Wednesday, August 4, 2021

‘Saya masih PM, akan buktikan keabsahan di Parlimen’

agendadaily.com
4/8/2021

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perutusan khas hari ini, 4 Ogos 2021.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia tidak timbul berdasarkan kepada
Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, setelah beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Pada masa sama Muhyiddin juga berjanji akan membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat, September ini sebagaimana dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”

Perdana Menteri berkata beliau telah menghadap Agong jam 11 pagi tadi dan menyembah maklum bahawa beliau menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkannya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

“Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.

“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September,” katanya.

Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan beliau itu.

Terdahulu, Perdana Menteri memohon maaf kepada rakyat kerana dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19, beliau terpaksa tampil menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-