Friday, June 11, 2021

Zahid bawa suara akar umbi Umno menghadap Agong esok, kata Puad

FMT Reporters
-June 10, 2021 10:06 PM

Mohd Puad Zarkashi berkata, esok Ahmad Zahid Hamidi akan membawa suara akar umbi Umno dan rakyat dalam menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi akan membawa suara akar umbi ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah esok, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Beliau yang juga Ketua Umno Batu Pahat berkata, semua akan tertumpu kepada Zahid esok kerana beliau adalah individu yang akan menghadap Sultan Abdullah secara empat mata dan bersemuka.

“Ramai positif, yakin dan percaya hasilnya ialah darurat tidak disambung dan parlimen akan bersidang semula,” katanya di Facebook hari ini.

Namun, beliau berkata apa jua cadangan yang diusulkan selebihnya bergantung kepada budi bicara dan kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan.

“Hatta memanggil semua ketua parti adalah luar biasa. Tuanku tidak lagi mendengar sebelah pihak. Mendengar nasihat kerajaan sahaja tidak memadai,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini sudah tidak ada majoriti kerana Perhimpunan Agung Umno sebelum ini sudah memutuskan menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

“Tiada siapa hatta PM8 (Muhyiddin) boleh dakwa Umno masih kekal sokong kerajaan PN.

“Tarikh “pull the plug” boleh berlaku pada bila bila masa sebelum tarikh akhir 1 Ogos 2021. PAU 2020 telah beri mandat kepada Presiden dan MKT untuk tentukannya,” katanya.

Terdahulu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim antara yang sudah dipanggil menghadap Sultan Abdullah di Istana Negara. Setakat hari ini seramai tujuh pemimpin politik seluruh negara dilaporkan sudah menghadap.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-