Showing posts with label persidangan parlimen. Show all posts
Showing posts with label persidangan parlimen. Show all posts

Sunday, June 20, 2021

Beri ruang, masa kerajaan tentukan sidang Parlimen

bharian.com
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi 
bhnews@bh.com.my
- Jun 20, 2021 @ 3:35pm

FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Cendekiawan Negara mahu semua pihak memberi ruang dan masa sewajarnya kepada kerajaan berhubung isu perlu menyegerakan persidangan Parlimen.

Timbalan Presidennya, Prof Dr Kamarulnizam Abdullah, berkata pihaknya yakin kerajaan juga mahu sidang Parlimen diadakan segera.

Namun katanya, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan persidangan diadakan dengan selamat dan teratur selain mengikut peraturan.

"Seperti kerajaan negeri diberi ruang untuk menetapkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memenuhi undang-undang dan peraturan, berilah juga ruang sama kepada kerajaan Pusat demi maslahat bersama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulnizam berkata, pihaknya kesal dengan hujah dilemparkan segelintir pihak untuk mengaburi mata rakyat seolah-olah negara sedang terjerumus dalam krisis Perlembagaan.

Katanya, ia berikutan ada ahli akademik dan peguam berpendapat dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021, maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan mengenai kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan baginda tidak lagi terikat dengan nasihat.

Beliau berkata, pihak terbabit turut mendakwa ia merangkumi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen yang dikatakan termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen perlu dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh baginda.

"Begitu juga dengan pendapat pelik mendakwa Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan prosedur untuk memanggil sidang Parlimen, termasuk pemberian notis sekurang-kurangnya 28 hari, tidak lagi terpakai berikutan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

"Selain itu ada hujah berkaitan Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak, selaras dengannya bagi menafikan kewajipan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat dalam tempoh darurat.

"Justeru tidak sewajarnya ahli akademik dan peguam mengeluarkan pendapat begini sedangkan asas penentangan golongan yang tidak bersetuju dengan Proklamasi Darurat dulu pun kerana ia akan memberi kuasa sewenang kepada Perdana Menteri, bukan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

"Sebab itulah apa yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai 'dekri' ini hanya dinyatakan Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai 'pandangan'.

"Malah baginda sendiri pernah pada 24 Februari lalu menzahirkan pandangan penentuan tarikh sidang Parlimen ketika tempoh darurat berkuatkuasa terletak kepada nasihat Perdana Menteri," katanya.

Wednesday, July 18, 2018

Isu samseng: Ramkarpal diarah keluar dewan

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
18 JULAI 2018

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arifd Md Yusof mengeluarkan arahan tersebut selepas wakil rakyat Pakatan Harapan itu tetap berdegil meskipun diminta beberapa kali.

KUALA KUMPUR - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh wakil rakyat pertama diarah keluar dewan pada hari pertama Persidangan Parlimen ke-14, hari ini.

Ini susulan keengganannya menarik balik perkataan samseng yang disebutnya pada sesi pagi.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arifd Md Yusof mengeluarkan arahan tersebut selepas wakil rakyat Pakatan Harapan itu tetap berdegil meskipun diminta beberapa kali.

“Semuanya berkisar daripada perkataan samseng. Kedua-dua belah pihak hendaklah tarik balik. Jika tidak saya akan kenakan peraturan.

“Peraturan sudah dibuat, Bukit Gelugor tolong tarik balik,” katanya.

Namun Ram meminta maaf dan menegaskan beliau tidak boleh berbuat demikian.

“Mengikut peraturan mesyuarat, keputusan pengerusi adalah muktamad. Jadi kita tak boleh buat peraturan baru untuk peraturan yang sudah dibuat.

“Sekiranya tak puas hati kepada sesuatu peraturan, pihak tak puas hati boleh buat usul untuk cabar peraturan itu. Dah ada peraturan, tak boleh ada yang baru, kalau tak sampai bila pun tak akan selesai,” katanya membela diri.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh sebab ‘Pemuda Umno samseng’]

Meskipun begitu, Speaker sekali lagi meminta Ram menarik balik kata-kata tersebut sesuai dengan peratyran mesyuarat namun beliau tetap enggan.

“Saya sudah beri amaran pertama ya. Tarik balik. Kita ingin meneruskan sesi bahas Sg Petani.

“Bentara, sila jalankan tugas,” katanya.

Sebelum berehat sesi pagi tadi, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Ram menarik balik perkataan samseng yang merujuk kepada Pemuda Umno namun beliau enggan.

Susulan itu, Rashid hanya memberi amaran kepada Ram yang mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat BN susulan ia bertentangan dengan peraturan mesyuarat di mana menurut mereka Ram sepatutnya diarah keluar dewan kerana ingkar arahan Speaker.

Dalam pada itu, Datuk Bung Mokhtar Radin menarik balik kenyataan samseng yang ditujukan kepada RSN Rayer (PH-Jelutong) pada sesi pagi.

Saturday, July 14, 2018

Tak umum nama speaker, tak jejas persidangan - Kula


Persidangan parlimen tidak akan terjejas berikutan pengumuman nama speaker belum dibuat walaupun mesyuarat pertama akan bermula Isnin depan.

Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran berkata tindakan pihak yang sengaja mensasikan isu tersebut dilihat sebagai bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Persidangan (Parlimen) tidak akan terjejas. Terdapat peraturan tertentu yang harus diikuti.

"Bagi kami (Pakatan Harapan) buat kerja kami, walaupun baru dua bulan (jadi kerajaan) tapi kami yakin boleh menjawab semua soalan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Besar Ipoh di sini, hari ini.

Kula Segaran yang juga anggota Parlimen Ipoh barat mengulas mengenai tular menyatakan kelewatan mengumumkan nama speaker adalah menyalahi Peraturan Majlis Mesyuarat Perkara 3 dan 4 iaitu nama calon perlu diberikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat.

Mengulas program hari ini Kula Segaran berkata ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana diadakan di tempat tumpuan masyarakat termasuk pasar awam.

"Mungkin selepas ini kita akan adakan di pasar malam supaya lebih ramai boleh datang dan berkongsi masalah mereka," katanya.

Menyentuh mengenai portal JobsMalaysia 2.0 yang dilancarkan 12 Julai lalu, Kula Segaran berkata ia bertujuan sebagai pusat sehenti yang menyediakan maklumat pasaran kerja kepada orang ramai.

Katanya berdasarkan rekod, jumlah pencari kerja aktif dalam negara adalah seramai 241,057, manakala kekosongan aktif adalah sebanyak 114,138 jawatan.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-