Monday, August 9, 2021

Jika UMNO minoriti dalam kerajaan Anwar, berapa jawatan menteri akan diberi?

agendadaily.com
9/8/2021


Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi senada dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli-Ahli Parlimen (MP) UMNO yang berada dalam kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berfikir dan membuat pertimbangan yang waras tentang nasib mereka apabila menjadi minoriti dalam kerajaan baharu bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan hanya beberapa MP UMNO bersama bergabung dengan Anwar dan DAP, kumpulan diketuai Zahid pastinya bukan dominan dalam jajaran kerajaan baharu yang diwar-warkannya sebelum ini, lebih malang lagi parti semakin berpecah teruk akibat kerakusan Zahid bersama rakannya, Datuk Seri Najib Razak.

Jika sebelum ini bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), seramai 14 pemimpin UMNO dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet, apakah jaminan UMNO akan dapat mengekalkan jumlah yang sama apabila bersama dalam kerajaan diketuai Anwar?

Zahid dan Najib perlu menjawab persoalan ini walaupun mereka berdua sehingga hari ini tidak menjawab perancangan seterusnya sebaik menarik diri daripada kerajaan PN seperti yang didakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.

Malah dalam kerajaan PN, UMNO memiliki jumlah Menteri dan Timbalan Menteri paling ramai jika dibandingkan dengan rakan komponen, PAS tetapi nampaknya ia masih tidak memuaskan hati Zahid dan Najib.

Oleh sedemikian, tindakan kumpulan MP UMNO yang bersama Ismail Sabri sebenarnya logik dan munasabah kerana mereka tidak tahu perancangan Presiden UMNO itu dan jika benar Anwar sudah berjanji akan menyelamatkan Zahid dan Najib daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi, apakah jaminan pula kepada UMNO akan diberi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang banyak selepas ini.

Hari ini, UMNO mendedahkan Surat Akuan 14 MP yang sudah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi, ia sekaligus juga mengesahkan hanya minoriti sahaja yang bersama dengan kem Zahid untuk menjalinkan kerjasama dengan Anwar.

Bagaimanapun, kumpulan 14 MP tersebut perlu berwaspada supaya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Anwar dan DAP mungkin boleh berkompromi untuk menyelamatkan Zahid dan Najib tapi ia belum pasti dalam isu melibatkan pembahagian jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

Oleh sebab itu, 14 MP UMNO tersebut perlu berhati-hati dan selagi tidak ada perjanjian hitam putih atas meja, selagi itu lah pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Jangkaan Agenda Daily, UMNO mungkin hanya akan sekurang-kurangnya diberikan 3 jawatan Menteri dan 5 Timbalan Menteri, ia bagaimanapun bukan portfolio yang penting dan kegagalan untuk membawa lebih ramai MP untuk menyeberang bersama hanya akan menyebabkan mereka akan lebih mudah dibuli.

Jika sebelum ini UMNO dominan dalam kerajaan PN, tetapi jangan mengharapkan perkara sama berlaku dalam kerajaan baharu bersama Anwar, silap-silap hanya jawatan Pengerusi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja layak diberikan.

Fikirlah sebelum terlajak membuat keputusan kerana masa depan UMNO adalah lebih mustahak daripada masa depan segelintir individu yang mempunyai kepentingan peribadi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-