Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan 19 Aug 2021, 9:56 am
Dikemaskini 11:10 am
Dalam sesi hari ini, Agong dijangka mengesahkan sokongan mereka terhadap Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Malaysiakini melaporkan perkembangan ini secara langsung.
Muhyiddin, Azmin, Najib antara kumpulan kedua menghadap Agong
10.40 pagi: Bas-bas yang membawa sejumlah MP serta beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) tiba di Istana Negara.
Antara yang dilihat dalam bas itu adalah dua ahli parlimen Umno, Salim Sharif (Jempol) dan Shahidan Kassim (Arau).
Kumpulan kedua ini - seramai 25 orang - merangkumi ahli parlimen Bersatu, Umno dan bebas.
Mereka termasuklah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (Pagoh), Azmin Ali (Gombak), Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Larry Sng (Julau), Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Najib Razak (Pekan).
Sng menaiki bas kedua - dipercayai membawa ahli parlimen Bersatu - yang tiba tidak lama selepas bas yang membawa ahli parlimen Umno.
Terdahulu, senarai menunjukkan Muhyiddin dan Azmil dijadual menghadap pada pukul 11 pagi, namun senarai kemas kini menyatakan mereka akan menghadap di sebelah petang.

Antara tokoh yang tiba di Istana Negara sebentar tadi adalah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara Idrus Harun.
Sementara itu, pembangkang menyatakan mereka tidak menerima jemputan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Sesi menghadap dimulakan dengan MP Sabah dan Sarawak
9.30 pagi: Kumpulan pertama ahli parlimen - seramai 24 orang - yang dijadual menghadap Agong adalah daripada Sabah dan Sarawak.
Ia termasuk 18 orang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lima orang dari Bersatu Sabah.
Tidak dapat dipastikan sama ada mereka mengadap Agong di Istana Negara atau melalui telesidang.
Semalam, terdapat keraguan sama ada GPS akan menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri, selepas gabungan itu enggan mendedahkan nama yang dihantar mereka kepada Agong.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.