hmetro.com
Amir Abd Hamidamir_hamid@mediaprima.com.my
MOHD Redzuan tiba di Publika Shopping Gallery bagi menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: "InsyaAllah ada pengumuman esok (oleh Perdana Menteri) apa pun kita tunggulah esok," kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Beliau berkata, mesyuarat Bersatu hari ini membincangkan arah dan apakah akan terjadi sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Perdana Menteri.
Menurutnya, Muhyiddin sudah pun memberikan pilihan terakhir pada perutusan Jumaat lalu semata-mata untuk kepentingan rakyat terhadap krisis ketika ini.
"Kita nampak ada segolongan yang tidak bertanggungjawab untuk memastikan rakyat digadaikan.
"Sepatutnya dia memastikan mengekalkan segala usaha yang dibawa oleh Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Tetapi kita akur kepada Perlembagaan. Sekiranya menarik sokongan atas dasar peribadi tanpa mengira kepentingan rakyat, maka kita uruskanlah (kelak) dengan cara terbaik," katanya.
Mohd Redzuan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas menjelaskan terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong selepas ini untuk menentukan langkah seterusnya demi kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri ketika ditemui enggan mendedahkan butiran terperinci mesyuarat.
Katanya, apa dibincangkan adalah berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan awam.
Terdahulu, mesyuarat yang dipengerusikan Muhyiddin selesai jam 11 pagi ini.
Mesyuarat selama dua jam itu berlangsung di Publika Shopping Gallery, di sini, yang menempatkan Ibu Pejabat PN dan pejabat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Jumaat lalu, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Namun tawaran itu ditolak majoriti parti pembangkang.
Sehubungan itu, difahamkan Muhyiddin bersedia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan esok.
Disiarkan pada: Ogos 15, 2021 @ 11:58am
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.