-August 14, 2021
MOHD. REDZUAN MD. YUSOF
Tiada mesyuarat khas kabinet diadakan
BERITA yang mengatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menandatangani surat peletakan jawatan Perdana Menteri yang tular sejak tengah hari Sabtu juga tidak betul dan bersifat spekulatif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang memaklumkan perkara ini mengatakan Perdana Menteri tidak pernah mengarahkan Jemaah Menteri menghadiri satu mesyuarat kabinet tergempar diadakan pada petang Sabtu, sebaliknya beliau sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya menerima notis jemputan menghadiri mesyuarat parti pada Ahad, jam 9 pagi.
“Mana ada PM letak jawatan hari ini. Dakwaan ada mesyuarat kabinet tergempar petang ini pun tidak betul kerana saya masih berada di rumah bersama keluarga.
“Yang saya tahu, hanya notis jemputan menghadiri mesyuarat MPT Bersatu sahaja yang saya terima di mana mesyuarat itu akan diadakan pada esok pagi (Ahad),” beliau dilaporkan berkata kepada Sinar harian hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Muhyiddin sudah menandatangani surat peletakan jawatan Perdana Menteri pada petang Sabtu dan dijangka akan mengumumkan keputusan itu selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar.
Mesyuarat kabinet tergempar itu diadakan selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, mengumumkan tawaran rentas parti semalam ketika diasak untuk melepaskan jawatan kerana didakwa sudah hilang majoriti.
Mohd Redzuan selanjutnya menjelaskan, sekiranya perkara itu benar, Muhyiddin perlu memaklumkannya dalam mesyuarat parti terlebih dahulu, sebelum memanjangkan perbincangan mengenai isu berkenaan dalam mesyuarat kabinet.
Beliau dalam masa juga menjelaskan, dakwaan pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri sudah mengemas barang di pejabat masing-masing, tidak memberi petanda bahawa kabinet sudah terbubar. – SB
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.