Tuesday, April 20, 2021

Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Darurat serah surat kepada Istana Negara

ismaweb.net
Siti Hafidah

Dakwa darurat bawa kesan buruk daripada pelbagai sudut


KUALA LUMPUR, 8 Ramadan 1442H, Selasa Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat hari ini menghantar surat kedua kepada Istana Negara memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah memorandum mendesak darurat ditamatkan.

Difahamkan surat berkenaan, yang diserahkan Pengerusi jawatankuasa itu Khalid Abdul Samad bersama-sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim pada kira-kira 3.30 petang.

Turut hadir di pekarangan Pintu 3 Istana Negara ialah Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu, Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Bercakap kepada pemberita, Khalid berharap permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dapat diberi pertimbangan.

Pengarah Komunikasi PAN itu mendakwa pengisytiharaan darurat telah membawa kesan buruk daripada pelbagai sudut terutama ekonomi dan kestabilan politik.

“Kami tuntut darurat ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang seperti biasa,” kata beliau sambil menambah jika permohonan itu tidak mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah, pihaknya akan sekali lagi menghantar surat permohonan beserta bahan bukti tambahan yang perlu.

Surat permohonan menghadap yang pertama diserahkan pada 26 Mac lepas.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-