langkah-langkah proaktif, tegas dan tepat untuk melaksanakan usaha mencerdaskan ekonomi dan memastikan pemulihan yang berterusan.
“Keputusan mereka untuk meninggalkan PKR juga didorong oleh rasa kecewa yang mendalam terhadap kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membawa amalan politik pecah-belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran,” katanya.
Selain Azmin, kenyataan itu turut dikeluarkan secara bersama oleh Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Dr. Mansor Othman, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, Datuk Ali Biju, Datuk Willie Mongin dan Jonathan Yasin.
Menurut mereka, pemimpin dan anggota PKR perlu merenungkan bukan hanya keputusan yang diambil oleh ketiga-tiga ahli Parlimen itu tetapi juga persoalan mengapa begitu ramai pemimpin tertinggi PKR dan ahli yang lama berkhidmat telah keluar parti.
Mereka mendakwa PKR di bawah pimpinan dan kerangka sekarang tidak lagi mampu memperjuangkan prinsip keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat.
“PKR telah tercabut dari prinsip dan tidak lagi berada di landasan moral untuk memimpin. Biar pun pahit, tetapi hakikatnya adalah kepimpinan Anwar Ibrahim ditolak oleh sebahagian besar anggota partinya sendiri kerana PKR telah kehilangan idealisme dan tergelincir dari landasan perjuangan.
“Ini sangat malang kerana kita tahu bahawa ada pemimpin dan anggota PKR yang berpegang teguh pada prinsip dan idealisme disisihkan dan bahkan menjadi mangsa kuasa di tangan presiden.
“Sepatutnya mereka perlu tabah dalam perjuangan untuk terus mencapai cita-cita murni, tetapi perakus dan pengkianat telah merampas agenda reformasi untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka,” katanya.
Xavier merupakan ahli Parlimen PKR terbaharu meninggalkan parti itu selepas Larry Sng (Julau) dan Stephen Choong (Tebrau).
-SM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.