Sunday, June 27, 2021

Ahmad Zahid kekal Presiden hingga 2023

bebasnews.my
By Arrazaq Nazri
-27/06/2021

Tajuddin Abdul Rahman

SHAH ALAM -Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi akan kekal menyandang jawatan tersebut apabila pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan sehingga awal 2023.

Penangguhan pemilihan parti tersebut itu disahkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata, penangguhan itu diluluskan minggu lalu selepas majoriti ahli MKT bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu dicapai menerusi satu resolusi yang dibuat secara dalam talian.

“Penangguhan pemilihan ini sudah diluluskan apabila majoriti ahli MKT menandatangani ‘circular resolution’ yang dibuat secara dalam talian.

“Hanya dua orang ahli MKT yang tidak tandatanganinya,” katanya sebagaimana dilaporkan akhbar Sinar Ahad hari ini.

Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, keputusan itu selaras dengan perlembagaan parti yang membenarkan pemilihan ditangguhkan maksimum selama 18 bulan selepas tempoh kepimpinan sedia ada tamat.

“Resolusi ini dibuat sebelum tempoh kepimpinan yang ada kini berakhir pada 30 Jun ini.

“Keputusan ini dicapai tanpa paksaan sebaliknya berdasarkan pertimbangan terhadap situasi semasa,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO ketika ini memberi tumpuan untuk membantu rakyat yang menderita ekoran pandemik Covid-19.

Justeru, katanya, UMNO mengambil pendirian untuk mengetepikan seketika soal politik demi melaksanakan tanggungjawab membantu rakyat.

“Saya juga sentiasa ingatkan kawan-kawan dalam MKT dan ketua-ketua bahagian agar sentiasa mengutamakan rakyat dalam apa juga tindakan yang dilakukan.

“Seperti saya sendiri, walaupun saya Pengarah Pilihan Raya UMNO, tetapi fokus diberikan untuk membantu rakyat di samping melakukan kerja-kerja persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Tajuddin berkata, tempoh lanjutan pemilihan selama 18 bulan itu adalah tempoh maksimum dan ia mungkin menjadi lebih singkat bergantung kepada perkembangan semasa.

Ahmad Zahid dipilih sebagai Presiden UMNO pada Jun 2018 bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga Jun 2021. Beliau memperolehi 93 undi bahagian menewaskan empat calon yang lain termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya pada 16 September 2023.

-BebasNews

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-