Showing posts with label Nazri Aziz. Show all posts
Showing posts with label Nazri Aziz. Show all posts

Monday, February 24, 2025

Akmal kebudak-budakkan, mentaliti rendah- Nazri

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Feb 24, 2025 1:12 PM
Bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Nazri Aziz membidas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh sebagai kebudak-budakkan dan mempunyai mentaliti rendah.

Nazri berkata demikian bagi menjawab kritikan keras Akmal yang menyifatkannya sebagai “penjilat” selepas menyifatkan tiada siapa yang layak menjadi perdana menteri jika Anwar Ibrahim tiada.

"Respons Akmal ini terhadap kenyataan saya menunjukkan tahap kebudak-budakan dan mentaliti yang rendah. Respons tersebut tidak menjawab kenyataan saya dengan baik.

"Saya telah diberitahu bahawa dia tidak mewakili orang Melayu atau Umno sendiri. Dia sepatutnya mempertikaikan apa yang saya katakan dengan fakta yang betul, dan bukan dengan mengatakan saya ‘menjilat’.

“Adakah itu reaksi yang patut datang dari Ketua Pemuda?" kata bekas menteri dan bekas pemimpin kanan Umno itu.
Akmal Salleh
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Nazri berhasrat memberi tumpuan untuk menyokong Anwar selepas kembali dari AS, serta memastikan presiden PKR itu kekal menerajui Putrajaya selepas PRU16.

Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan calon pengganti Anwar turut merangkumi Umno, Nazri membalas dengan sinis: “(Boleh) kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa."

Nazri turut menyindir Akmal dengan mengatakan dia hanya mewakili "satu perempat" daripada empat sayap Umno, justeru pandangannya mengenai pelbagai isu tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti.

Dalam kenyataan membalas, Akmal berkata pemuda Umno bukan penjilat mencari makan.

Nazri bagaimanapun berkata jika benar dia “menjilat”, Umno yang akan mendapat faedah, termasuk Akmal sendiri sebagai exco kerajaan Melaka.

"Kalau saya "menjilat", yang untung adalah dia, Umno, dan pakatan mereka. Ini kerana, saya sebagai penjilat akan memastikan peluang untuk dia menang di Melaka akan cerah, dan dia mungkin boleh menjadi exco.

"Jika saya "menjilat", untung untuk dia, bukan untuk saya," katanya.

Ditanya mengapa Nazri berpandangan Akmal tidak membawa suara majoriti Melayu, Nazri membalas PAS telah menjadi parti dominan di kalangan golongan itu.

"Jika betul siapa yang mewakili suara Melayu-Islam sekarang, ia adalah PAS. PAS memerintah empat negeri (Kedah,Perlis, Kelantan dan Terengganu) majoriti Islam.

"Di Parlimen, kerusi Melayu yang dipegang PAS jauh lebih banyak berbanding Umno. Itu yang saya katakan, Akmal bukan suara majoriti,” katanya.

Nazri juga membandingkan Akmal dan PAS mengendalikan isu stoking kalimah Allah.

"PAS mengendalikan isu stoking dengan baik tanpa sebarang ketegangan kaum berbanding Akmal dan pemuda Umno," katanya.

Sunday, February 23, 2025

Akmal: Pemuda Umno bukan penjilat macam Nazri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 23, 2025 6:21 PM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh membalas kenyataan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Nazri Aziz dengan menegaskan sayap parti itu bukanlah golongan pengampu.

"Kami Pemuda (Umno) bukan penjilat mencari makan. Kami ada tanggungjawab untuk menjaga agama bangsa daripada sibuk menjilat untuk kepentingan diri.

"Jika kamu nak menjilat, silakan. Jangan samakan kamu dengan kami.

"Mana tahu lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula," perli Akmal pada hantaran di media sosial.
Nazri sebelum ini pernah dilantik sebagai timbalan ketua Pemuda Umno pada tahun 1993 dan memangku jawatan ketua sayap parti itu dari 1994 hingga 1996.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Nazri berhasrat memberi tumpuan untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas kembali dari AS, serta memastikan presiden PKR itu kekal menerajui Putrajaya selepas PRU16.

Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan calon pengganti Anwar turut merangkumi Umno, Nazri membalas dengan sinis: “(Boleh) kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa."

Nazri turut menyindir Akmal dengan mengatakan Adun Merlimau itu hanya mewakili "satu perempat" daripada empat sayap Umno, justeru pandangannya mengenai pelbagai isu tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti.
Sementara itu, Akmal menyoal jika Nazri sendiri mewakili majoriti orang Melayu.

"Saya nak tanya juga, adakah kamu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu?

“Mungkin kamu dah lupa, yang kamu bukan berada di Amerika lagi sebab kontrak tidak disambung lagi," katanya.

Awal bulan ini, Nazri kembali ke Malaysia dan menafikan dakwaan bahawa beliau telah "dipanggil balik" sebelum tamat tempoh perkhidmatannya.

Nazri menjelaskan sebagai duta yang dilantik secara politik, dia telah menandatangani kontrak dua tahun dengan Kementerian Luar Negeri.

Sunday, December 25, 2022

2 jawatan tertinggi Umno tak perlu tanding, cadangan ‘lapuk’, tak demokratik, kata Nazri

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-December 25, 2022 11:13 AM
Ketua Umno Bahagian Padang Rengas Nazri Aziz, berkata cadangan untuk tidak dipertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden bakal menjadi satu lagi ‘episod hitam’ selepas prestasi buruk parti, pada PRU15.

PETALING JAYA: Umno dianggap tidak demokratik sekiranya tunduk kepada usaha pihak tertentu menghalang jawatan dalam parti dipertandingkan, pada pemilihan parti akan datang, kata Ketua Umno Bahagian Padang Rengas Nazri Aziz.

Katanya, langkah seperti itu menyekat amalan demokrasi yang sudah lama subur dalam Umno selain menyatakan sebarang cadangan ke arah itu sebagai “lapuk”, sekali gus menunjukkan Umno semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

“Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam Umno selepas prestasi buruk pada PRU15 lalu,” lapor Utusan Malaysia.

Nazri berkata, cadangan dua jawatan itu tidak dipertandingkan, merujuk presiden dan timbalan presiden yang masing-masing disandang Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan, seolah-olah memperkecilkan keupayaan mereka.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu terbukti mampu menang pada pemilihan parti, pada 2018, sekali pun tidak ada jawatan dalam kerajaan.

“Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.

“Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan presiden dipertandingkan pada 2018, beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang sebab ahli-ahli Umno mahu amalan demokrasi dalam parti subur,” katanya.

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata semua boleh terima jika sebelum ini parti tidak mahu ada pemilihan kerana mahu fokus PRU15 dan tidak mahu ada perpecahan dalam parti.

Beliau mempersoalkan bilakah mahu diadakan pemilihan sekiranya selepas PRU15 masih tidak mahu berbuat demikian.

“Bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, Umno sudah tidak ada lagi,” katanya.

Nazri berkata, jika benar mahu mengelak perpecahan dalam parti, semua jawatan di cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

“Sebenarnya mereka yang mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan ini bukan nak jaga perpaduan dalam Umno, tetapi menjaga kepentingan peribadi sebab dalam PRU15 lalu mereka ini telah menjadi calon tetapi kalah teruk.

“Mereka ini bimbang kalau berlaku pertukaran pemimpin nama mereka tidak lagi dicalonkan pada PRU16,” katanya.

Saturday, December 24, 2022

Jangan sekat demokrasi dalam UMNO, ujar Nazri Aziz

satuberita.my
By SatuBerita
-December 24, 2022
MANA-mana pihak atau individu tidak seharusnya menyekat amalan demokrasi yang telah lama subur dalam UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut Mohamed Nazri, sebagai sebuah parti terulung yang terlibat dalam sistem demokrasi di negara ini, UMNO perlu menunjukkan contoh dengan membenarkan pemilihan semua jawatan dalam parti dipertandingkan.

Katanya, jika terdapat usaha untuk menghalang jawatan tertentu tidak dipertandingkan, UMNO akan menjadi sebuah parti yang tidak lagi demokratik.

“Kita sepatutnya bergerak ke depan bukan ke belakang dengan cadangan-cadangan lapuk yang langsung tidak mengambarkan UMNO sebuah parti yang menjunjung amalan demokrasi.

“Sekiranya benar ada usaha untuk menghalang pemilihan jawatan tertentu dalam parti nampaknya UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

“Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas prestasi buruk kita pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu,” katanya, lapor Astro AWANI.

Mohamed Nazri juga menyifatkan pihak yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti seolah-olah memandang rendah keupayaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, kedua-dua pemimpin ini telah membuktikan kehebatan masing-masing dengan memenangi pemilihan lalu tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Zahid dan Tok Mat (Mohamad) menang ketika pemilihan tahun 2018 dulu masa UMNO jadi pembangkang, menang bertanding bukan menang percuma.

“Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.

“Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan Presiden dipertandingkan pada 2018, beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang kerana ahli-ahli UMNO mahu amalan demokrasi dalam parti subur.

“Sebelum ini, kita kata tidak mahu ada pemilihan sebab nak fokus PRU15 dan tidak mahu ada perpecahan dalam parti, kalau selepas PRU15 masih tidak mahu ada pemilihan, bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, UMNO sudah tidak ada lagi,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Mohamed Nazri menegaskan, pihak yang mencadangkan agar jawatan nombor satu dan dua dalam UMNO tidak dipertandingkan perlu melihat keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguji keabsahannya.

“Kita sekarang sudah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)… satu kerjasama yang pernah saya cadangkan pada 2019 hingga saya diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang sekarang ini menyokong usaha ini.

“Bila kita sokong dan adakan kerjasama sepatutnya kita contohi juga amalan demokrasi dalam parti-parti PH macam PKR dan DAP yang berani buat pemilihan sebelum PRU15 lalu.

“Mereka suburkan amalan demokrasi dalam parti mereka tetapi kita ada pula yang masih berfikiran 30 tahun ke belakang, mahu jawatan Presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.

“Dengan pemilihan ini, Zahid dapat membuktikan bahawa beliau ada sokongan dan keputusan bekerjasama dengan PH mendapat restu ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.

Mohamed Nazri juga berpendapat tidak mungkin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan bersetuju dengan cadangan untuk tidak diadakan pemilihan jawatan tertentu dalam parti.

Hujah beliau, RoS merupakan badan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan demoktarik ahli-ahli parti politik.

“Jika RoS bersetuju, bermakna badan itu tidak lagi berfungsi sepertimana sepatutnya iaitu menjaga hak demokratik ahli parti politik.

“Dan sebelum ini RoS meluluskan untuk pemilihan ditangguhkan enam bulan selepas PRU15, jadi kalau jawatan Presiden dan timbalan tidak dipertandingkan maka keputusan RoS sebelum ini sia-sia,” ujar beliau.

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada beberapa pemimpin peringkat bahagian yang mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Antara alasan yang diberikan adalah bimbang akan berlaku perpecahan dalam UMNO akibat pemilihan tersebut.

Kata Mohamed Nazri lagi, jika benar mahu mengelak perpecahan dalam parti, semua jawatan di cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

“Kalau benar-benar nak elak perpecahan dan jaga perpaduan dalam parti, maka jawatan-jawatan ketua dan timbalan ketua di peringkat cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

“Sebenarnya mereka yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ini bukan nak jaga perpaduan dalam UMNO tetapi menjaga kepentingan peribadi sebab dalam PRU15 lalu mereka ini telah menjadi calon tetapi telah kalah teruk.

“Mereka ini bimbang kalau berlaku pertukaran pemimpin nama mereka tidak lagi dicalonkan pada PRU16,” bidas beliau.

Tuesday, June 28, 2022

Nazri cabar buat pemilihan parti kalau berani, baharu PRU-15

agendaily.com
27/06/2022
Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.

Veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz mencabar supaya pemilihan parti diadakan terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubar bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas itu berkata tidak wajar sekiranya UMNO hanya mendesak untuk mengadakan PRU-15 tetapi pemilihan parti boleh pula ditangguhkan demi kepentingan politik peribadi individu tertentu.

“Buatlah pemilihan parti kalau berani, …nak hadapi PRU berani …(perlu berani) hadapi pemilihan parti juga. Apa yang perlu dibuat UMNO ketika ini adalah pemilihan bukannya PRU.

“Saya risau kalau tidak dibuat sebelum Disember, UMNO akan dibubar sebab kita ada 18 bulan bermula Jun tahun lalu untuk adakan pemilihan,” katanya lapor BH.

Nazri juga menyahut cadangan yang dikemukakan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang baharu dipecat supaya Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur kerana terpalit dengan banyak pertuduhan di mahkamah.

“Zahid patut tarik diri, …amalan lepas menunjukkan siapa ada kes perlu berundur seperti mana Dr Mohamad Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor); Tan Sri Muhammad Muhd Taib (bekas Naib Presiden UMNO) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka).

“Malah, sebelum ini, UMNO buat keputusan sesiapa ada kes perbicaraan perlu mengundurkan diri bagi fokus kepada kes supaya kes peribadi tidak dijadikan kes parti.

“Tetapi tak undur diri pula (Zahid) itu yang jadi masalah sekarang,” katanya.

Mengulas berhubung pendedahan Tajuddin semalam, Nazri berkata MP Pasir Salak itu berhak untuk melontarkan pandangan dan bebas mengkritik kerana beliau bukan lagi ahli MT.

“Ia kebebasan bersuara, …Tajuddin dah bukan ahli MKT, jadi orang tidak boleh marah beliau. Beliau cakap benda betul. Biar rakyat dan ahli UMNO membuat keputusan,” katanya lagi.

Jun tahun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan UMNO menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

Ahmad dilaporkan berkata, sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Mei lalu, UMNO juga sudah meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU-15.

Saturday, June 4, 2022

Najib perlu ikut jejak Nazri bersara, bukan bercita-cita jadi PM semula

agendaily.com
04/06/2022
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz. - Gambar Agenda Daily

Tindak-tanduk Datuk Seri Najib Razak yang masih aktif mencatur politik seolah-olah masih mengejar cita-cita peribadi mahu menjadi Perdana Menteri (PM) semula perlu dihentikan, sewajarnya peluang diberikan kepada pelapis baharu.

Najib sepatutnya mengikut jejak veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengumumkan persaraan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti dan bukannya masih menaruh cita-cita dapat menjadi PM sekali lagi.

Berdepan puluhan kes mahkamah dan sudah disabitkan hukuman melibatkan kes pertuduhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib sudah tidak lagi mempunyai asas moral untuk terus berharap dapat menjadi PM sekali lagi.

Sudah cukup kerosakan dilakukan oleh Najib sepanjang menjadi PM, ratusan juta hutang 1MDB yang terpaksa ditanggung kerajaan dan rakyat bukanlah satu pencapaian yang sepatutnya dibanggakan oleh bekas PM tersebut.

Bagaimanapun, Najib yang perasan dirinya popular dan terpesona dengan kata-kata pengampu sekelilingnya masih menaruh harapan untuk menjadi PM semula jika diberikan peluang.

Sepatutnya Najib mengikut jejak Nazri yang bertegas tidak akan bertanding pada PRU-15 dan secara tidak langsung bersara daripada politik.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu konsisten dan tidak akan membuat pusingan U berhubung keputusan persaraannya, namun kesetiaannya bersama UMNO masih kekal utuh dan akan terus menyokong parti daripada luar.

“Zaman seangkatan saya sudah berakhir dengan naiknya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Jadi, apa yang saya sebut sebelum ini, tiada perubahan lagi dan saya sudah fikir masak-masak.

“Namun, saya tetap memberi sokongan selagi boleh dan apabila ahli UMNO kembali menjadi Perdana Menteri, itu sudah menjadi kelegaan untuk saya.

“Dengan persaraan saya, tidak bermakna saya terus berhenti memberikan pandangan. Walaupun bukan ahli Majlis Tertinggi (MT), saya akan terus bersuara selagi yang saya sebut ini masuk akal, mempengaruhi Kabinet untuk buat seperti disarankan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Nazri antara yang lantang mempertahankan Ismail Sabri, disamping menjadi pendukung utama kepada pelantikan Ismail Sabri sebagai PM. Malah, Nazri juga antara yang paling lantang membidas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa krisis politik sebelum ini yang menyaksikan Ismail Sabri diangkat menjadi PM Kesembilan.

Tidak dinafikan, Nazri memainkan peranan sebagai pelobi utama kepada Ismail Sabri.

Senario dihadapi Nazri dengan Najib adalah berbeza sama sekali, umum mengetahui sekiranya Najib tidak kembali ke tampuk kuasa berkemungkinan pintu penjara Sungai Buloh akan terbuka luas dan ia pastinya menyeramkan bagi seorang yang berstatus bangsawan seperti anak PM Kedua, Tun Abdul Razak itu.

Jadi, tidak menghairankan Najib cuba menjustifikasikan popularitinya dikalangan rakyat bagi memastikan pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah dapat dikaburi dengan imej menjadi mangsa penganiayaan.

Telahan Najib kononnya rakyat mempercayainya kerana dianiaya terlalu dangkal kerana keterangan saksi di mahkamah adalah jelas menunjukkan siapa sebenarnya dalang disebalik salahguna kuasa dan rasuah yang berlaku semasa pentadbirannya.

Bukan sahaja Nazri yang tahu tempoh yang sesuai untuk bersara daripada politik, malahan beberapa pemimpin politik pembangkang dan UMNO yang lain juga sudah mengumumkan persaraan mereka.

Antara ahli Parlimen lain memutuskan tidak mempertahankan kerusi termasuk, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming (DAP), 47, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 97, (Pejuang); Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, 81, (DAP); Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, 56, (UMNO); Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, 74, (UMNO).

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, 85, (UMNO) pula masih berteka-teki sama ada mahu menjadi calon atau menarik diri daripada pilihan raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dilaporkan mungkin tidak bertanding di kawasannya.

Friday, April 15, 2022

Nazri sokong gesaan untuk Ismail dilantik pengerusi BN

freemalaysiatoday.com
Nicholas Chung
-April 15, 2022 4:59 PM
Nazri Aziz berkata, ada beberapa sebab kenapa Ismail Sabri Yaakob perlu dilantik sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN).

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz memberikan beberapa sebab untuk menyokong gesaan Annuar Musa supaya Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan pengerusi Barisan Nasional (BN) daripada Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sebagai calon perdana menteri Umno untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Ismail akan mengetuai kempen parti itu dan patut diberikan kuasa untuk memberi surat watikah kepada calon BN.

Beliau berkata, sentiasa wujud “ancaman” yang dihadapi ahli Umno, sama ada dalam keadaan bergurau atau hakikatnya, mereka tidak boleh bersuara menentang presiden parti kerana bimbang tidak akan dilantik sebagai calon pilihan raya.

“Ia hanya adil dan betul, untuk menghapuskan ancaman ini, jawatan pengerusi BN perlu diberikan kepada Ismail, kerana perdana menteri itu telah dilantik Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk mengetuai parti dalam PRU15,” katanya kepada FMT.

“Dan apabila ia berkaitan BN, kita tidak boleh anggap hanya Umno boleh menentukan siapa yang patut menjadi pengerusi. Tanggungjawab itu dikongsi bersama parti komponen lain – MCA, MIC dan PBRS. Dan setiap parti mempunyai satu undi.”

Bekas menteri undang-undang itu, berkata parti itu bertindak betul dengan melantik Ismail sebagai presiden Umno memandangkan beliau ialah perdana menteri sekarang.

Dahulu, katanya, beberapa pemimpin menjadi timbalan perdana menteri terlebih dahulu, sebelum “disahkan” dan dilantik sebagai timbalan presiden parti.

“Ini berlaku pada masa lalu dengan pelantikan beberapa timbalan perdana menteri, seperti Tun Dr Mahathir (Mohamad), Ghafar Baba, Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dan bahkan Najib Razak sendiri. Jadi ini adalah duluan.”

Terdahulu, bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa dilaporkan berkata, sudah sampai masanya untuk Ismail dilantik sebagai pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya BN, selepas Ahli Parlimen Bera itu dinamakan sebagai calon perdana menteri Umno bagi PRU15.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman, semalam, memberi amaran ia bukan jaminan Ismail akan kekal sebagai perdana menteri selepas PRU15, walaupun parti membuat keputusan itu.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu memberi contoh pilihan raya negeri Johor bulan lalu, apabila Hasni Mohammad yang dijadikan “poster boy” tidak dipilih sebagai menteri besar.

Nazri menyifatkan apa yang berlaku di Johor sebagai “janggal” dan percaya ini tidak akan berulang dengan Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15.

Beliau berkata, ia adalah prerogatif Agong untuk menentukan siapa yang patut dilantik menerajui negara dan BN akan sentiasa menghormati keputusan Agong.

Wednesday, September 22, 2021

Ku Li letak jawatan sebab gagal jadi PM: Nazri

agendadaily.com
22/9/2021

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa Ku Li kecewa tidak mendapat sokongan UMNO untuk menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah meletak jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO kerana kecewa tidak mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan, Nazri memberitahu bahawa ketika menandatangani surat sokongan dan menghadap Yang di-Pertuan Agong juga hanya 41 MP Barisan Nasional termasuk UMNO yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sepatutnya BN ada 42 tetapi saya difahamkan Ku Li calonkan nama beliau sendiri jadi kami cuma 41 Ahli Parlimen.

“Kerana hanya beliau menyokong dirinya untuk jawatan Perdana Menteri jadi tidak dapatlah. Agaknya dia kecewa sebab itu letak jawatan pengerusi jemaah penasihat,” kata Nazri mengulas tindakan Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li.

Beliau juga mengaskan jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu hanya ‘window dressing’ sahaja, dan parti itu tidak pernah mengguna pakai nasihat Ku Li.

“Jawatan itu pun cuma window dressing saja. Tidak ada nasihat beliau yang UMNO pakai,” katanya dipetik daripada Astro Awani, hari ini.

Nazri juga berkata tindakan itu tidak mengejutkan kerana kebelakangan ini Ku Li telah menunjukkan beliau tidak lagi bersama UMNO, termasuk meminta tempat duduknya di dalam Dewan Rakyat diubah ke blok lain.

“Sebelum ini Ku Li minta untuk tempat beliau dalam Dewan Rakyat diletakkan berhampiran tempat duduk pembangkang. Kita nak tahu itu untuk apa?

“UMNO bersama kerajaan, kalau mahu duduk dekat dengan pembangkang adakah maknanya beliau sudah tidak bersama UMNO?” katanya.
Nazri turut mempertikaikan hasrat Ku Li mahu menghidupkan kembali UMNO yang lama.

Beliau mendakwa UMNO yang lama diharamkan oleh Mahkamah kerana tindakan Tengku Razaleigh yang tewas pemilihan parti tahun 1987.

“Beliau perlu ingat, disebabkan tewas pemilihan itulah ada penyokong beliau yang bawa isu pemilihan ke mahkamah dan UMNO diharamkan.

“Malah beliau tidak bersama UMNO yang baru tetapi menubuhkan Parti Semangat 46 hingga kita tewas di Kelantan sejak 1990 hingga sekarang.

“Jadi dia nak apa buktikan apa bila nak hidupkan UMNO yang lama? Nak jadi presiden? Kalau sayang UMNO sokong lah kerajaan yang UMNO terajui dan jadi Perdana Menteri,” katanya.

Ku Li mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO. Peletakan jawatan itu dibuat sehari setelah beliau membidas pemimpin UMNO yang menyalahgunakan kedudukan untuk memperkayakan diri, ketika menyampaikan perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Friday, August 13, 2021

Tawaran kerjasama cadangan progresif, politik bertamadun: Nazri

agendadaily.com
12/8/2021
Ahli Parlimen Datuk Seri Nazri Aziz semasa wawancara dengan Agenda Daily hari ini. Foto Hiekal Rosly.

Pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tawaran kerjasama kerajaan kepada semua pihak khususnya parti blok pembangkang sebagai cadangan yang progresif ke arah mewujudkan amalan politik bertamadun.

Nazri melihat tujuh cadangan yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mewujudkan corak politik yang lebih beretika, sebagai contoh langkah untuk menggubal undang-undang lompat parti yang termasuk dalam tawaran tersebut.

“Ianya adalah tujuh cadangan yang progresif dan akan mentamadunkan politik di Malaysia, saya daripada dulu lagi sudah mencadangkan undang-undang lompat parti dan InsyaAllah dengan pengumuman ini kerajaan akan melaksanakan.

“Selain itu, ia juga menekankan etika politik, sepatutnya Ahli Parlimen yang dikatakan kleptokrat jika mereka beretika mesti letak jawatan apabila didakwa di mahkamah dan selepas didapati bersalah. Sebagai contoh di United Kingdom, Menteri Kesihatan mereka tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) kerana mencium pipi seorang wanita dan terus letak jawatan. Ini yang dikatakan lebih putih daripada putih (whiter than white),” katanya kepada Agenda Daily.

Dalam ucapan Muhyiddin, kerajaan mencadangkan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Menurut Nazri lagi, langkah untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan mampu memberi semak dan imbang kepada sesebuah kerajaan serta menjamin integriti seseorang yang berada di puncak kuasa kerajaan.

“Itu saya sangat bersetuju kerana kita bagaimana seorang Perdana Menteri yang sudah didapati bersalah di Mahkamah Tinggin kerana terlibat dengan kes isu rasuah dan juga salahguna kuasa.

“Jadi dengan kita hadkan dua penggal, maka dia tidak boleh mewujudkan satu suasana yang mana dia menguasai penuh pentadbiran negara termasuk mempengaruhi pegawai kerajaan dan pentadbir,” katanya lagi.

Berhubung melibatkan Undi 18, Nazri berkata komitmen tersebut memperlihatkan keikhlasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan manifesto yang gagal ditunaikan ketika pemerintah zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Kita semua tahu kerajaan gagal PH bawah Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebelum ini membuat keputusan untuk tidak melaksanakannya sekarang.

“Sebenarnya ini menjadi masalah apabila terlalu lama dalam politik dan merasakan budak-budak muda 18 tahun sebagai tidak matang untuk membuat keputusan dalam pilihan raya umum. Jadi orang tua macam Dr Mahathir jangan bagi peluang lagi untuk mentadbir negara,” ujarnya.

Nazri juga mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memberikan peruntukan sama adil kepada Ahli Parlimen tanpa mengira latar belakang politik mereka.

“Berhubung pembahagian peruntukan, saya bersetuju sangat kerana Ahli Parlimen tidak kira sama ada dalam kerajaan atau tidak, masing-masing telah dipilih secara sah untuk menjadi wakil rakyat.

“Saya setuju langkah ini kerana kenapa perlu hukum rakyat semata-mata kerana wakil rakyat itu bukan berada dalam kerajaan,” tegasnya.

Beliau menggesa supaya semua pihak berbincang secara serius berhubung tawaran kerjasama tersebut kerana rakyat sudah muak dan menyampah dengan karenah ahli politik yang berebut kuasa.

“Rakyat sudah menyampah dan muak dengan Ahli Parlimen yang berebut kuasa, saya sokong titah Sultan Johor supaya tidak menjadikan dewan yang mulia sebagai sangkar beruk,” katanya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin berkata cadangan tersebut bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat menumpukan kepada usaha menangani krisis kesihatan negara dan tidak mahu kumpulan kleptokrat yang sedang merancang untuk menjatuhkannya kembali berkuasa.

Antara lain Perdana Menteri menjanjikan suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, jika memperoleh sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga.

Beliau juga berkata kerajaan memberi jaminan akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah MP Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

Wednesday, August 11, 2021

Zahid yang patut insaf nak jatuhkan kerajaan ketika krisis Covid-19

agendadaily.com
11/8/2021


Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya jangan lupa pendirian UMNO terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi patut mencermin diri sendiri dan perlu terlebih dahulu insaf kerana tindakannya yang cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika krisis Covid-19 sedang melanda negara.

Rakan senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz membidas tindakan Zahid yang bermain politik dengan cuba menjatuhkan kerajaan ketika sedang melawan penularan Covid-19 dan berusaha keras untuk mengheret parti mengikut cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Jaga rakyat bukan dengan menjatuhkan kerajaan waktu kita sedang melawan Covid-19 dimana Ahli-ahli Parlimen kita sebagai Menteri yang menjadi barisan hadapan melawan Covid-19,” kata Nazri kepada Agenda Daily.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menegaskan rakyat ketika ini sedang berdepan kesusahan dan krisis politik yang dicetuskan adalah tidak wajar, bahkan sekiranya Zahid mendakwa kerajaan PN gagal ia bermakna Menteri UMNO juga gagal.

“Rakyat tengan berdepan dengan kesusahan… Jadi kalau kerajaan gagal UMNO jug gagal kerana Menteri dan Timbalan Menteri juga terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen UMNO.

“Tapi Zahid nak suruh UMNO lari daripada tanggungjawab kepada rakyat,” tegasnya.

14 MP UMNO diketuai Zahid sedang merancang bersama blok pembangkang diketuai Anwar, serta parti kecil lain yang cuba menumbangkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini.

Setelah beberapa kali gagal untuk menumbangkan kerajaan PN, kumpulan Zahid dan Anwar dilaporkan mengutus surat terbaharu kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan rancangan Muhyiddin untuk mengemukakan usul percaya terhadap kepimpinan beliau bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri yang memiliki majoriti Parlimen.

Usul itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula 6 September ini.

Friday, August 6, 2021

Nazri, Shahidan tak mahu layan surat UMNO tuntut pendirian

agendadaily.com
6/8/2021

Dua pemimpin senior UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Nazri Aziz tidak mahu melayan surat diberikan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dua pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Shahidan Kassim tidak akan melayan surat yang dihantar pejabat Setiausaha Agung UMNO yang menuntut Ahli-Ahli Parlimennya (MP) untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong kerajaan Perikatan Nasional atau sebaliknya.

Nazri berkata tidak ada keperluan untuk menjawab surat tersebut, sebaliknya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melakukan kesalahan kerana bersekongkol dengan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP perlu dikenakan tindakan.

“Saya mengesahkan telah menerima surat dari Setiausaha Agung UMNO menerusi WhatsApp hari ini. Saya tidak akan jawab surat tersebut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Yang sepatutnya diberi surat tunjuk sebab adalah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU). Ini jelas menerusi klip audio perbualan beliau dengan Anwar selepas PAU pada Mac lalu yang tersebar sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Shahidan pula membidas Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak berhak untuk meminta penjelasan daripada MP Barisan Nasional (BN) dan hanya akan menjawab kepada keputusan Majlis Tertinggi BN sahaja.

“Ahmad Maslan tiada hak kepada MP. Saya hanya akan jawab kepada Keputusan Majlis Tertinggi BN.

“Saya MP BN, walaupun saya bertanding mewakili UMNO, saya adalah MP BN dan BN perlu membuat sesuatu sebelum kami membuat keputusan,” kata MP Arau itu kepada Agenda Daily.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan sepucuk surat dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung UMNO sedang tular dalam media sosial yang dihantar kepada semua MP parti itu termasuk Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti itu menuntut mereka meletak jawatan daripada kerajaan PN.

Dalam surat tersebut bertarikh 5 Ogos tersebut, dipercayai dihantar kepada semua MP UMNO menjelaskan pendirian parti yang membuat ketetapan pada Selasa lalu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam surat tersebut juga, peringatan diberikan kepada ahli-ahli UMNO untuk menghormati segala perintah dan keputusan parti selari dengan Fasal 20.9 (b) dan Fasal 20.9 (d) Perlembagaan UMNO.

Surat tersebut juga menuntut mana-mana pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan PN supaya meletak jawatan mereka selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada Selasa lalu.

Pada Selasa, UMNO menerusi kenyataan Zahid mengisytiharkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam kenyataannya semalam mendakwa masih mempunyai majoriti sokongan dan akan dibuktikan keabsahan dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

Untuk rekod, hanya seorang menteri dari UMNO yang meletak jawatan sejak keputusan Mesyuarat MT tersebut diputuskan, iaitu Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Thursday, August 5, 2021

Hentikan semua ini, akur dengan titah Agong, Nazri beritahu Zahid

freemalaysiatoday.com
Minderjeet Kaur
-August 4, 2021 11:10 PM

Nazri Aziz berkata, Ahmad Zahid akan menentang Agong menggunakan akuan berkanun dan bukannya membiarkan majoriti ditentukan di Parlimen.

PETALING JAYA: Nazri Aziz mempersoal sama ada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini menentang Yang di-Pertuan Agong apabila terus berkeras menegaskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiada sokongan majoriti di Parlimen.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, Muhyiddin jelas telah menyatakan bahawa beliau telah meminta Agong memperkenan supaya majoriti ditentukan menerusi undi percaya di Dewan Rakyat pada September.

“Itu jelas, dan bererti Agong telah mengarahkan perkara itu dibawa ke Parlimen.

“Jadi adakah Zahid cuba menentang Agong dengan tidak mematuhi keputusan itu?” soalnya.

Katanya, Agong sudah menitahkan dan “Zahid perlu menghentikannya”.

Terdahulu hari ini, Zahid menegaskan Muhyiddin silap apabila mendakwa masih memiliki majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan, Zahid berkata Umno hari ini menghantar akuan berkanun (SD) tambahan senarai Ahli Parlimen parti itu yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak menyatakan angka yang terlibat.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata beliau telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan SD Ahli-ahli Parlimen Umno kepada Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri seperti dinyatakan Muhyiddin melalui perutusannya petang tadi.

Bercakap kepada FMT, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii menyokong tindakan Zahid sambil menyatakan adalah jelas bahawa Muhyiddin sudah hilang majoriti.

Sambil menyatakan bahawa angka itu akan menjelaskan sendiri keadaan , beliau berkata 107 Ahli Parlimen mendesak Muhyidin untuk berundur pada perarakan protes di dataran Merdeka Isnin lalu.

Razlan berkata walaupun tanpa mengira jumlah SD tambahan yang dihantar oleh Zahid kepada Agong, Muhyiddin sudah pun kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

“Ini kerana 107 Ahli Parlimen pembangkang dan lapan SD sebelumnya daripada Ahli Parlimen Umno menjadikan jumlah keseluruhan 115 Ahli Parlimen yang mahu Muhyiddin mengundurkan diri.

“Dengan tambahan SD, Muhyiddin semakin lemah,” tambahnya.

Pada masa ini terdapat 220 Ahli Parlimen, tidak termasuk dua kerusi yang kosong iaitu Gerik dan Batu Sapi.

Razlan meminta Muhyiddin melakukan apa yang dilakukan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada Februari 2020.

“Perdana Menteri telah kehilangan majoriti dan sebagai negarawan, Mahathir mengundurkan diri.

“Selepas itu, Mahathir mahu menjadi PM sekali lagi tetapi gagal mendapat sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, kenyataan terbaru Zahid menunjukkan “adalah jelas bahawa majoriti yang didakwa Muhyiddin pagi ini sudah semakin berkurangan sekarang.”

Beliau meminta Muhyiddin bersikap telus dengan angka yang dituntut.

“Parlimen mesti bersidang secepat mungkin agar kita dapat mengakhiri ketidaktentuan politik ini,” tambahnya.

Wednesday, August 4, 2021

Selepas PM tak layan kes mahkamah Zahid tarik sokongan, kata Nazri

agendadaily.com
4/8/2021


Veteran UMNO Datuk Seri Nazri Aziz sudah melihat langkah terburu-buru Presiden UMNO Zahid Hamidi ada kaitan dengan kes mahkamah dihadapinya.

Veteran UMNO Datuk Seri Nazri Aziz sudah melihat langkah terburu-buru Presiden UMNO Zahid Hamidi mendesak Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada kaitan dengan kes mahkamahnya.

Beliau yang juga seorang peguam berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana ketegasan dan semangat untuk tidak membenarkan kerajaan mencampuri urusan pendakwaan kes mahkamah yang sedang dihadapi beberapa pemimpin UMNO sekarang.

Nazri mengulas pendedahan Perdana Menteri bahawa beliau didesak campur tangan untuk membebaskan beberapa individu politik daripada tuduhan mahkamah. Keengganan dan ketegasan Muhyiddin menjadi punca Zahid dan beberapa pemimpin UMNO menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Mengulas lagi perkara itu, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata pendedahan Muhyiddin itu membuktikan kebimbangan Ahli-Ahli Parlimen BN, termasuk Zahid, terhadap kes mahkamah yang sedang mereka hadapi.

“Sebab itu kita sudah menjangkakan apabila Zahid mengambil langkah terburu-buru mendesak Ahli Parlimen BN keluar daripada kerajaan PN kerana ini ada kaitan dengan kes pendakwaan mahkamah dihadapi beliau yang akan berlangsung bulan ini,” katanya kepada Agenda Daily dalam satu pertemuan hari ini.

Dalam pemerhatiannya sebagai peguam, Nazri berkata Zahid sudah menjangka beliau akan disabitkan bersalah.

“Justeru, kalau dihukum pada saat UMNO membuat keputusan menarik sokongan kepada kerajaan PN, maka beliau boleh menggunakan alasan dianiaya kerajaan susulan tindakan politik yang dibuatnya,” kata Nazri lagi.

Zahid dan rakan karibnya yang juga bekas Perdana Menteri Najib Razak diheret ke mahkamah pada 2019 selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, kepada Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa bulan selepas terbentuknya kerajaan PH, Zahid dan Najib serta beberapa pemimpin UMNO dituduh di mahkamah atas tuduhan jenayah membabitkan berbilion-bilion ringgit wang negara yang diseleweng, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kesnya telah bermula sejak 2019 lagi ketika pentadbiran PH. Selepas 22 bulan memerintah PH tumbang dan kerajaan PN dibentuk setelah Zahid dan UMNO memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Di sebalik sokongan itu, Zahid berharap Muhyiddin akan menghulurkan ‘bantuan’ terhadap 47 tuduhan yang dihadapinya itu. Tetapi ianya tidak berlaku, sebaliknya Zahid dihadapkan pula ke Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 33 pertuduhan menerima rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan kontrak mengendalikan Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Sementara Najib pula sudah dijatuhi hukuman penjara dan denda atas tuduhan berkaitan dana SRC International. Kesnya kini berada di Mahkamah Rayuan untuk diputuskan.

Tuesday, July 13, 2021

Zahid ni Presiden Republik Congo ke, semua dia nak pecat?

agendadaily.com
13/7/2021


Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti pemimpin negara Republik Congo.

Seorang pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tindakan pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya parti tidak wajar hanya kerana berbeza pandangan berhubung pendirian parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menyamakan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan pemimpin negara yang sering bergolak, Republik Congo yang memecat penentangnya hanya kerana wujud perbezaan dalam isu politik dan parti.

“Ini masalah Zahid ni, semua orang dia nak pecat… Dia ini Presiden Republik Congo ke?” katanya kepada Agenda Daily.

Jelas Nazri, beliau tidak menolak akan menerima nasib sama dengan Tajuddin dipecat sekiranya memegang jawatan dalam parti hanya menyatakan pandangan berbeza dengan Presiden.

“Saya ini nasib tidak ada jawatan dalam parti, kalau tidak pun kena pecat.

“Takkan berbeza pendapat pun nak pecat, semua nak pecat… Tindakan ini tidak membantu dan menguatkan parti, sebagai Presiden kena lah terima semua pandangan bukan pandangan penyokong sahaja,” kata Nazri kepada Agenda Daily.

Hari ini, Zahid mengumumkan pemecatan Tajuddin sebagai pengarah pilihan raya parti tersebut hari ini, ia selepas beberapa hari kritikannya semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi pada Rabu minggu lepas.

Pengumuman pemecatan tersebut dibuat menerusi satu kenyataan media oleh Zahid dan kekosongan tersebut akan diganti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkuatkuasa serta-merta.

Terdahulu, Tajuddin dilaporkan mengutuk MT UMNO apabila menggunakan istilah ‘pirah’ ketika bercakap pada mesyuarat secara maya minggu lalu.

Ucapan beliau itu tersebar menerusi satu klip audio yang tular di media sosial dan turut dikongsi bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa dalam Twitternya semalam.

Tajuddin juga mengakui ketulenan klip audio tersebut.

Dalam klip audio itu Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan membantah langkah MT menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana katanya ia bukan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

Malah beliau menganggap Ahli MT telah didesak untuk bersetuju supaya UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.

Saturday, July 10, 2021

Sekarang masa sesuai tukar Presiden UMNO bukan tukar PM, kata Nazri

agendadaily.com
10/7/2021

Datuk Seri Nazri Aziz berkata kini tiba masanya UMNO memilih Presiden yang baharu.

Selepas lantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, pemimpin senior UMNO Datuk Seri Nazri Aziz berkata sekarang adalah masa yang sesuai untuk menukar Presiden parti yang baharu dengan mengadakan pemilihan segera.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sering mencetuskan kontroversi dan bercita-cita untuk meletak cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) tidak layak untuk memegang jawatan nombor satu parti, malah beliau dianggap sebagai punca kepada perpecahan dalam UMNO.

“Ismail Sabri adalah calon Presiden UMNO yang paling layak untuk menggantikan Zahid, buat pemilihan parti dan kita akan pilih beliau sebagai Presiden.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas lantikan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, kini peluang Zahid untuk jadi Presiden sudah tertutup dan kita akan pilih Ismail Sabri sebagai Presiden,” katanya kepada Agenda Daily.

Jelas Nazri, rancangan Zahid yang bercita-cita mahu meletak Anwar sebagai calon PM sebelum ini adalah tidak wajar sama sekali dan ia terbukti apabila cadangannya itu tidak berjaya kerana gagal mendapat sokongan Majlis Tertinggi (MT).

“Dia (Zahid) sahaja yang nak Anwar jadi PM… kita dalam UMNO tidak mahu Anwar, takkan orang yang menyokong Anwar ini masih mahu jadi Presiden UMNO?

“Daripada kita sibuk suruh PM (Tan Sri Muhyiddin Yassin) letak jawatan, baik suruh Zahid letak jawatan… dia ini punca parti berpecah,” katanya lagi.

Nazri sebelum ini mendakwa Zahid menipu Yang di-Pertuan Agong semasa pertemuan tempoh hari, ia antaranya memberikan maklumat kononnya Ahli-Ahli Parlimen BN tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri-Menteri UMNO akan meletak jawatan mereka.

Untuk rekod, Zahid tidak menjawab dakwaan Nazri sehingga hari ini.

Mengulas lanjut, Nazri mencabar Zahid untuk membuat pengakuan berhubung dakwaan menipu Agong untuk melihat siapa yang berada di pihak yang benar.

“Saya cabar Zahid untuk membuat pengakuan dalam isu ini, saya akan lawan dia sampai kebenaran tertegak,” katanya lagi.

Pada Rabu, Zahid selepas selesai Mesyuarat MT mengumumkan keputusan parti yang menuntut supaya Muhyiddin berundur secara terhormat dan memutuskan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Zahid juga menuntut supaya PM baharu dilantik bagi menggantikan Muhyiddin bagaimanapun tidak menamakan individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Zahid berkata hanya PM sahaja berundur dan Menteri Kabinet sedia ada akan kekal.

Wednesday, July 7, 2021

Nazri beri amaran kepada Zahid, berhenti laga-lagakan MT dan MP UMNO

agendadaily.com
7/7/2021

Amaran Datuk Seri Nazri Aziz kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 'henti melaga-lagakan MT dengan MP UMNO'.

Pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz memberi amaran kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya berhenti membuat tindakan melaga-lagakan Majlis Tertinggi (MT) dengan Ahli-Ahli Parlimen (MP) parti itu.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata Zahid tidak seharusnya berterusan mencetuskan pergaduhan dalam parti, ia selepas spekulasi bertiup kencang Zahid akan menggunakan MT untuk mendesak MP UMNO keluar kerajaan Perikatan Nasional (PN) esok.

“Zahid ini dia cuba memecah-belahkan parti, sekarang ini dia nak melaga-lagakan MT dengan MP UMNO demi kehendak peribadinya,” kata Nazri kepada Agenda Daily dalam perbualan telefon semalam.

Sekiranya Zahid tidak mahu nasibnya berdepan dengan tentangan lebih hebat selepas ini, Nazri menasihati Zahid agar berhenti dengan tindakannya yang hanya akan memecahkan parti dan merugikan rakyat selepas ini.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan untuk mendesak MP UMNO dan BN keluar daripada kerajaan PN, ini sangat tidak wajar… negara sedang berdepan krisis Covid-19, kenapa sekarang nak ambil tindakan seperti ini?

“Jika Zahid masih berterusan macam ini, saya akan lawan dia… saya akan lawan dalam Parlimen nanti,” katanya.

Menurutnya lagi, sekarang sudah terbukti Zahid berpakat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP selepas pendedahan pengakuannya semasa pertemuan dengan MP UMNO dan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini di Wisma Perwira.

“Semasa dia bertemu MP UMNO dan BN dia dah buat pengakuan, sebenarnya saya sudah tahu lama lagi dia ini penipu… Ini terbukti dia penipu, tindakan perlu diambil terhadap Zahid susulan pengakuan terbaharu ini,” kata Nazri yang merujuk kepada laporan media berhubung pengakuan tersebut.

Nazri menyifatkan pengakuan tersebut adalah bukti jelas Zahid sendiri melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan tindakan boleh diambil terhadapnya kerana membelakangi keputusan badan tertinggi itu.

“Zahid sudah mengaku, bukankah itu sudah melanggar ketetapan PAU… jadi, sekarang sudah terbukti ada kesalahan dilakukan Zahid dan melanggar peraturan parti dan boleh dikenakan tindakan disiplin parti,” ujarnya.

Terdahulu, Astro Awani mendedahkan rakaman klip audio tular dengan Anwar disahkan ketulenannya oleh Zahid sendiri semasa pertemuan semalam.

Sumber memberitahu Astro Awani, Zahid membuat pengakuan itu dihadapan MP UMNO dan BN semasa pertemuan yang berlangsung selama lebih dua jam itu.

“Selain keputusan mesyuarat yang menolak cadangan menarik semula sokongan kepada kerajaan PN, beliau (Zahid) mengaku kepada semua itu suaranya dalam perbualan bersama Anwar yang viral tidak lama dahulu selain telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” kata sumber yang dipetik Astro Awani itu.

UMNO dijadualkan mengadakan mesyuarat MT hari ini dan bakal memuktamadkan keputusan sama ada MP UMNO akan kekal dalam kerajaan PN atau sebaliknya. Bagaimanapun sumber parti memberitahu kemungkinan besar Zahid akan cuba mendesak MT membuat ketetapan MP UMNO perlu meninggalkan kerajaan PN.

Thursday, July 1, 2021

Kumpulan penentang Zahid berdepan risiko disingkir jadi calon PRU

agendadaily.com

Datuk Seri Nazri Aziz meneruskan tekanan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kumpulan penentang dalam UMNO yang tidak sehaluan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan berdepan risiko akan disingkir daripada menjadi calon pilihan raya umum (PRU) depan nanti.

Tindakan 25 Ahli Parlimen UMNO yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi melantik bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap mereka menimbulkan rasa tidak senang Zahid yang dikatakan sedang dalam usaha memuktamadkan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Menurut sumber, tindakan kumpulan tersebut yang bermula dengan mengumpul SD untuk menyekat kemaraan Zahid menimbulkan persepsi seolah-olah beliau sudah hilang kawalan terhadap parti dan tidak lagi dihormati dikalangan ahli parti.

“Pendedahan tindakan 25 Ahli Parlimen UMNO yang menandatangani SD itu amat mengecewakan Zahid dan ia menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap mereka yang menentangnya secara terbuka.

“Ia juga secara tidak langsung memalukan Presiden walhal sepatutnya mereka menghormati beliau sebagai ketua parti, tindakan tersebut tidak sewajarnya berlaku pada ketika PRU berkemungkinan akan diadakan pada bila-bila masa sahaja sekarang,” kata sumber kepada Agenda Daily.

Menurut sumber, kenyataan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang memberi bayangan supaya UMNO tidak meletak calon yang bertentangan dengan pendirian Zahid dan parti semasa PRU nanti adalah isyarat amaran jelas bahawa mereka yang tidak sehaluan akan berisiko disingkir.

“Bagi Zahid, kiblatnya adalah Najib dan apabila kenyataan sedemikian dikeluarkan ia bermakna Presiden akan juga menurutinya… Walaupun Najib bukan lagi Presiden, tetapi pengaruhnya terhadap Zahid masih kuat dan relevan.

“Jika Najib mahu mereka yang tidaks sehaluan ini disingkir, berkemungkinan juga Zahid akan mengambil langkah yang sama memandangkan kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama,” katanya.

Sumber juga mendedahkan, Najib sebenarnya adalah pencatur utama dalam menjalinkan kerjasama dengan Anwar dan nama Zahid hanya muncul kemudiaan selepas berjaya ditarik untuk berkomplot bersama-sama dengan Presiden PKR itu.

Surat sokongan yang dihantar tahun lalu ke Istana Negara yang ditandatangani kedua-dua mereka juga adalah idea yang datang daripada Najib dan kemudiaan baharu lah disusuli persetujuan dengan Zahid.

Untuk rekod, kedua-dua mereka sehingga hari ini masih tidak menafikan kesahihan surat tersebut dan tiada sebarang laporan polis yang dibuat mereka berdua.

Sumber memberitahu, Zahid mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pemilihan calon yang akan bertanding dalam PRU nanti kerana watikah surat pencalonan hanya akan disahkan dan ditandatangani oleh beliau.

Sekiranya kumpulan tersebut masih berdegil dan tidak patuh dengan hala tuju yang sedang dirancang oleh Zahid, tindakan drastik dan keras dengan tidak mencalonkan mereka dalam PRU nanti pasti akan diambil, nasib sama seperti yang berlaku terhadap bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa yang disingkir jawatannya.

Annuar antara yang terawal mengkritik Zahid berhubung surat sokongan tersebut dan diambil tindakan Zahid dengan memecatnya.

Terbaharu, muncul kumpulan penentang yang dirancang oleh seorang pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz yang mendedahkan beberapa isu yang terpalit dengan Zahid, terutamanya berhubung kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Menurut sumber, Zahid amat bimbang dan tercabar kedudukannya apabila Nazri melemparkan tuduhan yang keras terhadapnya, daripada isu rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional sehingga isu melibatkan peruntukan yang diambilnya.

“Nazri adalah pemimpin senior, sudah pasti kenyataan yang mengkritik Presiden secara terbukanya itu akan mencalarkan imej dan tipu lah jika mengatakan Zahid tidak tergugat dengan kemunculan kumpulan baharu ini.

“Berbeza dengan Annuar yang mungkin dilihat lebih bergerak solo dan kurang berpengaruh, Nazri adalah perancang yang lebih strategik dan kita lihat gerakan mengumpulkan SD yang diketuainya sudah berjaya mendapat sokongan 25 Ahli Parlimen… Jadi, ini adalah pencabar sebenar Zahid dan beliau sedar ia akan memberikan kesan kepada rancangannya untuk meneruskan kerjasama dengan Anwar,” kata sumber.

Tuesday, June 29, 2021

Nazri: Bukan niat betul, buka parlimen nak tumbang Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan 28 Jun 2021, 10:37 pm
Dikemaskini 12:17 am

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menggesa supaya kerajaan PN diberi peluang terus mentadbir dalam usaha memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Katanya, bukanlah niat yang betul jika ada mana-mana ahli parlimen memasang hasrat mengadakan sidang Dewan Rakyat semata-mata untuk menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Jadi kalau parlimen ini dibuka untuk tumbang kerajaan jadi rakyat kena fikir sendirilah parti-parti yang mahu parlimen ini bersidang semata-mata nak tunjuk kerajaan ini sudah tidak ada majoriti.

"Saya rasa itu bukanlah satu niat yang betul. Makna niat nak tukar kerajaan.

"Kalau nak tukar kerajaan, mampu ke kerajaan baru ini (menangani pandemik)," soal Nazri pada program bual bicara Segmen Sudut Pandang disiarkan portal Malaysiapost malam ini.

Nazri berkata parlimen patut bersidang penuh selama 28 hari untuk membahas tindakan demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, kata Nazri ahli parlimen juga boleh menggunakan kesempatan sidang parlimen ini untuk menukar kerajaan.

"Kita tidak boleh halang tu. Bila parlimen bersidang boleh berlaku itu. Apabila ordinan yang dibahas tidak diluluskan RUU bil dibahas tak lepas.

"Itu boleh digunakan untuk menunjukkan kerajaan ini tidak ada majoriti," katanya.

Pemimpin Umno itu berkata demikian ketika menjawab soalan moderator sekiranya parlimen dibuka kemungkinan besar berlaku perebutan kuasa dan dijangka Muhyiddin boleh tumbang.

Nazri menjelaskan perebutan kuasa di parlimen boleh menyebabkan berlakunya pilihan raya umum ke-15.

"Waktu kita tengah ada Covid ini nak adakan pilihan raya? Jadi terpulanglah.

"Rakyat akan fikirkan yang mana betul-betul kerajaan yang hendak membantu rakyat ataupun (jika ada) kerajaan yang baru ini adakah dia ikhlas hendak membantu rakyat," katanya.

Terdahulu, Nazri berkata walaupun rakyat kini marah terhadap permasalahan akibat pandemik namun penyelesaian terhadap Covid-19 bukanlah dengan menukar kerajaan.

"Kerajaan yang baru naik itu pun belum tentu boleh menyelesaikan masalah. Dia lagi pula, nak start all over again.

"Katalah Anwar (Ibrahim) naik, nak mula balik lagi. Itu bukan alternatif," katanya.

"Kita kena bantu kerajaan, bukan tukar kerajaan," jelasnya lagi.

Untuk rekod, Januari lalu, Nazri bersama Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub secara rasmi menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Ini menyebabkan kerajaan hilang majoriti - insiden yang diyakini oleh banyak pihak menyebabkan darurat diisytiharkan.

Sementara itu, Nazri baru-baru ini menjelaskan tindakannya menarik sokongan daripada PN kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memintanya berbuat demikian.

Pun begitu, kini Nazri menentang Zahid selepas Presiden Umno itu didakwa berusaha menjalinkan kerjasama politik dengan Anwar.

Thursday, April 8, 2021

‘Pergi jahanam’, Nazri beritahu Ahmad Maslan selepas diarah ‘tutup mulut’

FMT Reporters
-April 8, 2021 11:23 PM

Nazri Aziz berkata, beliau diarahkan oleh Ahmad Maslan supaya tidak mengulas perkara berkaitan parti.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Umno Nazri Aziz yang terkenal lantang bersuara berkata, beliau dilarang membuat kenyataan selepas mengkritik Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, larangan itu dikeluarkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang memaklumkan beliau hanya tiga orang dibenarkan bersuara bagi pihak parti, iaitu dirinya, Zahid dan Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan.

Dengan memetik mesej itu, katanya, selain tiga orang terbabit, ahli lain hanya boleh bersuara “bagi diri mereka”.

“Tetapi, dia boleh pergi jahanam. Sekarang ialah 2021 dan Umno bukannya parti komunis.

“Dan saya sentiasa bercakap untuk diri saya juga,” kata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu kepada FMT.

Menurut mesej yang diterimanya, Nazri diingatkan sebarang pendapat peribadi tidak patut menyukarkan lagi hubungan sesama ahli Umno.

Menurut mesej itu, sebarang pertikaian terbuka hanya akan mengundang laporan negatif dalam media yang tidak akan memanfaatkan parti.

“Jangan layan hasutan media untuk mensensasikan berita. Kita tiada tanggungjawab terhadap mereka.”

Larangan bersuara itu menyusul sehari selepas Nazri dilaporkan berkata, peluang Umno memenangi pilihan raya umum ke-15 sangat tipis selagi Zahid menjadi ketua gabungan itu dan tonggak kepada Umno.

Beliau turut mengkritik kepemimpinan Zahid dengan berkata, semakin jelas Zahid tidak lagi mendapat sokongan atau kredibiliti untuk memimpin Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, Zahid – yang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram – perlu berundur dan membenarkan orang lain memimpin Umno serta BN.

Tuesday, July 16, 2019

Nazri: Tak salah jika saya sokong Anwar

Shakira Buang 
Diterbitkan Hari ini 4:42 petang


Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz menganggap Presiden PKR, Anwar Ibrahim seorang reformis negara dan tidak teragak-agak untuk memberikan sokongan kepadanya.

Malah, Nazri berkata bukan perkara pelik sekiranya beliau memberi sokongan kepada Anwar memandangkan bekas timbalan perdana menteri itu pernah memimpinnya sewaktu dalam sayap Pemuda Umno.

"Anwar adalah Reformis. Saya sokong Anwar, takkanlah dalam Umno tidak boleh sokong beliau. Beliau adalah ketua Pemuda (Umno) saya dahulu. Tidak ada salahnya, memandangkan saya tetap bersama Umno,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika Nazri dilihat lantang mempertikaikan keputusan BN melantik bekas perdana menteri, Najib Razak yang berdepan tuduhan di mahkamah sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Nazri berkata, bekas perdana menteri itu sudah diberikan peluang dua kali untuk mengetuai Umno dan BN, namun akhirnya gagal dan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dalam pilihan raya umum lalu.

Kritikan Nazri itu menyebabkan terdapat pihak tertentu di dalam Umno yang mencadangkan bekas menteri pelancongan itu dipecat dari parti.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pula berpandangan tidak ada keperluan untuk Umno mengambil tindakan terhadap NAzri.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, sokongan terhadap Anwar boleh dibuat menerusi hasil mesyuarat kaukus reformasi dan tadbir urus yang dipengerusikan sendiri oleh Anwar.

“Kita hendak buat yang terbaik buat Malaysia, saya ada pengalaman sebagai menteri, pernah jaga parlimen dan saya hendak buat yang terbaik.

“Dengan jadi ahli kaukus saya boleh sokong (Anwar), kalau tidak sokong Anwar, takkanlah saya masuk kaukus Parlimen ini,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen hari ini berkata tiada perbincangan mengenai penyertaan Nazri dalam PH, kerana menurutnya, orang ramai sedia maklum Nazri merupakan penyokong tegar Umno.

“Bila dia kata hendak masuk PKR, dia bincang dengan saya sepatah pun tidak. Tidak pernah sebut bab itu. Tidak ada sebut, dia kata dia Umno tegar. Saya tidak pernah pelawa sesiapa,” katanya.

Manakala diminta mengulas pelawaan agar PAS menyertai gabungan kerajaan, Anwar berkata beliau tidak pernahmembuat pelawaan itu.

"Saya tidak pelawa sesiapa,” katanya ringkas.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-