Sunday, June 20, 2021

Tajuddin gesa parlimen bersidang: 'Tiada undi tak percaya pada PM'

malaysiakini.com
Diterbitkan 20 Jun 2021, 9:56 am
Dikemaskini 12:48 pm

Memandangkan Umno dan parti pembangkang telah memberi jaminan untuk tidak mengemukakan usul undi tidak percaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, maka parlimen boleh bersidang, kata Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman

Dia dipetik Sinar Harian berkata demikian sebagai menjunjung titah pandangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya sidang Dewan Rakyat diadakan "secepat mungkin."

"Umno adalah sebahagian kerajaan dan sebelum ini pun kita telah membuat kenyataan bahawa parti tidak berminat untuk mengadakan undi tidak percaya.

"Begitu juga dengan kenyataan pemimpin pembangkang seperti PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara).

"Jadi tiada apa lagi yang perlu ditakuti. Sidang parlimen boleh diadakan segera kerana perdana menteri telah diberikan jaminan tidak akan ada undi tidak percaya dibawa kepada kerajaan," katanya, lapor portal berita itu semalam.

Menurut ahli parlimen Pasir Salak itu sekarang ini apa juga tindakan diambil sama ada berkaitan saringan dan vaksin "semuanya adalah idea pihak kerajaan."

"Wakil rakyat yang ada ini duduk tengok sahaja, paling kurang boleh hantar barang makanan.

"Jika dapat dibuka (persidangan Parlimen) sepertimana dititahkan baginda, saya rasa kita boleh sama-sama ambil tindakan lebih berkesan dalam menghadapi Covid-19 dan kelangsungan hidup rakyat yang perit disebabkan wabak ini," katanya.

Jelasnya lagi, sidang Dewan Rakyat membolehkan ahli parlimen berkongsi pandangan dan cadangan yang dapat dimanfaatkan untuk membantu kerajaan menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-