Sunday, August 15, 2021

Najib, Zahid sokong Anwar jadi PM satu perjuangan palsu

ismaweb.net
Ainul Illia

Masa depan rakyat tak wajar jatuh ke lubang sama dua kali


BANGI, 6 Muharram 1443H, Ahad – Mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, dengan sokongan kleptokrat UMNO – Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – dilihat seperti usaha yang rapuh dan palsu.

Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan Muda berkata, politik dan masa depan negara dan rakyat tak wajar jatuh ke lubang yang sama dua kali.

“Bayangkan kalau nilai Pakatan Harapan (PH) dan bakal PM – Anwar – adalah sekutu kleptokrat yang terus lari dari dakwaan di mahkamah.

“… ditambah lagi anak-anak muda, dengan ciri-ciri pelampau, gangsterisme dan hedonisme yang turun menyatakan bantahan di jalanan memburukkan lagi imej PH dan dasar perjuangan Anwar itu sendiri.

“Itulah hakikat yang ada, namun kebenaran adalah sesuatu yang sukar ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila pertembungan yang berlaku itu dibayangi perjuangan palsu yang kuat dan sokongan yang meluas, ruang untuk kebenaran bangkit adalah sangat sukar.

“Rakyat perlu tahu menilai, jangan terbawa-bawa dengan semangat dan sentimen perjuangan yang palsu,” katanya.

Ustaz Fahmi menegaskan, di sini tugas parti-parti politik Melayu Islam untuk kembali bermuhasabah.

“Apakah kerja-kerja membangunkan anak-anak watan di dalam UMNO, PAS, Bersatu dan parti lain berada pada landasan yang betul untuk masa depan kepimpinan negara.

“Saya selaku Ketua Pemuda Berjasa Malaysia mengharapkan satu bibit-bibit perkenalan dan kerjasama antara Ketua-Ketua Pemuda Parti ini memulakan arus perubahan.

“…keluar daripada keterikatan pimpinan parti dan bersama mengukir pelan strategik serta agenda perjuangan parti masing-masing.

“Jiwa muda kalian yang mulia adalah Masa depan negara. Jangan dijadikan taruhan. Jangan terus tergadai oleh kerakusan manusia tidak berperinsip, tiada nilai dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Semalam, MalaysiaNow melaporkan, kira-kira 15 Ahli Parlimen sekutu Presiden UMNO, Zahid termasuk yang berdepan pertuduhan rasuah akan menyokong Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri sekiranya kerajaan jatuh.

Langkah terbaharu itu muncul selari dengan kenyataan bekas pemimpinnya, Najib bahawa akan ada perkembangan besar di Istana Negara dalam ‘24 atau 48 jam’ yang akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-