Friday, August 6, 2021

Nazri, Shahidan tak mahu layan surat UMNO tuntut pendirian

agendadaily.com
6/8/2021

Dua pemimpin senior UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Nazri Aziz tidak mahu melayan surat diberikan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dua pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Shahidan Kassim tidak akan melayan surat yang dihantar pejabat Setiausaha Agung UMNO yang menuntut Ahli-Ahli Parlimennya (MP) untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong kerajaan Perikatan Nasional atau sebaliknya.

Nazri berkata tidak ada keperluan untuk menjawab surat tersebut, sebaliknya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melakukan kesalahan kerana bersekongkol dengan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP perlu dikenakan tindakan.

“Saya mengesahkan telah menerima surat dari Setiausaha Agung UMNO menerusi WhatsApp hari ini. Saya tidak akan jawab surat tersebut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Yang sepatutnya diberi surat tunjuk sebab adalah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU). Ini jelas menerusi klip audio perbualan beliau dengan Anwar selepas PAU pada Mac lalu yang tersebar sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Shahidan pula membidas Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak berhak untuk meminta penjelasan daripada MP Barisan Nasional (BN) dan hanya akan menjawab kepada keputusan Majlis Tertinggi BN sahaja.

“Ahmad Maslan tiada hak kepada MP. Saya hanya akan jawab kepada Keputusan Majlis Tertinggi BN.

“Saya MP BN, walaupun saya bertanding mewakili UMNO, saya adalah MP BN dan BN perlu membuat sesuatu sebelum kami membuat keputusan,” kata MP Arau itu kepada Agenda Daily.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan sepucuk surat dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung UMNO sedang tular dalam media sosial yang dihantar kepada semua MP parti itu termasuk Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti itu menuntut mereka meletak jawatan daripada kerajaan PN.

Dalam surat tersebut bertarikh 5 Ogos tersebut, dipercayai dihantar kepada semua MP UMNO menjelaskan pendirian parti yang membuat ketetapan pada Selasa lalu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam surat tersebut juga, peringatan diberikan kepada ahli-ahli UMNO untuk menghormati segala perintah dan keputusan parti selari dengan Fasal 20.9 (b) dan Fasal 20.9 (d) Perlembagaan UMNO.

Surat tersebut juga menuntut mana-mana pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan PN supaya meletak jawatan mereka selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada Selasa lalu.

Pada Selasa, UMNO menerusi kenyataan Zahid mengisytiharkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam kenyataannya semalam mendakwa masih mempunyai majoriti sokongan dan akan dibuktikan keabsahan dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

Untuk rekod, hanya seorang menteri dari UMNO yang meletak jawatan sejak keputusan Mesyuarat MT tersebut diputuskan, iaitu Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-