Sunday, June 20, 2021

Beri ruang, masa kerajaan tentukan sidang Parlimen

bharian.com
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi 
bhnews@bh.com.my
- Jun 20, 2021 @ 3:35pm

FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Cendekiawan Negara mahu semua pihak memberi ruang dan masa sewajarnya kepada kerajaan berhubung isu perlu menyegerakan persidangan Parlimen.

Timbalan Presidennya, Prof Dr Kamarulnizam Abdullah, berkata pihaknya yakin kerajaan juga mahu sidang Parlimen diadakan segera.

Namun katanya, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan persidangan diadakan dengan selamat dan teratur selain mengikut peraturan.

"Seperti kerajaan negeri diberi ruang untuk menetapkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memenuhi undang-undang dan peraturan, berilah juga ruang sama kepada kerajaan Pusat demi maslahat bersama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulnizam berkata, pihaknya kesal dengan hujah dilemparkan segelintir pihak untuk mengaburi mata rakyat seolah-olah negara sedang terjerumus dalam krisis Perlembagaan.

Katanya, ia berikutan ada ahli akademik dan peguam berpendapat dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021, maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan mengenai kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan baginda tidak lagi terikat dengan nasihat.

Beliau berkata, pihak terbabit turut mendakwa ia merangkumi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen yang dikatakan termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen perlu dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh baginda.

"Begitu juga dengan pendapat pelik mendakwa Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan prosedur untuk memanggil sidang Parlimen, termasuk pemberian notis sekurang-kurangnya 28 hari, tidak lagi terpakai berikutan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

"Selain itu ada hujah berkaitan Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak, selaras dengannya bagi menafikan kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat dalam tempoh darurat.

"Justeru tidak sewajarnya ahli akademik dan peguam mengeluarkan pendapat begini sedangkan asas penentangan golongan yang tidak bersetuju dengan Proklamasi Darurat dulu pun kerana ia akan memberi kuasa sewenang kepada Perdana Menteri, bukan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

"Sebab itulah apa yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai 'dekri' ini hanya dinyatakan Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai 'pandangan'.

"Malah baginda sendiri pernah pada 24 Februari lalu menzahirkan pandangan penentuan tarikh sidang Parlimen ketika tempoh darurat berkuatkuasa terletak kepada nasihat Perdana Menteri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-