Wednesday, April 7, 2021

BN akan lumpuh pada PRU15 sekiranya Zahid pimpin, kata Nazri

freemalaysiatoday.com
Robin Augustin
-April 7, 2021 7:30 AM

Nazri Aziz berkata Zahid Hamidi perlu mengundur diri dan membenarkan orang lain memimpin Umno dan BN. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya umum seterusnya, akan sangat tipis selagi Ahmad Zahid Hamidi menjadi ketua gabungan dan tonggak kepada Umno, menurut seorang bekas ahli majlis kerja tertinggi.

Nazri Aziz, yang baru-baru ini mengkritik kepemimpinan Zahid, berkata semakin jelas bahawa Zahid tidak lagi mendapat sokongan atau kredibiliti untuk memimpin Umno dan Barisan Nasional.

“Komponen BN nampaknya tidak menghormati beliau (Zahid). Lihat sahaja AGM MIC hujung minggu lalu di mana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijemput untuk menyampaikan ucapan kepada para perwakilan.

“Sekiranya presiden Umno dan pengerusi BN kuat, tidak ada parti komponen yang berfikir untuk mengundang orang luar. Ini sangat memalukan.”

Kata Nazri, Zahid – yang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram – perlu mengundur diri dan membenarkan orang lain memimpin Umno dan BN.

“Selagi dia ada, Umno tidak akan dilihat sebagai parti yang bersih kerana perbicaraannya.

“Sekiranya Zahid berundur, ia tidak akan menimbulkan masalah mengenai siapa yang harus memimpin parti kerana kita (Umno) hanya mengikut hierarki. Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan) ambil alih.”

Nazri berkata, beliau tidak berpihak kepada Mohamad atau pemimpin Umno yang lain, walaupun beliau yakin bekas menteri besar Negeri Sembilan itu membuktikan beliau (Tok Mat) mampu mengetuai parti itu.

“Sekiranya ada panglima perang yang tidak setuju, itu adalah masalah mereka kerana perkara yang betul untuk dibuat adalah mengikut hierarki kerana itu diputuskan oleh akar umbi semasa pemilihan parti.”

Katanya, apa yang penting adalah untuk Mohamad memberikan kepemimpinan yang “tegas dan berpendirian” serta melaksanakan reformasi dalam Umno.

Penganalisis politik Jeniri Amir bersetuju, bahawa Zahid adalah liabiliti kepada Umno dan BN kerana perbicaraan yang beliau sedang berdepan itu.

Beliau berkata, BN berada dalam posisi “petak pertama” untuk kembali berkuasa kerana Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional tidak menunjukkan prestasi, sedangkan mereka mempunyai rekod prestasi dalam mentadbir negara.

“Tetapi jika Zahid berada di barisan depan, sama ada beliau adalah calon perdana menteri atau bahkan pemimpin Umno dan BN, anda akan hilang kelebihan itu,” kata Jeniri, yang juga felo Majlis Profesor Negara.

“Sekiranya BN membawakan Zahid sebagai pemimpinnya, pengundi tidak akan percaya bahawa Umno dan BN sudah belajar dari kesilapan lalu. Mereka tidak akan percaya mereka (Umno) membuat pembaharuan atau boleh melakukan pembaharuan.”

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan berkata, hakikatnya parti itu berada dalam dilema.

“Akar umbi percaya bahawa kepemimpinan tidak dapat memberi kemenangan kepada kita dalam PRU15 dan inilah sebabnya mengapa ada tuntutan untuk pemilihan parti.

“Pilihan lain adalah untuk majlis kerja tertinggi mengupayakan individu lain untuk memimpin Umno. Seseorang yang diterima itu bukan sahaja oleh ahli parti tetapi seluruh rakyat Malaysia.”

Wan Agyl berkata majlis kerja tertinggi itu, sebagai badan pembuat keputusan tertinggi dalam Umno, perlu mempertimbangkan pilihannya dan segera membuat keputusan.

Katanya, majlis kerja tertinggi itu tidak boleh dipengaruhi oleh mereka yang hanya berusaha menjaga kepentingan mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-