Sunday, June 27, 2021

Mujahid terajui PH Perak

FMT Reporters
-June 27, 2021 6:40 PM

PH Perak berkata, pelantikan dan penyusunan semula organisasinya menggemblengkan pelbagai kaum dan gender.

PETALING JAYA: Bekas Menteri Agama, Mujahid Yusof Rawa dilantik menerajui Pakatan Harapan (PH) Perak setelah dipilih sebagai pengerusi yang baharu.

Mujahid yang juga naib presiden Amanah dilantik menjadi pengerusi PH Perak pada 24 Jun lalu oleh Majlis Presiden PH menggantikan bekas Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, yang keluar PH bersama partinya Bersatu pada Feb 2020.

Sementara itu, semua Pengerusi Negeri iaitu Nga Kor Ming dari DAP, Asmuni Awi (Amanah) dan Farhash Wafa Salvador (PKR) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PH Perak.

Ketua Pemuda PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri pula dilantik sebagai ketua pemuda PH negeri, manakala Pemimpin DAP Wong Mei Ing akan terus menerajui Wanita PH Perak.

Ahli Parlimen Baru Gajah, V Sivakumar pula kekal sebagai setiausaha PH Perak.
Mujahid Yusof Rawa.
“Langkah ini selaras dengan hasrat pengerusi PH Perak untuk membawa negeri Perak keluar dari pandemik Covid 19 dan seterusnya meletakkan kembali fungsi kerajaan ke peranan sebenar sebagai peneraju negeri yang memiliki potensi ekonomi dan modal insan yang kaya.

“Pelantikan dan penyusunan semula organisasi PH Perak yang menggemblengkan pelbagai kaum dan gender serta diketuai bekas Menteri Agama dapat memastikan hala tuju perjuangan PH Perak tidak tersasar daripada landasan Perlembagaan Persekutuan dan komitmen memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan.

“PH Perak akan memberi tumpuan terutama dalam berhadapan krisis pandemik yang memberi kesan menyeluruh kepada semua pihak,” kata Penyelaras Komunikasi PH Perak, Muhaimin Sulam pada satu kenyataan hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-