Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, June 22, 2021

Sahkan kerjasama dengan Anwar dalam pemilihan Umno, ahli MT beritahu Zahid

MalaysiaNow
Jun 22, 2021 11:00 AM

Kerjasama Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim bertentangan dengan keputusan diputuskan perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno menggesa pemilihan disegerakan supaya Ahmad Zahid Hamidi dapat mengubah keputusan parti yang sebelum ini menolak kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin berkata ini kerana presiden parti dan sekutunya masih meneruskan kerjasama dengan Anwar.

“Kalau dia ubah keputusan, buatlah pemilihan parti yang mana ahli parti nak. Jika dia kata dia mahu buat jajaran baru jadi kita buat pemilihan parti. Adakah ahli Umno bersetuju atau tidak dan mahu tukar presiden? Jadi itulah jalan yang terbaik,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sebelum ini dalam Perhimpunan Agung Umno semua sudah membuat keputusan ‘No Anwar No DAP’ tapi mungkin presiden ini mempunyai pandangan yang berlainan.”

MalaysiaNow sebelum ini beberapa kali mendedahkan bukti kerjasama antara Zahid, bekas perdana menteri Najib Razak dan Anwar untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terbaru tersebar di media sosial tentang dakwaan mengatakan Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias dari Umno dipujuk untuk menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Difahamkan kedua-dua ahli Parlimen ini membuat pengakuan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

MalaysiaNow masih cuba mendapatkan pengesahan Mohamad tetapi belum berjaya.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin memberi ucapan pada Program Penutup Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia Sesi 2019/2020 di sebuah di Shah Alam baru-baru ini. Gambar: Bernama
Zahidi yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia berkata, apa yang dilakukan Zahid dan rakan komplotnya mementingkan diri sendiri berbanding nasib rakyat yang sedang berjuang melawan pandemik Covid-19.

“Semua rakyat Malaysia sedang berusaha menentang Covid-19 sebab ia melibatkan ekonomi negara termasuklah kebajikan rakyat, jadi inilah fokus utama kita jadi kalau presiden tak sensitif keadaan rakyat ketika ini saya tak tau lah nak kata apa.”

Semalam Zahid dalam menggesa kerajaan membuka Parlimen dalam masa 14 hari seperti dinasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Katanya sekiranya Parlimen tidak dibuka segera, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin menderhaka kepada institusi Raja-Raja Melayu.

Zahid turut berkata satu mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Umno akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun perdana menteri baru-baru ini berkata sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Beliau memberikan komitmen keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

“Saya minta jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kerajaan dan pembangkang untuk nilai perkara berkenaan, dan selepas itu barulah mereka maklumkan kepada saya sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memulakan sidang Parlimen,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-