27/7/2021
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata adalah haram umat Islam melantik individu fasik atau tidak berakhlak menjadi pemimpin dan memegang jawatan penting dalam sesebuah kerajaan.
Beliau juga berkata hanya pemimpin yang mencukupi syarat termasuk bermoral tinggi, layak untuk diangkat menjadi pemimpin negara.
“Islam juga mewajibkan para pemimpin mencukupi syarat ‘adalah (bermoral tinggi) di samping syarat keimanan, keilmuan serta kelayakan jasad, roh dan akal.
“Seorang individu yang fasiq (tidak berakhlak) adalah haram dilantik menjadi pemimpin dan memegang jawatan penting dalam sesebuah kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini tanpa merujuk kepada moral mana-mana pihak.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen (MP) parti cauvinis DAP menunjukkan sikap melampau dan tidak bermoral apabila menjerit-jerit di dalam Dewan Rakyat ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta MP Islam lain sedang membaca ayat Al-Quran surah al-Fatihah untuk umat Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Kejadian semalam berlaku ketika Perdana Menteri yang juga MP Pagoh mengucapkan takziah kepada semua mangsa Covid-19 dan meminta izin kepada Yang di-Pertua Dewan, Datuk Azhar Harun untuk bertafakur serta membaca doa sebagai menghormati mangsa yang terkorban.
“Sebelum saya memulakan penerangan, saya mewakili kerajaan dan seluruh ahli Parlimen dengan perasaan sedih dan hiba ingin menyampaikan salam takziah buat semua ahli keluarga mangsa Covid-19 yang diuji dengan kehilangan insan-insan tersayang.
“Datuk Yang di-Pertua, saya memohon izin untuk kita semua bertafakur seketika dan membaca surah al-Fatihah bagi mengingati mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia. Al-Fatihah,” katanya.
Tetapi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, MP Puchong Gobin Singh Deo dan MP Teluk Intan Nga Kor Ming bangun menjerit-jerit tanpa menghiraukan Muhyiddin yang sedang membacakan surah al-Fatihah.
Mengulas lanjut Hadi yang juga MP Marang turut membidas pihak yang sering kali menyebut mengenai keperluan integriti, tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang dan lain-lain kata slogan yang dicipta, namun hakikatnya mereka tidak mematuhinya.
“Hal ini kerana laksana jasad yang tiada roh yang memandu akal dan ilmu, dan boleh berubah menjadi penipu kerana politik kenegaraan dianggap di luar daripada ilmu Allah SWT dan hukuman-Nya,” katanya yang memetik hadis Rasulullah SAW yang memberi amaran bahawa bencana akan menimpa umat Islam apabila berlakunya beberapa perkara.
Antaranya kata beliau ialah apabila amanah yang besar itu dianggap sebagai satu peluang keemasan untuk individu terbabit mengejar kekayaan.
Wakil Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata ada individu yang telah dijangkiti penyakit ingin menjadi pemimpin hinggakan nafsunya telah mengatasi akal dan ilmu.
“Fenomena yang pesat berlaku dalam politik sekular, sama ada melalui saluran demokrasi yang telah dinodai politiknya ataupun melalui kekerasan dengan rampasan kuasa. Sehingga perkara tersebut telah mencetuskan peperangan dan akhirnya bertukar kepada pemerintahan secara diktator (dictatorship) yang lebih zalim.
“Maka, jawatan yang penting dalam politik berkonsepkan sekularisme akan diusahakan untuk mendapatkannya secara rakus, tanpa akhlak dan maruah diri. Sehingga ada kalangan yang berusaha mendapatkannya dengan apa sahaja cara sekalipun, sehingga matlamat menghalalkan cara,” katanya.
Hadi berkata ini termasuk dengan cara haram seperti memberi rasuah, menipu dan berbohong kepada rakyat.
“Inilah antara kekotoran yang dilakukan dalam politik berkonsepkan duniawi tanpa panduan agama yang berwawasan akhirat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.