Monday, August 2, 2021

Selepas baju hitam, pembangkang kayangan kebal Covid-19 juga turun berhimpun

agendadaily.com
Ogos 2, 2021

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka pagi ini.

Jika pada Sabtu kumpulan baju hitam berhimpun di ibu kota Kuala Lumpur tanpa menghiraukan bahaya Covid-19, hari ini Ahli Parlimen kayangan pembangkang yang kebal Covid-19 juga mengikut jejak sama berhimpun di Dataran Merdeka.

Gerombolan pemimpin pembangkang berkumpul seawal 9 pagi di Dataran Merdeka tanpa menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) dengan tiada penjarakkan sosial dan duduk berhimpit-himpit antara satu sama lain.

Untuk rekod, Kuala Lumpur dan Selangor merupakan dua negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi Covid-19 dan kapasiti hospital di Lembah Klang juga berada pada tahap kritikal, ia memandangkan jumlah pesakit yang semakin rapat.

Petugas barisan hadapan juga sudah mengalami keletihan dan kelesuan kerana pertambahan kes yang meningkat setiap hari.

Antara yang hadir, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pengikutnya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi Parti Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kumpulan tersebut membawa sepanduk bersama yang mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak berpuas hati susulan penangguhan Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen.

Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan pakatan bersama Anwar tidak menghadiri himpunan pagi ini.

Sebelum ini, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan Ahli-Ahli Parlimen sidang khas yang sepatutnya bersambung pada Isnin akan ditangguhkan pada tarikh yang akan dimaklumkan, selari dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan penilaian risiko Covid-19 oleh kementerian kesihatan.

Pada Khamis, Noor Hisham mengarahkan supaya bangunan Parlimen dikuarantin susulan pengesanan beberapa kes Covid-19 di lokaliti tersebut.

Langkah tersebut menimbulkan bantahan daripada MP pembangkang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penangguhan Sidang Khas Dewan Rakyat esok dibuat atas nasihat Noor Hisham selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.

“Jika di tempat lain, apabila jumlah kes positif dikesan melebihi 40, kawasan itu sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Jadi inilah yang orang marah, seolah-olah kami ini ‘kayangan’ ada imuniti dan kekebalan.

“Sepatutnya persidangan tidak boleh dijalankan. Tetapi kebenaran khas diberikan dengan mengurangkan bilangan seramai 80 orang yang boleh berada dalam dewan serta memendekkan perbahasan bagi mengelakkan berlaku penularan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-