8/8/2021
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu ditentukan keabsahan dalam pemilihan parti tersebut dan ia perlu dijalankan dengan segera, kata seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Zahidi berkata arahan sudah dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan perlu dipatuhi, ia memandangkan hanya menerusi pemilihan sahaja UMNO dapat kembali bersatu serta tidak terlalu kelam-kabut dalam melakukan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tahun depan.
“Pada saya RoS sudah beri arahan, jadi UMNO kena buat mesyuarat dengan segera sebab kalau tahun depan PRU, baru kalut nak bermesyuarat, ia akan menjejaskan parti. Seeloknya kena buat sekarang.
“Hanya pemilihan sahaja yang boleh menyatupadukan balik ahli UMNO dan Zahid kena besar hati untuk mengadakan pemilihan parti,” katanya kepada Agenda Daily.
Jelasnya, pemilihan dapat menentukan hala tuju parti untuk sama ada bersama menyokong Zahid dalam jajaran baharu bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP atau sebaliknya, malah ia dapat mengelakkan rakyat terkeliru.
“Kita nak tengok kalau mereka menyokong untuk UMNO bersatu dengan DAP dan Anwar, Maka sokong lah Zahid.
“Hal ini tidak susah kerana UMNO sekarang ada dua blok sahaja, tetapi rakyat keliru. Kita pun nak tengok sama ada yang tak sokong Zahid itu pengkhianat? Atau yang menyokong Zahid bersama Anwar dan DAP itu penderhaka?” katanya lagi.
Beliau mengingatkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memilih sama ada Anwar atau Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Ahli-Ahli Parlimen dan menegaskan sudah serik untuk berada dalam pemerintahan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh PKR nanti.
“MT UMNO kena ingat, yang berdepan dengan Agong untuk menjawab nak pilih Anwar atau Muhyiddin itu kami sebab bukan semua MT adalah Ahli Parlimen. Kita semua dah serik dengan pemerintahan PH selama 22 bulan. Jadi takkan kami nak pilih Anwar bila Agong panggil nanti?” katanya.
Bagaimanapun, Zahidi memberi jaminan rela untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri sekiranya Zahid bukan lagi Presiden.
“Dan saya bersedia letak jawatan sebagai Timbalan Menteri jika Presidennya bukan Zahid. Kalau orang lain yang Presiden, saya akan akur dan letak jawatan,” tegasnya.
Zahid kini berdepan krisis kepercayaan selepas 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), ia pendirian berbeza dengan yang diputuskan oleh MT UMNO pada Selasa lepas.
Pada Jumaat lalu, RoS mengesahkan semua jawatan dalam MT UMNO tidak lagi sah selepas tempoh penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021 lalu.
Dalam satu surat kepada Setiausaha Agung UMNO, RoS mencadangkan UMNO menetapkan satu tarikh untuk mengadakan mesyuarat pemilihan MT dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.