Friday, June 11, 2021

PKP disambung dua minggu hingga 28 Jun

malaysiakini.com
Diterbitkan 11 Jun 2021, 6:29 pm
Dikemaskini 7:24 pm

Sekatan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) atau 'total lockdown' yang sepatutnya berakhir 14 Jun ini disambung untuk tempoh dua minggu lagi, berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian yang masih tinggi, iaitu melebihi 5,000 kes sehari dengan purata kes baru sehingga semalam ialah 6,871.

"Senarai positif, negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata ketetapan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, hari ini, supaya PKP 3.0 disambung.

Pada 28 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan sekatan penuh melalui tiga fasa untuk mengekang wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Fasa satu bermula 1 Jun lalu dengan 'total lockdown' selama 14 hari.

Sekiranya fasa pertama berjaya, fasa kedua akan menyaksikan pembukaan semula sektor ekonomi tertentu yang tidak melibatkan perhimpunan besar dan di mana jarak fizikal dapat diamalkan.

Fasa pertama sepatutnya berlangsung 14 hari dari 1 Jun hingga 14 Jun, sementara fasa kedua sepatutnya berlangsung empat minggu setelah fasa pertama berakhir.

Fasa ketiga akan serupa dengan perintah kawalan pergerakan yang berlaku sebelum 'lockdown' dikuatkuasakan.

Namun, kata PMO ketika itu, keputusan untuk peralihan satu fasa kepada fasa lain tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan yang dibuat berdasarkan perkembangan dalam jumlah kes harian dan kemampuan hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19.

Sementara itu, Ismail hari ini berkata kerajaan juga akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Kedah dan Sabah selama dua minggu bermula Ahad ini bagi membendung penularan Covid-19 di lokaliti berkenaan.

Ismail berkata pelaksanaan PKPD itu melibatkan Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Kampung Kadazan, Tawau, dua perkampungan dalam daerah Kota Kinabalu, Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai serta Taman Villa Felca Nambazan, Penampang, Sabah.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularanjangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

"SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my ," katanya.

Sementara itu, beberapa lokaliti akan ditamatkan PKPD pada tengah malam esok iaitu 19 daripada 21 Mukim dalam daerah Kuala Terengganu, tiga taman perumahan di Sabak Bernam, empat Rumah Panjang Ulu Sungai Sebakong dan Sungai Duan, Mukah, Sarawak, Taman Sinar Harapan, Tampoi, Johor dan tiga lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Kampung Pasir Putih Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih.

Manakala PKPD di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada akan ditamatkan pada tengah malam 13 Jun.

Sementara PKPD di Rumah Panjang Undum anak Anchih, Sungai Duan dijadualkan tamat pada 16 Jun 2021.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-