Monday, August 2, 2021

Anwar dakwa kerajaan sudah tumbang

malaysiakini.com
Diterbitkan 2 Aug 2021, 12:53 pm
Dikemaskini 1:02 pm

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim hari ini mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti di parlimen.

Anwar mendakwa kerajaan Perikatan Nasional telah tumbang apabila anggota parlimen menarik sokongan mereka terhadap pentadbiran Muhyiddin.

"Hari ini kita berkumpul untuk menyatakan bahawa, secara jumlah ahli parlimen, kerajaan Mahiaddin telah jatuh tumbang hari ini. Dan saya dapat maklumat dari parti-parti lain ada mengemukakan senarai yang minta keluar dari PN.

"Maka dengan 107 yang ada di sini, campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan," katanya.

Dia berkata demikian di hadapan ahli-ahli parlimen pembangkang ketika mereka berhimpun di Dataran Merdeka sebelum berarak ke parlimen pagi tadi.

Pembangkang sebelum ini berulang kali membangkitkan isu keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kuasa melalui tindakan melompat parti segelintir ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

September lalu, Anwar mendakwa dia mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk mengambil alih semula kuasa dan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi memaklumkan perkembangan itu.

Anwar, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan ahli parlimen Pembangkang lain hari ini berarak dari Dataran Merdeka menuju ke parlimen, namun usaha mereka terhalang oleh sekatan pihak polis termasuk anggota daripada pasukan FRU.

Ahli-ahli parlimen pembangkang mengulangi gesaan agar Muhyiddin meletakkan jawatan setelah menerima teguran daripada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.

Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini mendakwa Muhyiddin menggunakan isu Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang parlimen bersidang.

[Berita penuh menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-