Wednesday, August 4, 2021

Selepas PM tak layan kes mahkamah Zahid tarik sokongan, kata Nazri

agendadaily.com
4/8/2021


Veteran UMNO Datuk Seri Nazri Aziz sudah melihat langkah terburu-buru Presiden UMNO Zahid Hamidi ada kaitan dengan kes mahkamah dihadapinya.

Veteran UMNO Datuk Seri Nazri Aziz sudah melihat langkah terburu-buru Presiden UMNO Zahid Hamidi mendesak Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada kaitan dengan kes mahkamahnya.

Beliau yang juga seorang peguam berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana ketegasan dan semangat untuk tidak membenarkan kerajaan mencampuri urusan pendakwaan kes mahkamah yang sedang dihadapi beberapa pemimpin UMNO sekarang.

Nazri mengulas pendedahan Perdana Menteri bahawa beliau didesak campur tangan untuk membebaskan beberapa individu politik daripada tuduhan mahkamah. Keengganan dan ketegasan Muhyiddin menjadi punca Zahid dan beberapa pemimpin UMNO menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Mengulas lagi perkara itu, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata pendedahan Muhyiddin itu membuktikan kebimbangan Ahli-Ahli Parlimen BN, termasuk Zahid, terhadap kes mahkamah yang sedang mereka hadapi.

“Sebab itu kita sudah menjangkakan apabila Zahid mengambil langkah terburu-buru mendesak Ahli Parlimen BN keluar daripada kerajaan PN kerana ini ada kaitan dengan kes pendakwaan mahkamah dihadapi beliau yang akan berlangsung bulan ini,” katanya kepada Agenda Daily dalam satu pertemuan hari ini.

Dalam pemerhatiannya sebagai peguam, Nazri berkata Zahid sudah menjangka beliau akan disabitkan bersalah.

“Justeru, kalau dihukum pada saat UMNO membuat keputusan menarik sokongan kepada kerajaan PN, maka beliau boleh menggunakan alasan dianiaya kerajaan susulan tindakan politik yang dibuatnya,” kata Nazri lagi.

Zahid dan rakan karibnya yang juga bekas Perdana Menteri Najib Razak diheret ke mahkamah pada 2019 selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, kepada Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa bulan selepas terbentuknya kerajaan PH, Zahid dan Najib serta beberapa pemimpin UMNO dituduh di mahkamah atas tuduhan jenayah membabitkan berbilion-bilion ringgit wang negara yang diseleweng, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kesnya telah bermula sejak 2019 lagi ketika pentadbiran PH. Selepas 22 bulan memerintah PH tumbang dan kerajaan PN dibentuk setelah Zahid dan UMNO memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Di sebalik sokongan itu, Zahid berharap Muhyiddin akan menghulurkan ‘bantuan’ terhadap 47 tuduhan yang dihadapinya itu. Tetapi ianya tidak berlaku, sebaliknya Zahid dihadapkan pula ke Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 33 pertuduhan menerima rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan kontrak mengendalikan Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Sementara Najib pula sudah dijatuhi hukuman penjara dan denda atas tuduhan berkaitan dana SRC International. Kesnya kini berada di Mahkamah Rayuan untuk diputuskan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-